BERDASARKAN Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) di laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 26 Ogos 2015, didapati tidak ada perkataan libat urus dalam pangkalan data mereka. Namun, ketika itu ia diterjemahkan kepada perjanjian atau keterlibatan (selain pertunangan) mengikut konteks penggunaannya.
Selepas itu, Kamus Dewan Perdana merujuk libat membawa maksud melibatkan, iaitu menyebabkan atau membawa (seseorang atau sesuatu) masuk atau turut serta dalam sesuatu perkara, usaha, kegiatan dan sebagainya. Dalam PRPM pula, mengungkapkan urus pula membawa kepada maksud mengurus, iaitu mengendalikan atau menyelenggarakan sesuatu perkara supaya ia berjalan dengan baik. Ia juga dapat digunakan sebagai terjemahan untuk ‘engagement’, maka istilah paling bersesuaian ialah libat urus.
Kepentingan libat urus dan komuniti
Dengan pertambahan penglibatan awam yang meluas dan mendalam di seluruh dunia, kepentingan penglibatan komuniti telah menjadi semakin penting bagi demokrasi abad ke-21 yang mampu berfungsi dengan cemerlang. Hubungan yang membina antara komuniti dan institusi kerajaan tidak hanya mahukan penglibatan komuniti, tetapi juga memandangnya sebagai sesuatu yang perlu dan boleh dilaksanakan.
Hal ini disebabkan penglibatan komuniti cenderung menghasilkan keputusan awam yang lebih adil dan mampan serta meningkatkan kelestarian komuniti tempatan. Oleh itu, penglibatan komuniti adalah penting bagi individu, organisasi awam, dan kerajaan. Dalam konteks ini, apabila pendekatan tradisional yang dipimpin oleh eksekutif tidak mencapai keberkesanan, penglibatan komuniti menjadi penting dengan pendekatannya yang kolaboratif terhadap reka bentuk dan penyampaian perkhidmatan.
Dalam situasi kerumitan isu apabila pendekatan tradisional tidak mencapai keberkesanan, terutamanya jika ia tidak inklusif secara berleluasa, maka penglibatan komuniti membolehkan pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan dan aspirasi komuniti.
Kepentingan penglibatan komuniti
Libat urus komuniti penting dalam membina dan mengekalkan komuniti yang padu dengan cara penglibatan lebih aktif kalangan penduduk tempatan dalam proses pembangunan dan proses membuat keputusan. Melalui interaksi berterusan antara penduduk tempatan dan institusi kerajaan tempatan, hubungan yang kukuh dan saling percaya dapat dibina. Aspek ini membantu menyatukan komuniti dengan menyediakan platform untuk mereka berkongsi nilai, tradisi, dan matlamat bersama, serta bekerjasama mencapai kepentingan bersama.
Misalnya sebelum kerajaan memperkenalkan Pangkalan Data Utama ini atau dikenali sebagai PADU adalah perlu mengadakan libat urus dengan komuniti. Apabila libat urus hanya melibatkan kelompok tertentu sahaja dan tidak secara meluas, maka ia mengakibatkan kekurangan persefahaman, kekeliruan dan akhirnya mencetuskan kecurigaan kalangan komuniti. Inilah yang berlaku di Sarawak baru-baru ini hingga kerajaan negeri menangguh pelaksanaan PADU di Sarawak. Perkara ini tidak akan berlaku jika ada penglibatan libat urus yang menyeluruh tanpa meminggirkan kelompok atau wilayah yang jauh dari Lembah Klang.
Meningkatkan hasil
Penglibatan komuniti mampu meningkatkan hasil dengan memperluaskan perspektif dalam proses pembuatan keputusan. Melibatkan komuniti membolehkan pihak berkepentingan untuk mendengar pelbagai pandangan dan keperluan, yang membantu memastikan keputusan lebih tepat dan sesuai dengan keperluan sebenar komuniti. Dengan melibatkan pelbagai segmen masyarakat dalam perancangan dan pelaksanaan program atau projek, hasil yang lebih komprehensif dan berkesan dapat dicapai.
Perkara ini boleh dilihat dalam konteks pengagihan bantuan atau membuat pembangunan di sesebuah kawasan. Misalnya, dengan ada libat urus dengan komuniti, maka sebarang bantuan yang diberikan sesuai dengan keperluan semasa penduduk setempat. Rakyat mahukan jualan Rahmah yang berterusan, bukannya bantuan secara ‘one-off’ semata-mata. Aspirasi ini penting bagi memastikan usaha kerajaan tidak akan sia-sia dari segi tenaga, masa dan aspek materialisme.
Memastikan akses dan pemberdayaan komuniti
Penglibatan komuniti memastikan akses dan pemerkasaan komuniti dengan menyediakan wadah agar suara komuniti lebih didengari dan dipertimbangkan dalam proses pembuatan keputusan. Perkara ini adalah penting terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan atau kurang diberikan perhatian, terpinggir dalam kelompok masyarakat.
Dengan memberi peluang kepada setiap individu untuk menyumbangkan idea dan pandangan mereka, penglibatan komuniti dapat meningkatkan kesedaran dan kepercayaan diri mereka, serta memberi mereka kuasa untuk mempengaruhi masa depan komuniti mereka. Aspek ini juga mampu meningkatkan keyakinan komuniti terhadap kemampuan kerajaan dalam melakukan usaha rekayasa sosial dan ekonomi terhadap komuniti yang benar-benar memerlukan bantuan dan sokongan.
Keputusan mampan
Penglibatan komuniti membantu kerajaan tempatan untuk mempromosikan keputusan yang mampan dengan membawa bersama-sama penduduk tempatan, pemangku kepentingan, dan pakar dalam proses pembuatan keputusan. Melibatkan komuniti dalam perancangan dan pelaksanaan dasar dan inisiatif tempatan.
Keputusan yang mampan merujuk kepada proses pengambilan keputusan yang mengambil kira kesan jangka panjang dan impak holistik terhadap pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi, alam sekitar, dan politik. Keputusan yang mampan tidak hanya memenuhi keperluan semasa, tetapi juga mempertimbangkan keperluan generasi akan datang dan memastikan kelestarian sumber daya serta kesejahteraan keseluruhan masyarakat.
Misalnya dalam konteks pembangunan ekonomi sebuah pertanian keluarga di kawasan luar bandar membuat keputusan untuk beralih kepada teknik pertanian organik. Keputusan yang mampan akan mempertimbangkan impak jangka panjang terhadap tanah dan air, kesihatan komuniti setempat, serta kestabilan ekonomi keluarga petani. Pembangunan pertanian organik mungkin memerlukan pelaburan awal yang tinggi, tetapi boleh membawa kepada kelestarian tanah, peningkatan nilai jual produk dan kebaikan kesihatan jangka panjang bagi pengguna
Mendorong transformasi sosial
Penglibatan komuniti mendorong transformasi sosial dengan menggalakkan perkongsian pengetahuan, nilai dan sumber daya dalam komuniti. Melalui dialog dan kerjasama antara pelbagai pihak, penglibatan komuniti membangunkan pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu sosial dan mencipta ruang untuk inovasi dan perubahan positif. Ini dapat membawa kepada peningkatan kesedaran sosial, pengurangan ketidakadilan, dan peningkatan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
Misalnya, sebuah inisiatif sukarelawan tempatan yang mendorong penglibatan komuniti dalam program bimbingan pelajar sekolah rendah dari latar belakang kurang berkemampuan ekonomi. Melalui program ini, sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat berinteraksi dengan pelajar, membantu mereka dalam pelajaran, dan memberi sokongan emosi. Proses interaksi ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka, tetapi juga membuka ruang untuk perkongsian pengetahuan, nilai, dan sumber antara sukarelawan dan komuniti.
Memperdalam demokrasi
Sebenarnya libat urus dan penglibatan komuniti mampu memperdalam demokrasi dengan memberi peluang kepada setiap individu untuk menyumbang kepada proses pembuatan keputusan. Dalam sistem demokratik, keaktifan dan keterlibatan penduduk setempat adalah penting untuk memastikan representasi yang adil dan keseimbangan kekuasaan.
Melalui penglibatan komuniti, masyarakat dapat meluaskan pengaruh mereka dalam proses politik dan menyumbang kepada pembentukan dasar awam yang lebih demokratik dan inklusif. Ternyata penglibatan komuniti sangat diperlukan sebagai kunci untuk membangunkan masyarakat yang lebih responsif, inklusif, dan berdaya maju.
Dengan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses pembuatan keputusan, penglibatan komuniti memastikan keputusan yang lebih baik, lebih tepat dan lebih berkekalan. Selain itu, penglibatan komuniti membina kepercayaan dan pemahaman saling antara pihak berkepentingan, yang mengukuhkan hubungan sosial dan institusi serta mendorong idea pembaharuan dan transformasi dalam masyarakat kita.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).