Oleh: Dilah Tuah
PUISI dan pengalaman merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan penyair. Hal ini disebabkan puisi tidak wujud tanpa pengalaman yang dialirkan oleh penyair ke dalamnya. Melalui puisi, khalayak pembaca dapat menyelami kedalaman emosi, pemikiran dan pengalaman penyair. Sapardi Djoko Damono dalam news.detik.com pada 19 Julai 2020 pernah mengatakan, bahawa puisinya yang berjudul “Hujan Bulan Juni” ditulis berdasarkan pengalaman hidupnya yang sederhana di Yogya, Solo dan Jakarta. Dalam hal ini jelas bahawa puisi ialah karya sastera yang menjadikan diksi sebagai medium untuk menciptakan keindahan kata, yang didasari oleh pengalaman penyair.
Selain Sapardi Djoko Damono, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh juga turut merakamkan pengalamannya sewaktu berada di luar negara dalam Sajak-Sajak Pendatang. Hal ini jelas membuktikan bahawa puisi ialah wadah terbaik bagi penyair untuk mengekspresikan, menceritakan dan merenung pengalaman hidup mereka dalam bait-bait puisi yang indah. Puisi-puisi yang mengandungi pengalaman penyair, tidak hanya membawa khalayak pembaca ke dalam dunia emosi, psikologi dan spiritual, malah mampu memberikan kesan estetika dan pengalaman luar biasa kepada khalayak pembaca.
Walaupun pengalaman memberikan kesan yang luar biasa kepada puisi, namun penyair harus berhati-hati dalam memerihalkan pengalaman diri. Hal ini kerana, tidak semua pengalaman harus menjadi puisi dan tidak semua puisi terhasil daripada pengalaman. Contohnya, puisi-puisi tentang pergolakan dan peperangan di Gaza, yang mungkin tidak dialami oleh penyair di Malaysia, namun berjaya dicipta hasil dari gejolak jiwa penyair yang sensitif. Melalui imaginasi yang mendalam dan empati yang kuat, penyair mampu merasai dan menggambarkan suasana tersebut dengan penuh kejujuran dan keaslian, walaupun secara langsung penyair tidak mengalami keadaan yang sama.
Selain itu, dalam penulisan puisi, pengalaman tidak seharusnya mengatasi bentuk penulisan sehingga bentuknya menjadi aneh, makna yang sempit dan berkelintaran dalam jagat diri penyair. Puisi yang baik harus berupaya menjadikan pengalaman diri sebagai layar imej, yang mampu membentangkan sedikit kata dengan makna yang luas. Dalam hal ini, khalayak bukan sahaja dapat menikmati keindahan diksi yang terkandung dalam puisi, namun pada masa yang sama menjadi jendela yang membuka kepada kehidupan dan pemikiran manusia.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan membahas aspek pengalaman penyair yang terdapat dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lalu. Puisi-puisi tersebut ialah “Qoreym 22” karya Ogiey Wagiman, “Dewasa ini” karya Maziah Ho dan “Pertanyaanku” karya Ann A.M. Selain membaca pengalaman penyair, ulasan ini turut menyentuh aspek-aspek lain dalam puisi bagi tujuan penambahbaikan.
Puisi pertama berjudul “Qoreym 22” merupakan hasil nukilan Ogiey Wagiman yang menyentuh tentang kepercayaan tahyul. Kata ‘tahyul’ dalam puisi ini diulang sebanyak tiga kali, iaitu pada frasa /mengores sanad tahyul/ dalam rangkap kedua, /lalu terlucut sanad tahyul yang bergantung/ pada rangkap ketiga dan /Kutiplah tahyul itu ibu, bawalah ayah/ pada rangkap keempat.
Dalam puisi “Qoreym 22”, pengalaman manusia tercermin melalui pelbagai lapisan emosi yang kompleks. Penyair menggambarkan kebingungan dan kegelisahan melalui gambaran nafas yang ‘tersangkut pada kejahilan’ dan ‘kedegilan panas yang dipijak’, serta melalui teriakan dan rasa gusar yang terdera. Pengalaman ketakutan dan kehancuran juga tercermin dalam kesedihan yang mendalam serta kehilangan yang dirasakan oleh penyair dalam puisi ini.
Pun begitu, penggunaan imej bercampur, menjadikan pengalaman-pengalaman ini tidak dapat ditafsir maknanya secara jernih. Misalnya dalam rangkap pertama, frasa /Gadiknya ayah ibu menjeruk si suci/ pasti mengundang pertanyaan kepada khalayak tentang siapakah ‘si suci’.
Dari segi bentuk, puisi ini sederhana dan polos. Namun, dari segi pilihan kata (diksi), susunannya tidak optima, sehingga menyebabkan ‘pengalaman’ yang hendak disampaikan kepada pembaca tidak kesampaian. Membaca puisi ini pasti membingungkan khalayak khususnya dalam memahami alur ceritanya. Misalnya dalam rangkap kedua di bawah:
Tika nafas tersangkut pada kejahilan
Kedegilan panas dipijak, lalu menggigil
Bersedan teriakan terdera
Gadiknya ayah ibu menjeruk si suci.
Dibungkus si ibu, digendong si ayah berlalu
Dihulur pada tangan bacul,
diramas jemari palsu
Mengores sanad tahyul
yang bergayutan di kepala ayah ibu.
Dalam penulisan puisi, penggunaan kata-kata yang tepat sangat penting agar makna puisi dapat difahami dengan jelas. Namun begitu, dalam puisi ini, penyair terlalu bersungguh-sungguh memaksa penggunaan kata-kata yang tidak sesuai sehingga berakhir dengan puisi yang kabur.
Walaupun penyair memiliki kebebasan dalam menyusun kata-kata dalam puisi, hanya penggunaan kata-kata yang tepat dalam susunan yang terbaik sahaja yang mampu membantu pembaca memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyair.
Selain itu, penyair juga didapati tidak cermat dalam penulisan sehingga terdapat beberapa kesalahan ejaan seperti mengores (menggores) dan taktala (tatkala). Walaupun perkara ini agak remeh bagi sesetengah penyair, namun kata-kata puisi seharusnya ditulis mengikut bahasa kamus agar tidak menjejaskan kesan keseluruhan puisi.
Puisi kedua yang berjudul “Dewasa ini” merupakan hasil nukilan Maziah Ho dan tampil dalam bentuk yang sederhana. Puisi ini mencerminkan perjalanan seseorang individu, melalui kehidupan dewasa yang penuh dengan cabaran dan tanggungjawab.
Penyair menyentuh tentang pencarian rezeki di tengah hiruk-pikuk kehidupan bandar yang semakin megah, diiringi dengan kisah-kisah manusia yang beraneka ragam, namun sering kali dilupakan atau diabaikan oleh masyarakat. Biarpun pengalaman yang dituangkan oleh penyair dalam puisi ini sesuatu yang klise, namun kesan estetikanya masih dapat dirasai oleh pembaca.
Pada rangkap kedua dan ketiga, puisi ini memiliki struktur yang terdiri daripada empat bait dengan setiap bait terdiri daripada beberapa baris. Selain itu, puisi ini juga menggunakan irama yang cukup konsisten, memberikan aliran yang lancar dalam pembacaan dan pemahaman isi puisi.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai tahap kecemerlangan sebagai seorang penyair yang prolifik, penyair harus berani meninggalkan bentuk penulisan yang terikat kepada bentuk yang lebih bebas. Kebebasan dalam menyusun kata merupakan ciri pembeza antara puisi tradisional dengan puisi moden. Ciri-ciri puisi tradisional, iaitu persamaan rima hujung yang digunakan penyair dalam puisi ini adalah seperti berikut:
Hidup beralih ke dunia dewasa,
Jiwa teguh meniti duga,
Demi keluarga kutuntun kerjaya,
Mengerah tenaga capai bahagia.
Sinopsis cerita suka duka,
Lukaku sembunyi dengan sempurna,
Daku ubat dengan doa dan cita,
Harapan keluarga pengibar tenaga.
Dari segi diksi, puisi ini cukup sederhana namun padat makna. Penyair menggunakan kata-kata yang mudah difahami namun mampu menyampaikan pesanan yang mendalam. Selain itu, penggunaan metafora seperti “hidup beralih ke dunia dewasa” dan “lukaku sembunyi dengan sempurna” memberikan warna tersendiri dalam penyampaian pengalaman hidup yang mencabar. Meskipun demikian, beberapa ungkapan dalam puisi ini didapati klise, seperti “Hidup beralih ke dunia dewasa” yang dapat ditemui dalam banyak puisi dengan tema serupa.
Secara keseluruhan, puisi ini berhasil menyampaikan pengalaman hidup seorang individu yang menjalani kehidupan dewasa dengan sederhana namun mendalam. Struktur puisi yang jelas dan diksi yang padat makna memberikan kemudahan kepada khalayak dalam memahami pesanan yang ingin disampaikan oleh penyair.
Seterusnya puisi yang terakhir berjudul “Pertanyaanku” karya Ann A.M tampil dalam tiga rangkap. Puisi ini menggambarkan pengalaman penyair yang merenungi pertanyaan tentang cinta dan kesetiaan melalui interaksi dengan alam semesta, khususnya bulan dan bintang. Pengalaman yang disampaikan dalam puisi ini mencerminkan kekosongan, ketika harapan untuk menemukan jawapan terhadap pertanyaan-pertanyaan tersebut tidak dipenuhi. Penyair menggambarkan perasaan yang mendalam terhadap pencarian makna tentang kesetiaan dan cinta, yang ditanyakan oleh penyair kepada bulan dan bintang. Pertanyaan tanpa jawapan ini dapat diperhatikan pada dua rangkap di bawah:
Aku bertanya pada bulan
Yang setia pada malam
Sedalam mana cintanya pada malam
Tetapi bulan tidak menjawab.
Kemudian…
Aku bertanya pada bintang
Yang sentiasa membahagiakan malam
Sejauh mana sayangnya pada malam
Tetapi bintang tidak menjawab.
Dari segi bentuk, puisi ini terdiri daripada dua rangkap dengan mempunyai pola yang hampir serupa. Setiap rangkap dimulai dengan pertanyaan kepada elemen alam, diikuti dengan deskripsi tentang kesetiaan dan cinta yang diharapkan dan diakhiri dengan ketidakmampuan elemen alam untuk memberikan jawapan. Struktur ini memberikan kesan pengulangan sehingga menguatkan lagi perasaan kekecewaan dan kebingungan penyair.
Dari aspek diksi pula, diksi yang digunakan dalam puisi ini sederhana namun efektif. Penggunaan kata-kata seperti “setia”, “cinta” dan “sayang” menggambarkan tema utama puisi yang berkisar pada pencarian makna kesetiaan dan cinta. Selain itu, metafora yang digunakan terhadap bulan dan bintang sebagai simbol cinta dan kesetiaan memberikan kedalaman emosional pada puisi ini.
Secara keseluruhan, puisi ini berhasil menggambarkan perjalanan pengalaman emosi penyair dalam mencari jawapan tentang cinta dan kesetiaan melalui interaksi dengan alam semesta. Pemilihan diksi yang sederhana, memudahkan khalayak pembaca untuk merenungkan makna yang terkandung di dalamnya. Pun begitu, untuk berkalung lama di bingkai zaman, penyair harus berani bermain dengan kata, agar puisi yang dihasilkan lebih mantap dan berwibawa.
Daripada tiga buah puisi yang telah diulas di atas, dapat disimpulkan bahawa kesemua puisi ini menjadikan pengalaman diri sebagai landasan untuk mencari makna di cakerawala kata. Walaupun mempunyai gaya penulisan yang berbeza, kesemua puisi menunjukkan usaha penyair dalam menyampaikan pengalaman peribadi lewat puisi.
Terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh para penyair, khususnya dari aspek pemilihan diksi. Sebagai seni pengucapan bahasa yang tertinggi, penyair perlu memastikan puisi yang ditulis bebas daripada kesalahan ejaan. Semoga ulasan ini dapat memberi nilai tambah kepada mutu penulisan para penyair pada masa akan datang. Teruskan berkarya!