KABINET di Putrajaya sudah memutuskan supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen. Bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Butiran lanjut mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Bagaimanapun, Kabinet masih ‘senyap’ isu membabitkan pencen menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada diseleraskan untuk diberi pilihan menerima satu pencen sahaja, bukan dua atau tiga seperti sekarang.
Contohnya, seorang menteri sama ada di peringkat negeri atau pusat, apabila tiada lagi berjawatan, akan menerima pencen menteri dan ADUN atau Ahli Parlimen. Malah ada yang dapat tiga pencen jika seseorang itu pernah menjadi Ahli Parlimen dan ADUN sebelum dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri. Ini kerap berlaku apabila seseorang ADUN, naik pangkat untuk dicalon serta dipilih pula sebagai Ahli Parlimen, kemudian dilantik pula sebagai menteri atau timbalan menteri.
Jika berdasarkan tempoh 60 bulan perkhidmatan atau satu penggal, seorang menteri akan dapat pencen RM12,000, timbalan menteri RM11,000 dan Ahli Parlimen RM6,000.
Menurut sumber, untuk Ahli Parlimen biasa sekiranya berkhidmat untuk dua penggal atau lebih akan menerima pencen maksimum RM9,600 sebulan.
“Sekiranya, seorang Ahli Parlimen menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri, maka jumlah pencen yang mereka dapat akan dicampurkan dengan jumlah pencen sebagai wakil rakyat.
“Contoh, pencen menteri RM12,000+RM9,600 = RM21,600. Sekiranya seorang Ahli Parlimen memegang jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri melebihi satu penggal, jumlah pencen yang dia dapat akan bertambah,” kata sumber itu kepada penulis.
Banyak kategori pencen
Bagaimana pula pesara perkhidmatan awam yang masuk politik, bertanding sebagai Ahli Parlimen atau ADUN dan kemudian dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri?
Sudah semestinya juga akan mendapat pencen sebagai pesara kerajaan. Bermakna, golongan ini mendapat banyak kategori pencen. Ramai juga dalam kalangan wakil rakyat terdiri daripada pesara kakitangan awam, dan pencen mereka bukan sedikit jika pernah memegang jawatan kanan seperti pengarah, timbalan pengarah atau ketua setiausaha kementerian. Malah ada bekas pengetua sekolah jadi YB selain bekas pegawai kanan polis dan tentera.
Menurut Akta Ahli Parlimen (Pembayaran Gaji) 1980, gaji bulanan seorang MP (Ahli Parlimen) termasuk elaun mereka boleh mencapai purata RM25,700.
Selain itu, MP boleh membuat tuntutan pelbagai elaun atau subsidi untuk tujuan tertentu, antaranya layak menerima RM400 sehari untuk menghadiri mesyuarat Parlimen dan elaun sebanyak RM1,000 setiap tiga tahun untuk membeli pakaian rasmi hitam.
Berikut adalah gaji dan senarai elaun yang mereka layak terima:
Gaji: RM16,000 sebulan
- Kehadiran mesyuarat Parlimen: RM400 sehari
- Kehadiran mesyuarat, bengkel & seminar agensi kerajaan: RM300 sehari
- Elaun keraian: RM2,500 sebulan
Bayaran istimewa untuk MP bukan dalam pentadbiran: RM1,500 sebulan
- Elaun tetap perjalanan: RM1,500 sebulan
- Elaun bahan api: RM1,500 sebulan
- Elaun tol: RM300 sebulan
- Elaun pemandu: RM1,500 sebulan
- Pembelian telefon bimbit: Hingga RM2,000 setiap dua tahun
- Elaun bil telefon: RM900 sebulan
- Pembelian komputer: Hingga RM6,000
- Bantuan bayaran pakaian black tie : Hingga RM1,500 setiap tiga tahun
- Elaun pakaian rasmi istiadat: Hingga RM1,500
- Elaun pakaian sejuk
- Lesen kenderaan percuma
- Lawatan rasmi – Penerbangan kelas eksekutif
- Lawatan rasmi – Penerbangan kereta api kelas pertama
- Tugasan dalam negara melebihi 32 kilometer dari rumah: Elaun hotel sehingga RM400 semalam
- Bayaran harian semasa perjalanan perniagaan: Dalam negara – RM100 semalam, Luar Negara – RM170 semalam
- Elaun makan di luar negara: RM340 semalam
MP layak pencen selepas kerja 36 bulan
- MP layak mendapat pencen selepas menamatkan 36 bulan perkhidmatan yang boleh diambil kira dan mencapai usia 50 tahun.
Sementara itu, ADUN pula dilaporkan menerima elaun bulanan purata antara RM6,000 dan RM15,000 seorang.
ADUN dari Sarawak mencatatkan gaji bulanan tertinggi sehingga RM15,000, diikuti Melaka (RM12,000), Selangor dan Pulau Pinang masing-masing RM11,500 manakala Kedah, Terengganu dan Pahang masing-masing RM11,000. ADUN Perak dan Perlis pula menerima gaji terendah RM6,000 sebulan.
Penyesuaian gaji terbaharu untuk ADUN berdasarkan kenaikan pada 2013, kecuali Melaka (2023), Sabah (2022), Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, dan Pahang (2015), serta Negeri Sembilan (2014). Bagi MP dan ADUN yang turut memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka menerima wang tambahan antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat baru-baru ini pernah mencadangkan jika kerajaan mahu mengurangkan bebanan kewangan membayar pencen, bekas anggota Kabinet atau ADUN atau ahli politik seharusnya diberi hanya satu sahaja pencen.
Cadangan CUEPACS ini ada kewajarannya kerana ia menimbulkan persoalan rasional seorang bekas menteri, ahli politik atau EXCO menerima pencen bagi setiap jawatan disandang sebelum ini walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan.
“Jika seorang menteri pernah menyandang lebih daripada satu jawatan, bermakna dirinya akan menerima tiga bayaran pencen setiap bulan sedangkan ada antara mereka berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam tempoh singkat atau sepenggal sahaja sekitar lima tahun, tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan disandangnya.
“Atas faktor ini, sudah tentu cadangan pemansuhan skim pencen penjawat awam menerima maklum balas negatif daripada rakyat terutama pesara penjawat awam kerana dilihat tidak adil kepada mereka kerana secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan. Amalan ini jelas membebankan kewangan kerajaan,” katanya.
Sepatutnya, dalam kalangan wakil rakyat hanya perlu menerima satu pencen, boleh pilih yang tertinggi seperti bekas menteri dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan, berbanding penjawat awam yang hanya menerima satu pencen sedangkan khidmatnya menjangkau hingga 40 tahun.
Apakah nanti Kabinet menyelaraskan pencen wakil rakyat seperti penjawat awam? Dalam cadangan untuk penjawat awam, kerangka baharu untuk mereka akan hanya membabitkan lantikan baharu manakala bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas.
Maka, ini boleh dijadikan kriteria baharu untuk mereka yang bakal dipilih sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, iaitu pilih hanya satu pencen apabila bersara, mungkin pilihan untuk yang tertinggi jika pernah memegang jawatan menteri atau timbalan menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sebelum ini mendedahkan tanggungan kerajaan ke atas pembayaran pencen untuk pesara kerajaan, Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.
Bagi wakil rakyat yang sudah menerima lebih daripada satu skim pencen, ia merupakan tanggungjawab moral untuk memilih semula hanya satu skim pencen. Kepemimpinan melalui teladan.
Pemansuhan skim pencen penjawat awam sudah semestinya juga akan menyebabkan kadar gaji sedia ada yang diterima meningkat. Ini akan berlaku apabila ada komitmen dari kerajaan untuk memperbaiki kadar upah dan gaji selepas 12 tahun tanpa sebarang penilaian.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.