PANGKALAN Data Utama (PADU) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat. Secara rasmi objektifnya adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Dengan kata lain, PADU ialah wadah penyedia pangkalan data negara yang selamat dan menyeluruh. Ini membolehkan analisis data yang lebih tepat dan pengambilan keputusan berdasarkan data serta memudahkan penyusunan dasar yang berlandaskan data.
Aspek ini melibatkan pengintegrasian maklumat pentadbiran dari pelbagai sumber, dengan sebahagian daripadanya diperbaharui secara individu. Tujuan utama pelaksanaan PADU adalah untuk meningkatkan efisiensi pengurusan data dengan mempermudah pengumpulan, penyimpanan, dan pengelolaan data dari pelbagai sumber serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Selain itu, dengan menjadi pangkalan data yang terintegrasi dan berpusat, PADU juga bertujuan untuk melakukan pemantauan dan penilaian yang efektif terhadap pelaksanaan dasar negara, sambil menjimatkan sumber secara signifikan. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas diwajibkan untuk mendaftar dan memeriksa maklumat mereka di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 butir maklumat peribadi yang dikehendaki.
Manfaat PADU
Berdasarkan kenyataan rasmi mengenai PADU, telah dinyatakan bahawa pengenalan sistem PADU tidak hanya berfokus pada penyaluran subsidi kepada golongan berpendapatan rendah. Ia juga memungkinkan pemerintah untuk merancang program khusus yang bertujuan meningkatkan ekonomi golongan pertengahan dengan lebih efektif. Selain itu, ia memastikan kemakmuran negara tidak hanya bererti memberi bantuan kepada golongan miskin, tetapi juga membantu golongan pertengahan dan tinggi untuk mencapai kemajuan dengan lebih cepat.
Aspek ini melibatkan penentuan program yang dapat meningkatkan nilai ekonomi dan kemakmuran. Pengumpulan data melalui PADU tidak sama dengan pendekatan sebelumnya yang dilakukan oleh agensi lain. Hal ini kerana PADU mengintegrasikan data yang terkumpul untuk memberi pemerintah pemahaman yang lebih mendalam tentang profil ekonomi individu. Ini bukan sekadar pengumpulan data seperti sebelumnya, sebaliknya PADU adalah sistem yang berbeza dan akan memberikan impak kepada semua orang serta tidak hanya pada mereka yang memerlukan bantuan.
PADU juga memungkinkan pemerintah untuk memiliki pemahaman yang lebih holistik tentang profil individu, misalnya, memastikan penghasilan program-program tertentu yang akan memberikan impak dan manfaat besar kepada golongan sasaran.
Kritikan Sarawak dan awam
Sarawak telah mengutarakan beberapa keperluan untuk melakukan perubahan pada PADU, khususnya berkaitan dengan pengumpulan maklumat peribadi yang diminta untuk diisi dalam sistem tersebut. Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini sebagai tindak balas terhadap kebimbangan yang timbul mengenai perlindungan maklumat peribadi individu.
Perlu ditegaskan bahawa tindakan ini tidak bermakna kerajaan Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, namun hanyalah sebagai permintaan untuk meneliti semula PADU disebabkan kebimbangan mengenai pengungkapan maklumat peribadi yang tidak sewajarnya.
Perbincangan ini, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, ia adalah berkaitan dengan hal-hal yang melibatkan privasi individu.
“Secara peribadi saya percaya, terdapat sedikit kelainan untuk negeri Sarawak. PADU adalah seperti apa yang telah kita ada sebelum ini, iaitu e-Kasih. Kenapa mahu tukar? Dua tiga tahun… tukar-tukar. Ia akan menimbulkan banyak masalah. Terus-terang saya rasakan… pada saat anda mengisi maklumat di dalam sistem PADU adalah seperti anda membogelkan diri sendiri. Anda tahu itu?” ujarnya.
“Saya tidak fikir itu cara yang betul untuk rakyat. Kita semua mempunyai hak untuk menjaga privasi. Kita sudah ada sistem e-Kasih yang diadakan bagi mengenal pasti golongan miskin yang memerlukan bantuan, jadi apa keperluan adanya PADU pula?” katanya.
PADU juga menurut beliau tidak harus dilaksanakan secara tergesa-gesa dan memaksa semua rakyat mendaftar. “Jika PADU bertujuan membantu orang miskin, biarlah orang miskin mendaftar, bukannya mewajibkan semua orang mendaftar,” katanya.
Tidak menolak sepenuhnya
Beliau menegaskan bahawa jika tiada keraguan, pihaknya pasti akan menyokong PADU, tetapi terdapat beberapa aspek penting yang memerlukan penjelasan dari kementerian yang berkaitan dan mungkin terdapat butiran tertentu yang tidak perlu diminta.
Sebagaimana disebut akan keraguan, Karim juga menyatakan kebimbangan mengenai aspek pendaftaran dalam PADU, yang menurutnya, boleh dianggap sebagai pengorbanan privasi apabila semua butiran peribadi, termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan, diperlukan untuk didedahkan. Beliau menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menjaga privasi mereka sendiri dan merujuk kepada kewujudan sistem e-Kasih untuk mengenal pasti golongan miskin yang memerlukan bantuan, beliau mempersoalkan keperluan kehadiran PADU.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan PADU tidak sepatutnya dilakukan secara tergesa-gesa dan memaksa semua rakyat mendaftar. Menurutnya, jika tujuan PADU adalah untuk membantu golongan miskin, adalah lebih wajar untuk membenarkan mereka yang memerlukan untuk mendaftar secara sukarela, berbanding membuat pendaftaran menjadi kewajiban bagi semua rakyat.
Terdapat juga desakan kepada kerajaan untuk menunda pelaksanaan PADU sehingga pindaan dilakukan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010. Pada masa ini, Seksyen 3(1) APDP memberikan pengecualian kepada kerajaan dari penguatkuasaannya, yang bererti data yang dikumpulkan oleh PADU boleh digunakan atau disebarkan oleh kerajaan untuk tujuan di luar daripada yang telah dinyatakan, seperti subsidi yang ditujukan secara khusus.
Dilindungi Akta Rahsia
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula menyatakan bahawa Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilindungi secara undang-undang oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), yang memperincikan bahawa maklumat yang tersimpan dalam PADU adalah maklumat rasmi kerajaan yang dilindungi. Hal ini bermakna bahawa akses dan manipulasi terhadap data dalam PADU tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan hukuman jenayah, termasuk penjara, denda atau kedua-duanya.
Penggunaan data dalam PADU juga diatur oleh Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), yang menggariskan bahawa setiap akses atau penggunaan tanpa kebenaran terhadap peranti, maklumat, atau sistem komputer adalah suatu kesalahan. Perkara ini termasuk akses atau penggunaan tanpa kebenaran terhadap sistem PADU, dan individu yang melakukan tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Keselamatan
Keselamatan sistem PADU dijaga melalui kerjasama antara pasukan pembangunan sistem dengan agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber dan privasi data negara. Agensi ini termasuk Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi.
Walaupun sering berlakunya cubaan serangan terhadap PADU, tiada kebocoran maklumat dilaporkan, menunjukkan keselamatan yang terjamin. Sistem dan pembangunan PADU mematuhi piawaian antarabangsa serta prinsip-prinsip amalan terbaik untuk memastikan keselamatan data.
Pembangunan dan pengurusan PADU dilakukan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam yang sedia ada, tanpa melibatkan perunding luar, untuk mengurangkan risiko kebocoran maklumat. Integriti pegawai yang mempunyai akses kepada data dijamin melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO, yang memastikan bahawa hanya pegawai yang dilantik dan mempunyai peranan yang ditetapkan sahaja yang dibenarkan akses kepada data.
Menteri Ekonomi juga memberikan jaminan bahawa PADU akan memberikan manfaat yang adil dan wajar kepada setiap rakyat melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik dan berkesan berdasarkan data. Ini menunjukkan komitmen untuk memastikan penggunaan data yang selamat dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Statistik PADU
Setakat Rabu lalu, seramai 6.34 juta atau 29 peratus daripada 30.08 juta rakyat sudah mengemas kini data dalam sistem berkenaan dengan Selangor merekodkan 970,000 individu mengemas kini data, Sarawak (770,000), Johor (650,000), Perak (590,000), Sabah (550,000), Kedah (450,000), Kelantan (420,000) Kuala Lumpur (380,000), Pahang dan Pulau Pinang (350,000), Terengganu (310,000), Negeri Sembilan (270,000), Melaka (180,000), Perlis (70,000), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan (20,000). Pentingnya data ini dalam sistem PADU adalah sebahagian inisiatif bagi melakukan penyasaran semula subsidi agar benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).