POLEMIK membabitkan isu pemansuhan pencen penjawat awam baharu dan bakal mencarum dalam skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mencetuskan perdebatan terbuka. Ada yang suka, ada yang tak suka.
Natijahnya, cadangan untuk memansuhkan pencen penjawat awam ini mendapat kritikan masyarakat sehingga mencadangkan pula supaya pemansuhan pencen itu dikuatkuasakan terlebih dulu kepada semua lantikan politik, bekas menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Misalnya, jika seorang menteri pernah menyandang lebih daripada satu jawatan, bermakna dirinya akan menerima tiga bayaran pencen setiap bulan sedangkan ada antara mereka berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam tempoh singkat atau sepenggal sahaja sekitar lima tahun, tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan disandangnya, berbanding penjawat awam yang hanya menerima satu pencen sedangkan khidmatnya menjangka hingga 40 tahun.
Pada 24 Januari lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen. Timbalan Perdana Menteri berkata, satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Beliau berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan KWSP.
Bagaimanapun, Kabinet masih ‘senyap’ isu membabitkan pencen menteri, Ahli Parlimen dan ADUN, sama ada diseleraskan untuk diberi pilihan menerima satu pencen sahaja, bukan dua atau tiga seperti sekarang.
Sarawak pula awal-awal lagi sudah mengumumkan iaitu kakitangan perkhidmatan awam negeri ini yang baharu akan diambil di bawah skim Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) mulai tahun ini, mengikut langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna kakitangan baharu akan mencarum dalam skim persaraan KWSP dan tidak akan menerima pencen bulanan dari kerajaan selepas bersara.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dilaporkan berkata, mereka yang diambil di bawah JBC akan menikmati jawatan tetap serta faedah sama seperti mereka di bawah skim pencen tradisional, seperti faedah perubatan dan perumahan.
Berikut kita lihat perbandingan kelebihan, kelemahan KWSP dan skim pencen seperti dikongsikan oleh pengguna menerusi Facebook ‘Kami Guru Malaysia, baru-baru ini.
Kelebihan skim pencen:
1. Jaminan bekalan kewangan seumur hidup selepas bersara. Selepas bersara, golongan skim pencen akan menerima pencen bulanan pada kadar tertentu dan meningkat pada kadar dua peratus setiap tahun.
2. Jaminan bekalan kewangan kepada waris. Dengan faedah terbitan, waris golongan skim pencen akan menerima ganjaran terbitan dan bayaran pencen setiap bulan jika penerima asal meninggal dunia sama ada ketika dalam perkhidmatan atau selepas bersara.
3. Lebih banyak pendapatan boleh guna disebabkan golongan skim pencen tidak mencarum dalam KWSP, maka mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna sebanyak 11 hingga 13 peratus berbanding golongan skim KWSP.
Kekurangan skim pencen:
1. Bekerja dengan kerajaan untuk tempoh yang lama. Seorang penjawat awam perlu bekerja selama tiga hingga lima tahun untuk mengesahkan perkhidmatan dan membolehkan individu tersebut memilih skim pencen.
Untuk menikmati semua kelebihan skim pencen, mereka perlu setia bekerja dengan kerajaan sehingga tempoh bersara. Jika bersara awal pula, segala keistimewaan skim pencen hanya akan diberikan selepas mencapai umur 55 tahun (bagi lantikan selepas 1991).
2. Risiko kehilangan keistimewaan skim pencen. Seorang penjawat awam boleh hilang keistimewaan skim pencen jika berhenti kerja, dikenakan hukuman tatatertib, diberhentikan atau dibuang kerja sebelum tempoh bersara. Seorang pesara yang sedang menikmati keistimewaan skim pencen juga boleh ditarik balik sekiranya melanggar syarat-syarat yang ditetapkan seperti dihukum atas kesalahan jenayah.
3. Tiada pelepasan cukai.
Pelepasan cukai buat pencarum KWSP adalah sebanyak RM4,000 setahun. Bagi golongan skim pencen yang layak membayar cukai, mereka perlu membayar cukai yang lebih tinggi.
Kelebihan skim KWSP
1. Tidak terikat untuk bekerja sehingga usia persaraan. Golongan skim KWSP tidak perlu berkhidmat sehingga umur persaraan kerana mereka tidak akan menikmati keistimewaan berpencen kecuali gantian cuti rehat (GCR) dan faedah perubatan.
2. Simpanan secara paksa rela.
Setiap bulan,sebanyak maksimum 26 peratus (13 peratus daripada pekerja dan 13 peratus dari majikan) daripada gaji akan disimpan ke dalam akaun KWSP, iaitu satu jumlah yang besar berbanding saranan biasa sebanyak 10 peratus.
3. Boleh dikeluarkan untuk tujuan tertentu. Antara jenis pengeluaran yang boleh menguntungkan ahli ialah pengeluaran pelaburan, mengurang dan menyelesaikan baki pinjaman perumahan, membina dan membeli rumah serta ansuran bulanan pinjaman perumahan.
4. Pemantauan lebih mudah.
KWSP menyediakan portal i-Akaun untuk memudahkan pencarum melihat penyata jumlah wang yang terkumpul dalam akaun masing-masing secara dalam talian. Menerusi inisiatif ini, perancangan kewangan boleh dibuat dengan lebih mudah.
5. Pelepasan cukai pendapatan.
Golongan skim KWSP layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM4,000 setahun.
Kekurangan skim KWSP
1. Tidak patuh syariah.
Akaun KWSP sebelum ini dianggap tidak patuh syariah kerana pelaburannya yang bercampur-baur. Namun, KWSP sudah pun mewujudkan skim Simpanan Syariah sejak Ogos 2016.
2. Ketidaktentuan sumber pendapatan selepas bersara. Selepas bersara, golongan skim KWSP hanya bergantung kepada jumlah wang yang ada dalam akaun KWSP dan juga simpanan atau pelaburan lain jika ada untuk teruskan kehidupan.
3. Tiada jaminan untuk waris.
Jika terjadi kematian kepada golongan skim KWSP, waris mereka tidak akan menerima apa-apa keistimewaan.
Hanya jumlah dalam akaun KWSP sahaja yang ada. Itu pun perlu melalui pelbagai prosedur tertentu sebelum diperoleh waris.
4. Kurang pendapatan boleh guna.
Disebabkan sebahagian gaji kasar ditolak untuk caruman KWSP, golongan skim ini mempunyai gaji bersih yang lebih sedikit berbanding golongan skim pencen. Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna, malah mungkin menjejaskan peluang untuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman daripada bank.
Asalnya cadangan memansuhkan skim pencen ialah bebanan kewangan kepada kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sebelum ini mendedahkan tanggungan kerajaan ke atas pembayaran pencen untuk pesara kerajaan, Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata jika dilihat skim pencen di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penjawat awam tidak akan menerima apa-apa jika mereka mahu meninggalkan perkhidmatan awam sebelum usia persaraan.
“Kadang-kadang (skim) ini meletakkan mereka dalam situasi yang sukar, terutama apabila mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada sektor korporat. Mereka perlu mengorbankan skim pencen mereka jika mereka ingin berpindah ke sektor korporat untuk kemajuan kerjaya yang lebih baik,” kata Mohamad Abu Bakar.
Justeru, katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan semua pengambilan baharu diambil bekerja di bawah Jawatan Berasaskan Caruman yang akan menarik lebih ramai bakat muda kerana mereka bebas pergi (meninggalkan perkhidmatan awam) pada bila-bila masa.
Tetapi menurut Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin penjawat awam di negara ini lebih memilih skim pencen berbanding caruman KWSP kerana golongan itu memperoleh manfaat dari segi ganjaran dan bonus setiap tahun.
Katanya, penjawat awam berstatus tetap yang baharu dilantik dan mencarum KWSP tidak mendapat keistimewaan sama seperti kategori skim pencen ketika tamat perkhidmatan, sebaliknya hanya menerima wang caruman.
“Bagi kakitangan kerajaan yang gaji tak tinggi sangat, maka pencen pun tak banyak dapat, paling tinggi RM1,000 ke RM2,000 (mengikut gred) itu yang membuatkan mereka nak memilih pencen. Kalau kakitangan tetap tapi tiada pencen dan ambil KWSP, carumannya tak banyak dan apabila bersara nanti tak dapat ‘gratuity’ (ganjaran), dia dapat caruman sahaja,” katanya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.