POTENSI kebangkitan Sarawak terletak pada sumber semula jadi yang kaya, lokasi strategik dan komitmen terhadap projek hijau seperti pengeluaran hidrogen hijau. Situasi ini kerana Sarawak diliputi hutan hujan tropika yang luas dengan pelbagai spesis tumbuhan. Bayangkan betapa luasnya Sarawak, yang membentuk 37.5 peratus dari keseluruhan kawasan negara.
Lokasi strategik Sarawak sesuai bagi membina dan mengukuhkan pelabuhan strategik yang penting bukan sahaja untuk wilayah Sabah, Labuan dan keperluan domestik Sarawak, akan tetapi mampu memacu dan menjadi pusat utama di perairan Laut China Selatan yang terjangkau luas hingga Filipina dan wilayah BIMP-EAGA. Memanfaatkan kepelbagaian kekuatan ini dapat menarik pelaburan dan mendorong pertumbuhan ekonomi.
Asas kejayaan
Pada masa sama, perlu memastikan aspek ‘semak dan imbang’ dalam soal dasar dan pemberian keutamaan kepada pembangunan lestari, pemeliharaan alam sekitar dan pentadbiran yang telus. Menerima inovasi dan teknologi juga penting untuk kejayaan Sarawak pada masa depan, terutamanya dalam industri yang sedang berkembang.
Justeru, pengaplikasian teknologi baharu perlu dikuasai pada era pasca-moden yang mana Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IOT) sepatutnya menjadi asas pendidikan di sekolah untuk dibudayakan dan dinormalisasikan. Begitu juga penguasaan aspek blockchain, penyimpanan awan, robotik dan inovasi yang perlu disejajarkan dengan pembangunan yang dirancang agar lebih pantas dan mencapai kejayaan. Malah, Revolusi Industri Keempat (IR4.0) sewajarnya tidak lagi dilihat sesuatu yang baharu, malah sudah diterapkan dalam norma kehidupan seharian.
Ketelusan
Kepemimpinan Sarawak sepatutnya memberi tumpuan kepada mencipta persekitaran perniagaan yang kondusif dengan menyusun peraturan, memastikan sistem pentadbiran bebas rasuah dan memberikan insentif untuk menarik pelbagai industri. Selain itu, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan boleh merangsang inovasi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagi menarik pelabur dalam industri semikonduktor dan mengatasi kekurangan tenaga kerja, Sarawak sepatutnya memberi tumpuan kepada program pendidikan dan latihan. Berkolaborasi dengan institusi pendidikan dan memberikan insentif kepada pekerja mahir boleh membantu membina tenaga kerja mahir serta mencipta ekosistem bagi industri.
Menangani keperluan pendidikan di Sarawak adalah penting untuk pembangunan masa depan. Mengekalkan atau menambahkan dana untuk pendidikan, terutamanya di kawasan yang kurang terjangkau, dan mempertimbangkan penambahan sekolah, termasuk sekolah asrama, boleh meningkatkan peluang pendidikan untuk semua.
Pelaburan dalam institusi pengajian tinggi, khususnya dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET), dapat menyumbang kepada tenaga kerja yang mahir, sejajar dengan matlamat pembangunan negeri. Libat urus berterusan dengan pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan dan organisasi alam sekitar, adalah penting untuk menangani kebimbangan, memasukkan pelbagai pandangan, dan memastikan amalan pembangunan lestari.
Meningkatkan perhubungan
Sarawak memang menghadapi cabaran dalam infrastruktur asas, seperti air, telekomunikasi, dan elektrik terutama di kawasan yang jauh di pedalaman dan ini boleh diatasi serta merupakan dedikasi yang dapat diperbaharui strategi dari semasa ke semasa. Penyusunan semula sistem ini adalah penting untuk pembangunan lestari. Mengatasi halangan peraturan dan pelaburan dalam memodenkan infrastruktur boleh menangani halangan ini.
Pembangunan infrastruktur mesti melibatkan lebih daripada utiliti. Meningkatkan rangkaian pengangkutan dan penyambungan digital tidak hanya akan memudahkan pertumbuhan industri tetapi juga meningkatkan aksesibiliti dan komunikasi keseluruhan di negeri ini.
Lebuhraya Pan Borneo juga memainkan peranan penting bagi masa depan Sarawak untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Pihak yang mendapat manfaat utama termasuk bandar seperti Kuching, Miri, dan bandar di sepanjang lebuh raya yang mengalami peningkatan penyambungan dan pembangunan infrastruktur.
Masyarakat luar bandar mendapat manfaat terbesar daripada projek ini dan selama ini ia merupakan hambatan dalam membina ekonomi rakyat yang memerlukan sistem pengangkutan dan perhubungan yang lebih efisien. Meningkatkan penyambungan ke kawasan pedalaman memerlukan strategi multimodal, termasuk peningkatan pengangkutan air dan udara sedia ada. Memastikan harga yang berpatutan dan aksesibiliti pengangkutan pesawat kecil adalah penting untuk menghubungkan kawasan terpencil.
Demikian juga usaha pengambilalihan MASWings dan Pelabuhan Bintulu dari Kerajaan Persekutuan tahun ini, diikuti pula langkah kerajaan negeri meningkatkan pegangan dalam Affin Bank Bhd, membolehkan Sarawak mengawal sektor strategik di kawasan ini.
Ruang baharu
Persekitaran baharu ini mampu membolehkan penetapan dasar yang relevan untuk penduduk tempatan seperti meningkatkan peluang ekonomi dalam bidang seperti pelancongan, perdagangan, dan perbankan serta mengurangkan pengangguran.
Dengan melakukan demikian, Sarawak akan memiliki ruang yang mencukupi untuk menarik pelaburan dalam pembangunan infrastruktur kawasan dengan matlamat untuk meningkatkan penyambungan, pengangkutan dan logistik, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri.
Dengan melakukan penerokaan lebuh raya masa depan, termasuk sambungan ke ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, dan mempertimbangkan perjalanan kereta api juga dapat meningkatkan penyambungan dan kerjasama serantau.
Apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya, Sarawak mempunyai peluang untuk bekerjasama dan membina perkongsian ekonomi. Menumpukan kepada perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya dapat mengukuhkan hubungan serta menggalakkan ekonomi negeri.
Membahagi kekayaan
Sementara itu, niat kerajaan untuk mengagihkan kekayaan adalah baik, tetapi usaha berterusan dalam pengagihan kekayaan yang saksama, program sosial, dan pembasmian kemiskinan adalah penting. Penilaian dan penyesuaian berkala terhadap dasar boleh memastikan faedah mencapai populasi secara berkesan.
Dalam menilai usaha pengagihan kekayaan, kerajaan seharusnya mempertimbangkan audit dan mekanisme maklum balas berkala untuk menilai impak dasar ke atas penduduk. Penyesuaian dan penyempurnaan berdasarkan penilaian ini dapat meningkatkan keberkesanan inisiatif pengagihan kekayaan.
Untuk memastikan inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat, kerajaan boleh melaksanakan program yang disasarkan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan kemahiran, terutamanya di kawasan luar bandar. Ini boleh memberdayakan penduduk tempatan dan menyumbang kepada tenaga kerja yang lebih kukuh dan berpelbagai.
Asas yang diletakkan oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam memastikan keadilan sosial bagi warganegara Sarawak yang dikembangkan secara unik oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diperbaharui dengan usaha penuh kreativiti dan inovatif oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membangunkan Sarawak mampu memberikan ruang dinamik kepada sosioekonomi dan pembangunan yang lebih baik dan cemerlang.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).