SELAIN antimoni, emas dan minyak, Sarawak pada satu ketika melakukan perlombongan arang batu. Aktiviti perlombongan ini menjadi sektor terpenting di Sarawak pada akhir abad ke-19. Perlombongan arang batu bermula apabila keluarga Brooke memerintah Sarawak.
Perkembangan dan kepentingan arang batu ini sejajar dengan perkembangan revolusi industri ketika itu yang memerlukan bahan bakar untuk mengerakkan enjin wap bagi industri-industri di Eropah. Penciptaan kapal wap juga membawa kepada keperluan dan kemajuan industri perlombongan arang batu.
PEMULAAN
Perkembangan di dunia ini juga mempengaruhi pemerintahan Brooke di Sarawak. Atas sebab itu usaha telah dilakukan untuk mengenal pasti kawasan pengeluaran arang batu di Sarawak. Usaha ini telah digerakkan seawal 1840-an sehingga 1850-an dan mengesan 30 kawasan berpotensi untuk dilombong. Daripada jumlah ini hanya di Simunjan sahaja yang dilakukan usaha melombong.
Namun, demikian usaha awal ini menemui kegagalan untuk mengusahakan perlombongan arang batu ini. Usaha itu membawa kerugian yang besar kepada pihak kerajaan Brooke. Dikhabarkan bahawa kerugian ini adalah kira-kira £20,000. Cita-cita awal ini akhirnya ditinggalkan buat sementara waktu. Apabila Charles Brooke menjadi Raja Sarawak pada 1870 beliau telah meminta J. A. St. John dengan bantuan orang Dayak melakukan tinjauan atau cari gali arang batu di Silantek dan Simunjan.
Peninjau ini akhirnya berjaya menemui simpanan arang batu yang banyak di Silantek dan Sadong. Kejayaan ini disusuli dengan usaha membawa sampel arang batu itu ke Singapura bagi mengenal pasti kualiti arang batu ini. Akhirnya pada 10 Jun 1872, Pengurus Singapore Gas Company Limited, E. J. Wells memberi berita baik dengan menyatakan arang batu di Sarawak mempunyai kualiti yang tinggi. Mereka menambah bahawa arang batu ini mampu mengerakkan jentera-jentera wap.
PENCARIAN
Berita gembira ini membawa kepada usaha mengerjakan lombong-lombong arang batu di Sarawak. Pada awalnya iaitu pada 1872, pihak kerajaan Brooke telah menjemput menerusi iklan kepada sesiapa pelabur sama ada syarikat atau individu untuk mengerjakan lombong arang batu di Sarawak. Setelah dua tahun berlalu, tawaran dari kerajaan Brooke ini tidak mendapat sambutan dari syarikat-syarikat luar.
Akhirnya pihak kerajaan Sarawak sendiri yang cuba mengusahakan lombong arang batu di Sadong. Pekerja Cina juga dibawa masuk untuk mengusahakan lombong arang batu ini. Tambahan daripada itu penduduk tempatan juga diberi peluang untuk mengerjakan lombong tersebut sebagai buruh. Kejayaan di Simunjan diikuti dengan usaha peninjau periksa di Lingga. Usaha ini juga berjaya menjumpai kuantiti simpanan arang batu yang banyak di kawasan yang terletak lapan batu dari Pantu.
Sampel arang batu dari kawasan ini juga dibawa ke Singapura untuk menentukan kualiti arang batu tersebut. Hasil pemeriksaan oleh beberapa orang jurutera di Singapura mendapati bahawa kualiti arang batu ini jauh lebih berkualiti dari arang batu di Simunjan. Hal ini sekali lagi membawa berita gembira kepada Charles Brooke.
Pada 1872 Charles Brooke telah menjemput mana-mana syarikat asing yang mahu mengerjakan arang batu tersebut. Ketika itu Charles Brooke sendiri yang mencadangkan sebuah syarikat dibentuk untuk melakukan usaha-usaha melombong. Syarikat ini dikenali sebagai The Lingga Coal Mining Company. Syarikat ini akan dinaungi oleh kerajaan Brooke. Namun demikian cadangan beliau ini tidak mendapat reaksi daripada pelabur-pelabur luar.
Terdapat juga usaha mencari simpanan arang batu ini di Mukah. Dikatakan bahawa Mukah juga mempunyai simpanan arang batu. Hal ini disahkan oleh Residen Rajang, C. C. de Crespigny. Namun demikian tiada usaha untuk membangunkan arang batu di Mukah.
Apa yang menariknya tentang perlombongan arang batu di Sarawak ini adalah tentang lombong arang batu di Muara, Brunei yang dikenali sebagai Brooketon. Lombong arang batu ini adalah milik kerajaan Brooke. Lombong arang batu ini juga dibangunkan oleh pihak kerajaan Brooke.
PENGELUARAN
Sementara itu di Simunjan, usaha membangunkan perlombongan arang batu ini melibatkan usaha membangunkan infrastrukturnya. Pada awalnya arang batu ini dibawa oleh lembu dari kawasan lombong ke pangkalan di Sungai Sadong. Sekitar 1890-an, sistem pengangkutan ditingkatkan apabila satu landasan kereta api dibina dari kawasan lombong ke pangkalan.
Pembangunan yang dilakukan ini telah meningkatkan kecekapan pengangkutan di kawasan perlombongan tersebut. Sejak awal lagi pengeluaran arang batu ini telah menunjukkan peningkatan. Hal ini dilihat pada peningkatan dalam pengeluaran arang batu ini dari 500 tan pada 1874 kepada 2,600 tan pada 1881.
Pengeluaran arang batu berada pada 31,390 tan di Sarawak pada 1898. Dari 1889 hingga 1898, arang batu menjadi hasil perlombongan utama. Malah ia telah mengatasi pengeluaran emas ketika itu.
PENAMATAN
Zaman kejatuhan pengeluaran arang batu ini bermula pada awal abad ke-20. Secara puratanya pengeluaran arang batu sekitar 20,000 tan. Akhirnya lombong arang batu ditutup pada 1931. Salah satu sebab penutupannya adalah pengurangan pemintaan terhadap arang batu. Ini kerana perubahan dalam penggunaan bahan bakar dari arang batu kepada minyak menyebabkan kejatuhan kepada pemintaan kepada arang batu.
Pada penghujuang 1950-an, terdapat usaha mengerakkan semula lombong arang batu ini. Kali ini syarikat Jepun iaitu Nippon Coal Mining Company Limited berminat untuk melakukan usaha melombong arang batu di Sarawak. Ini kerana pemintaan tinggi dalam industri besi dan keluli di Jepun terutama untuk batu arang kok. Ini menampakkan usaha memulihkan perlombongan arang batu tetapi akibat konfrontasi, aktiviti perlombongan ini terhenti semula.
Begitulah catatan sejarah ringkas perlombongan arang batu di Simunjan. Apa yang tinggal hari ini hanyalah dandang (boiler) dan kawasan perlombongan. Boleh difikirkan juga bagaimana sejarah arang batu ini dapat membangunkan Simunjan sebagai tempat pelancongan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.