LEYA AMEERA nama sebenarnya Nurshamilya Amira Annuar Rigos, 31, mulanya menyimpan angan-angan menjadi pelakon dan akhirnya impian tersebut terlaksana apabila beliau diberi kepercayaan oleh beberapa individu hebat memegang watak utama dalam telemovie Luka Dari Mukah.
Jelas Leya, beliau meletakkan minat dalam bidang lakonan sejak menyertai kelab teater ketika melanjutkan pelajaran di universiti 12 tahun lalu.
“Dari situ, saya menyimpan niat dan angan-angan untuk mengembangkan bakat saya dengan berbekalkan sedikit ilmu yang diperoleh itu untuk dimanfaat sebaiknya dalam kehidupan saya sekiranya diberi peluang. Alhamdulillah rezeki Allah itu sangat luas,” jelas Leya.
Melakonkan watak utama seorang jururawat bernama Dayani berbangsa Melanau dalam Luka Dari Mukah bagi Leya bukan mudah yang disangka.
“Setiap rezeki yang datang itu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul walau sesukar manapun keadaannya. Oleh itu, saya mencabar diri sendiri sepanjang pengambaran walaupun jauh di sudut hati ini kuat mengatakan bahawa saya langsung tidak layak menjadi seorang Dayani.
“Namun, dengan dorongan dan sokongan keluarga, saya percaya setiap ujian itu akan menjadi mudah sekiranya kita bersiap sedia sepenuhnya fizikal dan mental.
“Jadi, saya pun bertanya kepada keluarga, rakan terdekat saya, lebih-lebih lagi yang tinggal di Mukah dan yang bekerja sebagai jururawat, tentang bahasa, perubatan, tugas mereka serta banyak lagi yang berkaitan.
“Menerusi bantuan tersebut, saya berusaha mendalami watak tersebut semampu mungkin dan selebihnya saya hanya berserah serta tawakal,” jelas Leya yang kini bertugas sebagai penyampai berita di Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Bercerita pengalaman pertama berada di lokasi penggambaran, berkomunikasi dengan pengarah dan kru, Leya berkata, pengalaman baharu yang sangat manis untuknya simpan sebagai kenangan.
“Saya telah memberikan sepenuh komitmen dan masa saya demi kelancaran pengambaran ini dan saya cuba sehabis baik untuk memudahkan kerja semua pihak.
“Syukur saya diberi peluang bekerjasama dengan kru produksi serta pengarah yang sangat baik, peramah, memahami dan senang untuk didekati termasuk semua pelakon. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menyiapkan telemovie ini. Secara keseluruhan, ia menyeronokkan dan semuanya amat saya hargai,” kata Leya.
Kata Leya, penggambaran Luka Dari Mukah memakan masa selama dua minggu iaitu tiga hari di Mukah dan selebihnya di Kuching.
“Melihat kepada keseluruhan telemovie Luka Dari Mukah, saya berpuas hati dan gembira melihat lakonan rakan-rakan lain. Namun, untuk lakonan saya sendiri, jujur saya mengaku banyak yang perlu saya perbaiki lagi lebih-lebih lagi berkaitan fizikal saya iaitu berat badan yang nampak ketara naik..sedikit kecewa. Insya-Allah saya akan cuba persiapkan diri saya sebaik-baiknya pada masa akan datang sekiranya diberi peluang untuk berlakon lagi,” luah Leya.
Mengenai gandingan bersama Azam Pitt, Leya berkata, Azam Pitt seorang pelakon yang sangat berbakat besar dan sememangnya beliau tidak menyangka akan digandingkan bersama.
“Azam banyak membantu saya dalam telemovie ini selain berkongsi pengetahuan, ringan tulang, mudah bergaul dan kuat menyakat! Ia sedikit sebanyak mencipta ‘chemistry’ antara kami dan saya akui senang bekerjasama dengannya,” jelas Leya.
Harapan Leya, agar diberi peluang untuk memperoleh sebanyak mungkin ilmu dalam bidang lakonan serta dapat bekerjasama dengan ramai lagi individu hebat dalam industri ini.
Telemovie Luka Dari Mukah telah disiarkan di TVS diterbitkan oleh Pencil Pictures & Record Sdn. Bhd, menampilkan penerbit Datuk Ayu Puteh, diarahkan oleh Adon Dagok (FDAM), skrip oleh Sophilea dan penolong pengarah ialah Rashid Ramli.
Turut dibintangi oleh May May Fung, Boy Khalit, Saeit Mat, Yahaya Rosli, Sofia Yusuf, Haziyah Fatin, Nurzipah Abdullah dan ramai lagi.
Oleh Yanti Sham