UMUM mengetahui bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah peminat setia P. Ramlee sehingga sering menyanyikan lagu-lagu seniman agung itu di kebanyakan majlis rasmi.
Namun, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Tun Taib juga amat meminati lagu Secret Love yang dinyanyikan oleh Doris Day.
Minat terhadap lagu tersebut bermula selepas berlaku memori yang tidak dapat beliau lupakan di Kuching sebelum melanjutkan pendidikan ke Australia. Selain itu beliau meminati Sastera Melayu terutama sekali pantun, di samping seni bangsawan.
Semalam, berita sedih menyelubungi seluruh apabila Tun Taib meninggal dunia pada usia 87 tahun di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepemimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.
Beliau secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.
Setelah hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Abdul Taib digantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri pada 29 Januari lepas.
Nama Allahyarham bukan nama yang asing bagi rakyat Sarawak dan Malaysia. Figura penting ‘Bumi Kenyalang’ itu turut menerima gelaran sebagai bapa pemodenan Sarawak.
Satu perkara yang diingati rakyat Sarawak mengenai Tun Abdul Taib ialah konsep politik pembangunan yang diperkenalkannya ketika menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri.
Konsep itu diberi penekanan kerana menyedari Sarawak masih lagi mundur dan perlu mengoptimumkan pembangunan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Inilah gagasan dilahirkannya ketika memimpin Sarawak untuk tempoh lebih tiga dekad (1981-2014) sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat, sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh pada 2014.
LETAK JAWATAN KM
Pada 12 Februari 2014, beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri kepada Yang di-Pertua Negeri ketika itu, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.
Maka berakhirlah tempoh 33 tahun Tun Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak, satu rekod dengan perkhidmatan paling lama yang mungkin sukar dipecahkan pada masa akan datang.
Beliau menerima pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negeri pada 28 Februari 2014.
Tun Taib dilahirkan di Kampung Sungei Merbau, Miri. Bapa beliau, Mahmud Abang Yahya adalah keturunan Pehin Datu Yahya Setia Raja, seorang aristokrat.
Ketika berusia lima tahun, tentera Jepun menyerang Miri pada 1941 dan ketika itulah bapa Tun Taib membawa keluarganya ke kampung nenek moyangnya di Mukah.
Selepas Jepun menyerah kalah, keluarga Mahmud kembali semula ke Miri dan Tun Taib bersekolah di Sekolah Melayu Anchi dan kemudiannya di Sekolah Rendah St Joseph di Jalan Merbau sebelum melangkah ke Sekolah Menengah St Joseph di Kuching.
Semasa di bangku sekolah, cita-cita Tun Taib ialah untuk menjadi doktor tetapi bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub mendesaknya untuk menjadi seorang peguam.
Pada 1958 beliau mendapat Biasiswa Colombo Plan dan melanjutkan pelajaran di University of Adelaide di Selatan Australia, sehingga memperoleh Sarjana Perundangan.
Selepas menamatkan pengajian, beliau dilantik sebagai sekutu Hakim Sir Herbert Mayo di Mahkamah Tinggi Australia Selatan. Tun Taib kemudiannya melanjutkan pengajian di Harvard International Summer Course.
Tun Taib merupakan peminat setia P. Ramlee sehingga sering menyanyikan lagu-lagu seniman agung itu di kebanyakan majlis rasmi.
MEMINATI LAGU P RAMLEE
Beliau kemudiannya menjadi penaung, pertandingan lagu-lagu P. Ramlee di Kuching. Selain itu beliau meminati Sastera Melayu terutama sekali pantun, di samping seni bangsawan.
Sekembalinya ke Sarawak, Tun Taib bertugas dalam Crown Council dari 1962 dan kemudian membantu menubuhkan Barisan Ra’ayat Jati Sarawak (BARJASA). Beliau kemudiannya meletak jawatan dari Crown Council pada 1963 sebaik sahaja dilantik sebagai Naib Pengerusi BERJASA.
Pada Pilihan Raya majlis tempatan 1963, BERJASA memenangi 44 daripada 429 kerusi. Ketika itu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menjadi parti yang menang majoriti besar dan Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri Sarawak pertama.
Pada 22 Julai 1963 Tun Taib dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya sehingga 1966. Seterusnya pada 1967 Tun Taib dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan di bawah kepemimpinan Ketua Menteri baharu, Penghulu Tawi Sli.
Tidak lama selepas itu, Tun Taib dilantik sebagai Timbalan Menteri Persekutuan di bawah portfolio Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970.
Semasa pilihan raya umum 1970 beliau memenangi kerusi Kota Samarahan dan memegang beberapa portfolio seperti Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Asli (1972-1974).
Pada 1980 beliau dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sebelum mengundur diri dari Kabinet Persekutuan pada Mac 1981 untuk kembali ke Sarawak.
Pada pilihan raya kecil kawasan Sebandi pada Mac 1981 Tun Taib menang tanpa ditandingi. Kawasan itu dikosongkan oleh Datuk Sharifah Mordiah untuk memberi laluan kepada Tun Taib kembali ke arena politik Sarawak.
Dalam Kabinet Sarawak, Tun Taib pada mulanya dilantik sebagai Menteri Tanah dan Galian. Pada 26 Mac 1981 Tun Abdul Rahman Ya’kub mengosongkan jawatan Ketua Menteri Sarawak untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri manakala Tun Taib mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat.
Abdul Taib mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Raghad Kurdi Taib pada 18 Disember 2010.
Isteri pertama Tun Taib, Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada 2009 akibat barah jantung.
Moga arwah Tun Taib ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.