PUTRAJAYA: Sebarang cadangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertujuan memperkukuhkan nilai mata wang negara merupakan langkah yang tidak sesuai ketika ini, ia juga akan memberi kesan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Saya ambil maklum ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR. Saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakna mengenai perkara ini dan saya rasa itu bukan langkah baik pada waktu ini. Apapun BNM yang akan putuskan,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini bagi mengulas sama ada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu membincangkan mengenai prestasi semasa ringgit namun Fahmi menjelaskan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenainya.
Menurut Fahmi, penjelasan mengenai prestasi ringgit telah diberikan oleh Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour semalam dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini
Abdul Rasheed dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata BNM berpandangan bahawa paras ringgit pada masa ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang dan prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
Selain itu, mengenai peletakan jawatan tiga pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan mengenainya.
“Perkara ini tidak dibincangkan. Belum lagi…kami menerima pemakluman terkini, apakah statusnya. Tapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ada meneliti perkara ini dan sekiranya ada pemakluman nanti, ia akan diumumkan kemudian,” katanya.
Sebelum ini, LTAT menyaksikan peletakan jawatan Ketua Eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari lepas diikuti oleh Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari dan pada 20 Februari, Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatan. – Bernama