KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi membina loji ammonia dan urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat, di bawah terma MOU itu akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain, dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga boleh baharu di rantau ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usahasama bagi mengkaji potensi pembangunan loji ammonia dan urea berkarbon rendah berskala dunia itu amatlah dialu-alukan.
“Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah; ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” katanya.
Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat memanfaatkan sinergi, mengoptimumkan kos, dan berkongsi risiko, justeru memaksimumkan nilai untuk Sarawak dan Malaysia.
“Pada masa yang sama menzahirkan amalan perniagaan yang beretika dan pemikiran yang kolaboratif. Inisiatif pembangunan bersama ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak, di samping memacu penyediaan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan lestari selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mazuin Ismail berkata, usahasama itu berpotensi untuk menjadi projek berkarbon rendah pertama bagi PCG dan selaras dengan komitmen untuk memacu transformasi yang lestari dalam rantaian nilai.
“Kerjasama dengan Sarawak Petchem ini bukan sahaja sejajar dengan objektif kelestarian negara dan juga PCG, tetapi juga memudahkan pengembangan kami yang selanjutnya ke dalam pasaran urea di Asia Tenggara.
“Selain itu, ia memberi peluang untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu Sarawak sambil melengkapkan usaha kami dalam membangunkan kemudahan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS),” kata Mazuin.
Ammonia berkarbon rendah kebiasaannya digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, “bunkering” dan aplikasi mmmonia lestari pada masa hadapan.
Urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif. – Bernama