KUALA LUMPUR: Jenazah bekas bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, 87, yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, dibawa ke Masjid Negara untuk disolatkan.
Jenazah Allahyarham yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak itu dibawa menggunakan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 9.05 pagi.
Tun Taib meninggal dunia di hospital berkenaan pada 4.40 pagi tadi selepas kira-kira seminggu menerima rawatan di hospital berkenaan.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara bagi tujuan pengurusan kematian sebelum dibawa ke Kuching untuk disemadikan.
Terdahulu, perkarangan hospital berkenaan mula dipenuhi dengan kunjungan ahli keluarga dan sahabat Allahyarham.
Antara yang berada di hospital adalah Timbalan Menteri Ekonomi yang juga anak perempuan Allahyarham Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. – Bernama