BAGAN SERAI: Polis menahan seorang lelaki bersama dadah jenis syabu dengan anggaran berat 59 gram selain 1,200 biji pil kuda keseluruhan bernilai RM11,500 di Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Gunung Semanggol arah selatan, pada 29 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek yang dipercayai pengedar dadah berasal dari Pantai Timur itu ditahan selepas memberhentikan kereta jenis BMW251 Sport E90 berwarna hitam di susur keluar hentian R & R berkenaan pada jam 4.30 petang, Jumaat lepas.
“Ketika ditahan, suspek keluar dari keretanya dengan memegang satu beg plastik berwarna merah di tangannya namun bertindak membuang plastik itu di kawasan rumput berdekatan suspek berdiri selepas anggota polis datang untuk memperkenalkan diri.
“Hasil pemeriksaan di dalam beg plastik, polis menemukan enam paket berisi pil kuda seberat 120 gram dan dua paket dadah jenis syabu selain menemukan seutas jam tangan berjenama dan telefon bimbit dari dalam beg silang yang disandang suspek,” katanya.
Omar Bakhtiar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Balai Polis Semanggol antara Sarjan Azizi Abas dengan Sarjan Mejar V. Sures Kumar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek warga tempatan yang berumur dalam linkungan 30-an itu tidak bekerja selain dipercayai mengedar dadah di sekitar Kuala Kumpur dan suspek mendapat bekalan dadah di Pantai Timur.
“Suspek dipercayai menjual dadah jenis syabu seberat satu gram dengan harga RM70 dan pil kuda dengan harga RM6 sebiji,” katanya.
Beliau berkata, lelaki itu akan ditahan reman selama tujuh hari di sini mulai hari ini untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ketika ini, suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Taiping dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai di sebuah kompleks beli-belah di Taiping baru-baru ini,” katanya. – Bernama