BAGI kebanyakan rakyat Sarawak, jasa Datuk Pandelela Rinong tetap dikenang sampai bila-bila meskipun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024. Sama ada Ratu Terjun negara itu mahu meneruskan kerjaya sebagai penerjun, bersara atau menjadi jurulatih, itu terpulang tetapi hakikatnya, anak kelahiran Kupuo Jugan, sebuah perkampungan Bidayuh di Bau itu sudah banyak berjasa kepada negara.
Dia mula mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khasnya pada 2012 lagi apabila mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu di London. Pandelela juga adalah atlet Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 itu selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton.
Empat tahun kemudian di Rio 2016, dia meraih pingat perak bersama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita.
Pada 2 Mac ini, Pandelela menyambut hari lahir ke-31. Pada usia tujuh tahun, dia sudah dipilih menjadi perenang negeri dan menyambung latihannya di Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan kemudian mengambil ijazah Sains Sukan di Universiti Malaya.
Sebenarnya, Sarawak memang hebat dalam arena sukan akuatik iaitu terjun dan renang. Sebelum Pandelela, Sarawak pernah melahirkan jaguh renang iaitu Tania Bugo, anak kedua bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Hamid Bugo dan Judy Bugo. Tania pernah memenangi banyak pingat emas untuk Sukan Malaysia (Sukma) dan mewakili Malaysia ke kejohanan peringkat umur pada usianya lapan tahun.
Tania mendominasi acara renang dan perenang terbaik Sarawak pada era 1980-an dan 1990-an. Dia memenangi 13 pingat emas daripada jumlah 19 pingat emas ketika Sarawak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia ke-3 (Sukma III) pada 1990, sekali gus membantu Sarawak muncul juara keseluruhannya. Dia baru berusia 14 tahun dan pencapaian cemerlangnya memukau seluruh negara ketika itu.
Jurulatih dan mentor Tania, Victor Tan sudah mula melatih Tania berenang ketika berusia tiga tahun lagi. “Kami melakukan latihan anaerobik ketika itu dan Tania terpaksa berenang 14,000 meter setiap hari untuk dua sesi latihan. Ia sukar untuk Tania kerana dia terpaksa datang sejauh 14 kilometer ke kolam renang. Tidak ada insentif untuk Sukma ketika itu dan kita lakukannya kerana semangat dan demi kegemilangan Sarawak,” katanya seperti dilaporkan media pada 2015.
Bukan itu sahaja, Sarawak ada lagi atlet akuatik seperti Daniel Bego dan Bryan Nickson yang unggul di persada antarabangsa. Daneil, 35, adalah perenang negara yang berkepakaran dalam acara gaya bebas dan rama-rama yang muncul sebagai salah seorang perenang terbaik di Malaysia apabila memenangi 15 pingat (9 emas, 2 perak, dan empat gangsa) di Sukan Asia Tenggara dan memecahkan enam rekod kebangsaan. Dia merupakan perenang Malaysia pertama untuk bersaing di tiga acara berbeza dalam satu Sukan Olimpik.
‘Penerjun pelapis masih gagal saingi Pandelela’
Bryan Nickson Lomas, 34, pula pernah mencipta sensasi apabila muncul atlet kedua termuda dunia yang beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 selain pernah diangkat menjadi juara remaja dunia pada tahun sama. Selepas bersara pada 2015, Bryan pernah menjadi jurulatih sambilan untuk pasukan negeri Selangor dan kemudian berkelana ke Asia Barat untuk menjadi tenaga pengajar bagi Kelab Terjun Kazma di Kuwait. Pada September tahun lalu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengumumkan pelantikan Bryan sebagai sebagai pengarah teknikal.
Selaku Pengarah Teknikal MAS, Bryan baru-baru ini turut mengulas kegagalan Pandelela, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng, meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris bagi acara 10 meter platform seirama.
“Saya rasa mungkin tidak dapat rentak latihannya dan beberapa faktor, antaranya usia melebihi 30 tahun. Kita catat di bawah paras sebenar. Apa yang penting, penerjun pelapis pula gagal menyaingi Pandelela. Kita juga patut lihat pembangunan, kita sepatutnya ada lebih baik atau sama tahapnya,” katanya seperti dilaporkan media.
Berbalik kepada kisah Pandelela yang banyak menarik perhatian warganet sejak kebelakangan ini, sebenarnya dia banyak mencipta sejarah tersendiri yang mungkin sebahagian kita sudah lupa.
Menurut Wikipedia, Pandelela membuat kemunculan persaingan antarabangsa pertamanya pada 2007 di Kejohanan Remaja Akuatik Asia dengan memenangi empat pingat emas. Di Sukan Asia Tenggara 2007, di Thailand, dia memenangi pingat emas dalam platform serentak 10m dengan Cheong Jun Hoong.
Pandelela membuat penampilan Olimpik pertamanya di Sukan Olimpik Beijing 2008 pada usia 15 tahun. Semasa Kejohanan Akuatik Dunia 2009, dia memenangi pingat gangsa dalam acara terjunan 10 meter bersama dengan Leong Mun Yee. Pandelela juga turut menyertai acara terjunan 10 meter di Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
Pandelela adalah pembawa bendera untuk Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Belia 2010 di Singapura dan ketika itu, dia memenangi pingat perak dalam acara terjunan 10 meter dan terjunan 3 meter.
Pada 2010 di New Delhi, India dia memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Komanwel 2010 bagi sukan akuatik acara terjunan 10 meter. Pandelela menjadi wanita pertama Malaysia pembawa bendera di upacara pembukaan Sukan Olimpik 2012 di London dan ketika itu mencatat sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (pingat gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform wanita, dan atlet Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 di London selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton.
Penghargaan
Untuk memperingati kejayaannya, beliau dianugerahkan pingat Johan Bintang Kenyalang (JBK) oleh kerajaan negeri Sarawak dalam majlis khas yang diadakan di Astana Negeri sejurus selepas pulang ke tanah air, menjadikannya atlet pertama Sarawak untuk diberikan anugerah itu.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia 2013 di Barcelona, Pandelela dan Mun Yee merangkul pingat gangsa dalam platform serentak 10m dengan 331.14 mata. Dia juga menduduki tempat keenam dalam acara 10m platform individu. Di Sukan SEA 2013 di Myanmar, Pandelela mengekalkan pingat emasnya dalam acara platform 10m.
Pandelela bersaing pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow. Walaupun mengalami kecederaan lutut, dia masih mampu memenangi pingat gangsa dalam platform serentak 10m bersama Nur Dhabitah. Di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Pandelela memenangi pingat gangsa dalam platform 10 meter bersama Leong Mun Yee.
Pada Julai 2015, Pandelela mencatat sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang menamatkan podium dalam satu acara individu di Kejohanan Akuatik Dunia. Dia meraih pingat gangsa dalam platform 10m individu di Kazan dan layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil.
Pada sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Pandelela memenangi pingat perak dalam platform serentak 10m dengan Cheong Jun Hoong, menjadikan pasukan wanita Malaysia pertama yang memenangi pingat perak di Olimpik.
Untuk menghargai pencapaiannya di pada Sukan Olimpik 2016 itu, Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya secara rasminya dinamakan Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Pandelela memenangi pingat gangsa dalam 10 meter serentak dengan Cheong Jun Hoong dan menduduki tempat kesembilan dalam acara 10m platform individu yang telah dimenangi oleh pasangannya, Jun Hoong.
Di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Pandelela memenangi pingat emas dalam acara pasukan yang baru diperkenalkan dengan Gabriel Gilbert Daim. Dia juga mengekalkan pingat emasnya dalam acara platform 10m individu.
Pada Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo, Jepun pula, Pandelela memenangi pingat emas dalam 10m platform individu.
Atas sumbangan besarnya pada Sarawak, maka pada 8 Oktober 2021, kerajaan negeri menganugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk kepada Pandelela Rinong Pamg.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.