LUNDU: Majlis Daerah Lundu (MDL) mengadakan beberapa sesi operasi sanitasi awam di sekitar Lundu dan Sematan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di sini, semalam.
Antara lokasi awam menjadi tumpuan sanitasi atau semburan nyahkuman MDL itu adalah Mahligai Gading, Pangkalan Feri Stunggang dan Rambungan, Balai Polis Daerah Lundu dan Kem Tentera Sematan.
Selain itu, semua gerai seliaan MDL di Lundu, Sematan dan Biawak, Terminal Bas Lundu dan Sematan, selurun Pasar Lundu dan Sematan, RHB Bank Lundu, rumah rehat MDL, Hotel Gading dan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) turut menjalani operasi yang sama.
Penyemburan itu melibatkan para petugas MDL bertujuan untuk memastikan tempat awam bersih dan selamat kerana wabak itu mudah merebak di tempat awam seperti pasar komuniti itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha MDL Norashikin Brahim dalam satu kenyataan berkata pihaknya bersetuju untuk membenarkan para petani, penternak dan nelayan menjual hasil mereka di Pasar Tamu Lundu bermula pukul 7.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja.
“Walaubagaimanapun, MDL akan mengambil langkah ketat dengan memastikan pengunjung dan penjual mengamalkan penjarakan sosial sepanjang operasi jual beli di lokasi tersebut.
“MDL juga tidak membenarkan sebarang operasi perniagaan hasil tani, ternak atau laut di kawasan persendirian atau di tepi jalan.
“Tindakan akan diambil sekiranya ada penjaja didapati melanggar arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” jelasnya.
Tambahnya, peniaga dan penjual mesti memakai topeng hidung dan mulut serta sarung tangan pada setiap masa sepanjang beroperasi serta memastikan mengguna pencuci tangan sebelum dan selepas keluar dari kawasan pasar tamu.
“Hanya seorang peniaga dibenarkan menjalankan urusniaga di tapak yang disediakan dalam satu tempoh.
“MDL mempunyai kuasa untuk menghadkan jumlah pengunjung dalam sesuatu masa yang masuk ke dalam kawasan pasar tamu,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan selari dengan PKP yang dilaksanakan sehingga 14 April ini, semua pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan dan semua rumah ibadat di Lundu dan Sematan adalah ditutup.
Dalam kenyataan berlainan, MDL berkata orang ramai yang bergerak di tempat awam selepas pukul 7.00 malam tanpa mempunyai permit khas pergerakan boleh ditahan oleh pihak berkuasa dan hanya individu di bawah kategori perkhidmatan penting boleh memohon permit tersebut melalui Pejabat Residen Kuching atau Pejabat Daerah Lundu.
Kegagalan mematuhi arahan ini boleh didakwa di bawah seksyen 186 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda maksimum RM10,000 atau keduanya sekali.