KUCHING: Salah seorang daripada dua beradik kembar yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Gita Baru di sini, meninggal dunia dipercayai lemas dalam kejadian sekitar 2.41 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak mengesahkan kejadian memaklumkan salah seorang daripada dua beradik kembar berusia 12 tahun yang dibawa menggunakan ambulans itu meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas doktor gagal memulihkan keadaannya.
Ahsmon berkata, dua beradik kembar itu, menurut ahli keluarga, sedang berjalan ke kedai berhampiran di Kampung Gita Baru apabila salah seorang daripada mereka mengintai ke atas jambatan dan terjatuh ke dalam sungai.
Abang kembar bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya, namun turut terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Bongsu kepada kembar dikejarkan ke hospital dengan ambulans sementara sulung kembar dibawa ke hospital dengan menggunakan kereta bapa mangsa.
Ahsmon berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi demi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Oleh Connie Chieng