SARIKEI: Sebanyak lebih 100 permit telah dikeluarkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kepada individu dan syarikat setakat ini untuk memburu buaya bagi tujuan perdagangan dan sebagainya.
Namun, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kebanyakan mereka yang memiliki permit tersebut tidak aktif.
“Mempunyai permit ini bermakna mereka telah diberi lesen untuk memburu buaya sama ada untuk dijual dan sebagainya.
“Memang kita galakkan mereka untuk meniagakan, sama ada menjual daging buaya, kulit buaya dan sebagainya,” katanya.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika ditemu bual media di rumah rehat Sri Nyelong, semalam.
Katanya, beliau turut menerima permintaan dari sebuah organisasi untuk mengadakan kursus berkenaan menjadikan kulit buaya sebagai produk seperti tali pinggang, beg, kasut dan sebagainya.
“Kita berhasrat untuk mengadakan kursus dalam bidang penhasilan produk dari sumber buaya untuk mereka yang berminat melalui kerjasama dengan SFC dan organisasi berserta pakar dari luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, permit yang dikeluarkan oleh SFC juga adalah antara kaedah digunakan untuk mengawal populasi buaya.
“Kita tidak mahu juga permit ini disalahgunakan untuk pembunuhan buaya secara berleluasa kerana ia akan memberi kesan kepada ketidakseimbangan ekosistem dan isu yang lain nanti,” katanya lagi.
Tambahnya, antara perancangan yang akan dilaksanakan oleh SFC adalah menyediakan kawasan pelindungan (santuary) untuk buaya-buaya tersebut.
“Buaya-buaya akan ditangkap dan dilepaskan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti pelindungan buaya. Ia merupakan salah satu dari kaedah bagaimana kita dapat mengurangkan konflik antara buaya dan manusia.
“Memang kita tidak dapat menafikan kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak pernah mempunyai kehadiran buaya, kini telah di huni oleh buaya,misalnya di kawasan Sarikei ini juga dan Kuala Rajang.
“Walaubagaimanapun, kita perlu bekerjasama dengan SFC dan penduduk setempat.
“Ini untuk memastikan orang ramai peka terhadap notis dan papan tanda disediakan di setiap kawasan yang dihuni buaya, sekiranya berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Oleh Earl Anek