JANUARI mempunyai pelbagai kenangan sejarah tersendiri selain Disember. Salah satunya adalah dikaitkan dengan serangan Jepun ke atas Sarawak. Pada 1941, Jepun telah bertindak untuk menguasai wilayah-wilayah di sebelah Asia Timur termasuk Sarawak.
Jepun mula menyerang Miri dan menawan bandar tersebut. Seterusnya beberapa bandar dan pekan di Sarawak juga diserang dan ditawan. Kuching merupakan bandar terakhir ditawan oleh tentera Jepun. Tentera British bersama-sama dengan pasukan keselamatan Brooke cuba sedaya upaya mempertahankan Sarawak.
Namun demikian, kekuatan tentera Jepun gagal diatasi oleh pihak British dan Brooke. Kuching dengan pantas berjaya ditawan oleh tentera Jepun.
Pengunduran
Akibat serangan Jepun yang semakin berjaya menawan Kuching, Kolonel British di Kuching mengarahkan pengunduran dalam tempoh 48 jam ke wilayah Belanda di Kalimantan, Borneo. Pengunduran ini melalui hutan tebal dari Kuching dan sampai ke Jagoi pada 27 Julai 1941. Mereka yang berundur ini juga telah bertembung dengan 50 anggota tentera Jepun yang dipercayai orang Manchuria. Kedua-dua pihak telah bertempur dan berjaya menumpaskan mereka dengan 18 terkorban daripada pihak musuh.
Pegawai British yang berundur dari Sarawak menuju ke Batavia mencerita pada lewat Januari 1942 seramai sekitar 20 orang Eropah telah ditawan dan ditahan di Kuching oleh tentera Jepun. Hanya lima orang bangsa Eropah yang terdiri daripada dua doktor dan tiga jururawat dibenarkan meneruskan tugas mereka masing-masing dengan bebas.
Sementara itu, jaringan perkhidmatan surat menyurat dari Singapura ke Sarawak termasuk Borneo Utara dan Brunei juga mula terhenti seawal Januari 1942. Atas sebab itu, pengirim surat dinasihatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan tersebut.
Walaupun Kuching berjaya ditawan oleh Jepun, tentera Belanda meneruskan usaha melemahkan kekuatan tentera Jepun dengan menyerang Kuching terutama landasan terbangnya. Ini kerana, Jepun bertalu-talu menyerang kedudukan tentera Belanda di Kalimantan, Borneo. Namun usaha Belanda ini gagal menghalang kemaraan tentera Jepun apabila jajahan Belanda di Hindia Timur juga telah ditawan oleh tentera Jepun.
Raja Brooke
Ketika Sarawak diserang oleh Jepun, Raja Vyner Brooke tidak berada di Kuching. Beliau sedang bercuti di Sydney, Australia pada penghujung November 1941. Beliau ketika itu tidak menjangka Jepun akan menyerang Asia Tenggara.
Apabila beliau tiba di Brisbane, berita tentang pengisytiharaan perang Jepun telah dibuat. Beliau kemudiannya telah mengambil keputusan untuk pulang ke Sarawak menerusi jalan udara.
Sampai di Surabaya pada 25 Disember 1941, beliau mendapati bahawa perhubungan tanpa wayar dengan Kuching terputus. Beliau berhajat untuk kembali ke Kuching melalui Pontianak tetapi berita tentang serangan Jepun ke atas Kuching menyebabkannya mengubah fikiran. Semasa di Bandung, beliau dimaklumkan bahawa Kuching telah ditawan oleh tentera Jepun pada 16 Disember 1941.
Mendengar berita kejatuhan Kuching di tangan tentera Jepun menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Australia. Di Australia, beliau telah menetap di Sydney sebagai tempat tinggal. Namun demikian, dilaporkan juga bahawa beliau tinggal keseorangan di pangsapuri dua bilik di Melbourne. Beliau dikhabarkan mendapat gaji bulanan sebanyak lebih £1,000 sebulan. Walaupun pendapatan yang beliau peroleh ini agak lumayan tetapi kehidupannya di Australia seperti orang biasa.
Ini kerana semua kerja rumah dari mencuci baju hingga memasak dilakukan oleh beliau sendiri. Keadaan ini berlaku kerana kekurangan kakitangan yang membantu Raja Vyner di Australia.
Berkenaan dengan serangan Jepun ke atas Sarawak, beliau berpendapat bahawa tentera musuh dibantu oleh warga negara Jepun yang tinggal di Samarahan.
Beliau menyatakan bahawa terdapat sekitar 100 orang warganegara Jepun yang berkerja di estet-estet getah. Sebelum Jepun menyerang Sarawak, kerajaan Brooke bersama dengan pihak berkuasa British telah mempunyai rancangan untuk menahan penduduk Jepun di Sarawak. Usaha ini dilakukan dengan pergi ke Samarahan untuk menahan pekerja-pekerja Nissa Shokai. Mereka yang ditahan ini dibawa ke Kuching untuk ditempatkan di beberapa tempat tahanan. Wanita-wanita Jepun telah ditahan di sekolah Roman Katolik.
Kerajaan perang
Sementara itu, Rani Sylvia iaitu isteri kepada Raja Vyner Brooke pula berada di Amerika Syarikat. Semasa di sana, beliau juga mempunyai harapan bahawa penduduk Sarawak akan mempertahankan Sarawak daripada serangan Jepun. Apabila beliau tiba di London, beliau berharap Amerika Syarikat akan membantu mengalahkan Jepun dengan harapan untuk mendapatkan semula Sarawak.
Sementara itu, Majlis Tertinggi di Sarawak dibubarkan. Sebuah suruhanjaya ditubuhkan di London untuk menjaga hal ehwal raja Sarawak dan menjadi badan pentadbiran. Anthony Brooke telah dilantik untuk mengetuai suruhanjaya tersebut.
Reaksi penduduk
Sementara itu, semasa Jepun menyerang Sarawak, terdapat reaksi tidak puas hati penduduk Sarawak terhadap orang Barat. Mereka mula mempersoalkan usaha mempertahankan Sarawak oleh orang Barat yang dilihat amat lemah sehingga berjaya ditembusi oleh pihak musuh.
Mereka bertanya kepada pegawai-pegawai Barat ketika itu dengan soalan ‘kita mempunyai landasan terbang tetapi tiada pesawat pengebom, mengapa hal ini terjadi’ dan ‘kita juga telah memberi bantuan kepada usaha peperangan.’ Persoalan sebegini sukar dijawab oleh pegawai Barat yang sedang berhadapan dengan serangan Jepun.
Soalan-soalan penduduk Sarawak semakin mencabar apabila Miri berjaya ditawan oleh tentera Jepun. Mereka mula melihat punca masalah ini datang daripada orang Barat. Antara lain apa yang diluahkan oleh mereka adalah, ‘orang Eropah telah membawa perang ke negara kami dan mereka (orang Eropah) tidak boleh mempertahankan kita’ dan ‘semua masalah kami sekarang kerana orang Eropah.’
Serangan Jepun ke atas Sarawak menunjukkan bahawa Sarawak tidak dapat lari daripada isu dunia. Perkembangan dunia mempunyai kesan yang langsung dan tidak langsung ke atas Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.