PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak melepas begitu sahaja tanggungjawab mereka berhubung status kontrak para pemain membabitkan tiga pasukan yang dibatalkan saingan liga mereka beberapa hari lepas.
Sebaliknya, tetap mengambil berat serta memberi tumpuan berhubung perkara itu. Demikian dinyatakan Presiden FAS, Dato Posa Majais ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
“Kita akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan secara terperinci perkara itu. Pemain dari tiga pasukan itu adalah tanggungjawab kami (FAS),” ujar beliau.
Beberapa hari lepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi perkeliling yang dikeluarkan membatalkan saingan liga melibatkan tiga pasukan iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia.
Pun begitu, dalam hal berkaitan FAM menyarankan agar semua pasukan membayar minimum dua puluh lima peratus (25%) daripada jumlah baki kontrak yang ada sebagai pembayaran ex-gratia (pampasan/ganti rugi) kepada pemain.
Pasukan juga harus menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawai menggunakan prosedur dan saluran yang betul dalam perbincangan bersama membabitkan semua pemain dan pegawai.
Menurut Dato Posa, pihaknya menyambut baik keputusan badan induk teringgi membatalkan saingan liga berkenaan.
“Satu keputusan yang tepat kerana kita merasakan dengan pembatalan saingan liga membabitkan tiga kelompok pasukan berbeza itu mampu mengelak beban yang terpaksa ditanggung oleh persatuan negeri-negeri dalam situasi negara dan dunia berdepan musibah virus Covid-19,” tambah beliau lagi.
Oleh Faizal Bujang