ADENG EDRUS
LAWAS: Seramai lebih 22,000 pelajar di negara jiran Brunei telah mulakan sesi persekolahan pada 2 Jun 2020.
Para pelajar memulakan pembelajaran secara fizikal di bilik-bilik darjah setelah sekian lama membuat pembelajaran di rumah secara atas talian iaitu sejak sekolah ditutup pada 11 Mac 2020.
Pemeriksaan suhu badan bagi para pelajar sebelum masuk ke kelas masing-masing diambil oleh guru atau penjaga sekolah.
Sekolah-sekolah yang dibuka ialah sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, termasuk sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga sekolah swasta.
Sementara bagi sekolah antarabangsa, ia adalah tertakluk kepada suatu tarikh yang ditetapkan oleh institusi masing-masing.
Pada peringkat pertama ini, keutamaan adalah bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam, iaitu pelajar Tahun 6; Tahun 8; Tahun 10 Express; Tahun 11; Tahun 12; dan Tahun 13.
Sekolah-sekolah hari ini menerima lebih 22,000 pelajar, iaitu merangkumi pelajar sekolah kerajaan; sekolah swasta; dan sekolah ugama.
Sesi persekolahan secara fizikal yang dimulakan secara berperingkat itu bertujuan bagi memastikan kesejahteraan, tahap keselamatan dan kesihatan pelajar juga warga sekolah di negara itu sentiasa terjamin.
Bagi melancarkan sesi pembelajaran dan pengajaran itu, prosedur operasi mengenai perkara berikut dikongsikan bersama pemimpin sekolah, iaitu pembukaan sekolah secara berperingkat, garis panduan bagi sekolah dan persiapan penjarakan dan kebersihan diri.
Semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang membabitkan perhimpunan ditunda bagi semua peringkat untuk memastikan keselamatan dan penjarakan sosial semua pelajar dan guru terjaga.
Kementerian Pendidikan juga menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah bagi sesi pembelajaran dan pengajaran penggal kedua ini sebagai rujukan bagi pihak sekolah dan ibu bapa.
Selain itu, ada juga sekolah terpilih dilengkapkan dengan Smart Helmet, iaitu topi keledar yang dapat membuat pemeriksaan suhu badan dan mengimbas suhu badan lebih daripada lima orang dalam satu masa.