Oleh: Lokman Hakim
SEPERKARA yang saya suka dengan sastera Sarawak ialah negeri ini tidak pernah tandus penulis pelapis. Membaca cerpen “Lelaki yang Sibuk Mati” mengingatkan saya pada karya-karya Roslan Jomel yang punya judul-judul aneh seperti ini. Gaya penceritaan seperti ini pula mengingatkan saya pada karya-karya Ruhaini Matdarin. Dan secara tidak langsung, saya berharap Stefanie Kaso tidak begitu dipengaruhi kedua-dua pengkarya kontemporari Malaysia ini tetapi menerokai ruang penulisan yang belum diterokai sebelumnya.
Stefanie Kaso faham rukun cerpen yang bagus. Buktinya, dia telah memulakan cerpennya dengan sepotong ayat “Aku telah mati hampir satu jam.” Ia sebuah ayat yang sarat dengan pertanyaan. Sudah tentu, kerana ia melanggar logik akal – bagaimana seseorang yang sudah mati boleh berinteraksi apatah lagi bercerita, bukan? Maka, ayat ini ibarat menjemput kita ke dalam dunia absurd yang tidak lagi berpijak di bumi nyata. Ia mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan skeptikal kerana skeptikal kalian akan dibunuh di sini.
Baik. Ayuh kita teliti naratif seterusnya.
Kelihatannya cerpen ini menjanjikan suatu yang aneh dan baharu. Watak utama bernama Peter, lahir pada tahun 1983. Jadi, Stefanie Kaso mahu kita faham bahawa cerita yang ditampilkan ini memiliki latar waktu dan tempat meskipun ceritanya tidak berpijak di bumi nyata. Hal ini sebenarnya penting dalam garapan sebuah fiksyen absurd kerana sebuah naratif yang terlalu asing daripada realiti pembaca menuntut imaginasi tinggi yang tidak dimiliki majoriti pembaca. Dalam erti kata lain, keanehan naratif ini dikawal dengan peletakan waktu dan tempat yang sejajar dengan keadaan semasa. Di samping itu, ia juga boleh digunakan selaku kritikan sosial halus terhadap sikap masyarakat pada waktu dan latar tempat yang digambarkan tersebut.
Pergerakan cerita ini bermula dengan kematian ayah Peter yang berlaku serentak dengan kelahiran dirinya. Namun, ayah Peter tiba-tiba hidup semula dengan kematian sementera Peter. Tragedi ini suatu pemula untuk kritikan sosial Stefanie Kaso terhadap sikap manusia mendepani kematian. Kita disuguhkan dengan situasi yang memperlihatkan Peter dinafikan untuk mengambil peperiksaan UPSR semata-mata ditugaskan untuk menangkap kematian orang penting dalam kampungnya. Bahkan hak Peter untuk berkeluarga juga dinafikan apabila dia disuruh menangkap kematian ketika sedang sibuk menguruskan hal perkahwinannya sendiri. Naratif ini diakhiri dengan kematian ayahnya disusuli dengan perkelanaan Peter ke tanah asing demi mengubah nasibnya yang dibelenggu ketamakan orang kampung yang enggan mati itu.
Membicarakan perihal kepengarangan Stefanie Kaso, suka saya ungkapkan petikan daripada cerpen tersebut seperti berikut:
“Ayah meninggal, ibu menjerit, lalu keluarlah aku dari perut ibu. Serentak itu aku menangis lantang, telanjang, tidak berdosa, kesejukan.”
Ayat-ayat dalam perenggan ketiga ini sangat berkuasa. Ia tragis dan juga dramatik sekali gus menghadirkan unsur komedi gelap yang turut mendukung gaya bahasa tersendiri pengarang yang saya kira bukan lagi berada di tahap amatur. Justeru, saya tidak lihat kewajaran mengkritik gaya bahasa ataupun bentuk naratif pengarang yang kelihatannya sudah melepasi tahap itu.
Oleh yang demikian, saya ingin menyentuh lebih mendalam tentang konsep idea “lelaki yang sibuk mati” itu sendiri dan menekuni falsafah penceritaan dan melihat kewajarannya dalam menggambarkan masyarakat waktu kini.
Cerpen, secara tidak langsung ialah cerminan pengarang terhadap apa-apa yang berlaku di sekitarnya. Tidaklah semestinya sesebuah cerpen itu harus bertindak selaku kritikan sosial. Tetapi ia sentiasa memiliki nuansa kritikan sosial walau pengarang cuba mengelakkannya. Hal ini kerana cerpen ialah tindak balas pengarang terhadap apa-apa yang kelihatannya perlu dicerakinkan daripada cerapannya saban hari.
Peranan Peter selaku lelaki yang bertindak sebagai pengantara demi menebus kematian seseorang dengan “kematian sebentar” menjadikan dia tumpuan dan ‘aset kekal’ kampung yang didiaminya. Dalam erti kata lain, Peter dilihat selaku suatu jalan keabadian kepada para manusia yang gerun pada kematian. Peter ditanggapi sebagai suatu pilihan kepada manusia yang diketahui tidak boleh memilih untuk tidak mati.
Hal yang disajikan Stefanie Kaso dalam cerpen ini adalah suatu hipotesis keadaan masyarakat apabila mereka diberi pilihan sama ada untuk mati atau kekal abadi. Perkara ini kerap ditemui dalam kebanyakan fiksyen, iaitu suatu kelebihan sering kali menjadi asbab keruntuhan manusiawi. Bezanya di sini, pengarang menggambarkannya dengan sinis.
“Kehidupan yang dikembalikan kepada aku setelah kematian seperti pertunjukan sarkas kepada mereka. Namun pertunjukan kematian aku juga tidak mampu menahan perhatian mereka. Mereka akhirnya bosan dan kematian aku telah menjadi perkara yang biasa.”
“Tanah perkuburan tidak lagi menjadi tempat yang ditakutkan. Mereka melepak, bergosip dan bergurau-senda sementara menunggu aku hidup kembali.”
Pengarang mengungkapkan sikap manusia yang mudah bosan dengan sesuatu yang meskipun terlihat luar biasa dan cukup bermanfaat – tidak akan dihargai kemudian harinya kelak kerana betapa mudahnya ia diperolehi. Bukan sekadar itu, manusia juga tidak teragak-agak untuk memperolok-olokkan sesuatu yang sakral seandainya ia tidak lagi menyentuh nubari mereka secara telus.
“Mereka dengan bijak telah menyimpulkan sesuatu – bahawa aku mampu menangkap kematian. Untuk mengesahkan dugaan mereka, aku diminta berbaring di tepi lelaki tua yang nazak.”
Pengarang menggambarkan sifat manusia yang bijak tetapi dalam waktu yang sama punya keberanian untuk melangkaui persempadanan moral demi mengesahkan kebenaran sesuatu perkara.
“Lalu mereka menyerbu kawasan sekolah dan meminta aku mengikut mereka. Pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa, kerana jumlah penduduk yang datang seperti rombongan yang mahu mengadakan protes. Hari itu aku mati dan hidup semula. Sebetulnya aku tertinggal kerana tahun hadapan aku tidak kembali lagi untuk menduduki UPSR, juga tahun-tahun berikutnya. Juga PMR, juga SPM. Aku sibuk mati.”
Di sini, pengarang menjelaskan kepada pembaca betapa manusia itu tidak akan peduli pada nasib individu lain selagi mana hasratnya dipenuhi. Kita dipertontonkan dengan sifat mementingkan diri sendiri masyarakat sehingga tergamak mengetepikan pendidikan Peter demi memastikan kematian ditangkap di kampung mereka.
“Katanya, aku tidak mempunyai hak untuk menentukan mati dan hidupnya. Itu adalah pilihannya. “Kalau mati itu pilihan kau,” jawabku, “maka hidup juga satu pilihan. Membunuh diri bukan cara yang baik untuk mati.”
Pengarang memperlihatkan kepekaannya terhadap naratif kontemporari yang jelas sarat dengan isu depresi dan bunuh diri. Hal ini penting untuk pengarang kerana dia harus merenung banyak perkara melalui pelbagai sudut dan juga ruang. Dia bukan sekadar harus menekuni buku-buku pelbagai genre dan jenis tetapi harus memperluaskan pandangannya melalui pemerhatian yang matang terhadap kelakuan dan tabiat manusia di sekelilingnya.
Oleh itu, melihat kepada naratif-naratif ini, tidak sukar untuk melihat bahawa daya penilaian dan pemerhatian pengarang terhadap manusia sejagat punya kedewasaan dan tidak tipis renungannya. Namun, terdapat keperluan untuk mengimbangi tanggapan sebegini kerana memahami manusia tidak lazim disandarkan pada generalisasi yang sering kali memerangkap pengkarya ke dalam kejumudan ideologi yang menjelekkan.
Tidak semua manusia itu tamak haloba apabila disuguhkan dengan kuasa. Tidak semua manusia itu bersikap mementingkan diri sendiri apabila mendepani situasi yang menjerat dan mendesak. Hal ini kurang diberi perhatian dalam naratif-naratif pengarang mutakhir ini. Kita kerap merenung hal-hal besar tanpa mengenal pasti hal-hal kecil yang mendukung ataupun terselindung di sebaliknya.
Setiap kebejatan dan kejahatan manusia yang kelihatannya kian menjadi-jadi membuatkan para pengarang bertindak balas dengan menghasilkan karya-karya yang menyentuh sisi negatif manusia ini. Simon Chritchley dalam bukunya yang berjudul “Tragedy, Greeks and Us” mengungkapkan secara rinci perihal kecenderungan pengarang menghasilkan karya-karya bertunjangkan tragedi-tragedi yang dilihat menyentuh nubari penonton lebih berkesan berbanding peristiwa-peristiwa membahagiakan.
Kita melihat berduyun-duyun karya kreatif yang terhasil menggambarkan konflik perang Israel-Palestin mutakhir ini. Ia adalah salah satu tindak balas sosial yang normal untuk para pengarang yang dilihat selaku alat perakam zaman yang penting dalam mana-mana jua ruang lingkup waktu.
Berbalik pada hipotesis pengarang terhadap masyarakat manusia apabila mendepani pilihan untuk mengelak kematian, suka saya ungkapkan di sini bahawa pengarang juga tidak terlepas daripada mencerminkan sisi gelap manusia. Setelah sekian lama meneliti karya-karya sastera, saya mahu tidak mahu harus akui, sisi gelap manusia sering diberi perhatian khusus pengkaryaan manakala sisi-sisi manis dan sarat cahaya kurang diberi naratif.
Barangkali, pengarang akan memberikan suatu impak baharu ataupun penerokaan ruang yang belum diterokai seandainya gambaran masyarakat terhadap kebolehan luar biasa Peter disisihtepi ketamakan dan ketakutan manusia mendepani kematian.
Misalnya, saya ingin mengetahui tanggapan sekumpulan kecil manusia dalam penceritaan ini yang tidak mahu sama sekali menolak kematian setelah mengetahui kewujudan Peter dengan kebolehan luar biasanya itu. Pasti akan ada manusia yang menanggapi kedatangan Peter itu selaku suatu peringatan kepada mereka bahawa pilihan untuk tidak mati itu suatu ujian berat ke atas manusia yang akal fikirannya sering diselubungi hawa nafsu pada hal ehwal duniawi. Ataupun, boleh sahaja pengarang memberikan suatu naratif yang menunjukkan Peter diusir serta-merta demi memberi ruang kesucian sebuah kematian dijaga rapi.
Cerpen ini mengingatkan saya pada petikan ayat dari Bible, iaitu Luke 24:12.
“Peter, walau bagaimanapun, bangkit lalu berlari ke arah permakaman. Tika membengkokkan tubuhnya, dia menyaksikan kain balutan mayat bersepahan tanpa mayat kelihatan, lalu dia berlalu pergi sambil dikelubungi pertanyaan demi pertanyaan terhadap apa yang sebenarnya berlaku.”
Entah kenapa, penamat cerpen ini seperti bergema dengan naratif dalam Bible ini. Ia seperti suatu cerminan pengarang terhadap tanggapannya apabila memberikan peluang kepada Peter untuk memulakan hidup baharu di tempat baharu yang kebolehannya untuk menipu kematian tidak diperlukan sama sekali.
Menilai secara keseluruhan cerpen ini, saya dapat menyimpulkan bahawa terdapat suatu kritikan halus yang cuba disampaikan pengarang terhadap sikap masyarakat di rumah panjang, merangkumi tuai rumah dan juga para penduduknya. Ketamakan terhadap hal-hal fana yang tidak bertunjangkan pandangan jauh ke hadapan merupakan suatu sikap yang membelenggu masyarakat yang digambarkan pengarang dalam cerpen ini.
Cerpen ini boleh dijadikan senjata alegori yang mengkritik kedangkalan pemikiran segelintir pihak yang mudah disogokkan dengan ganjaran kecil demi mengetepikan keuntungan besar yang bakal menantinya pada masa hadapan. Hal ini bukanlah suatu yang asing dalam senario kawasan pendalaman di Sarawak khususnya yang diladeni cabaran hebat untuk dibangunkan secara tuntas.
Dengan lahirnya pemikiran yang disuguhkan pengarang generasi baharu seperti Stefanie Kaso ini, saya melihat terdapat perubahan yang menjanjikan pada masa hadapan sastera Sarawak.
Saya belum kenal sosok bernama Stefanie Kaso, yang dilihat merupakan pelapis penulis baharu yang punya masa depan kesusasteraan yang cukup cemerlang sekiranya pengarang ini berusaha untuk terus-menerus mengarang demi membina perjalanan selaku sasterawan yang baik. Namun, dunia kepengarangan Malaysia cukup mencabar. Tanpa keinginan dan matlamat kepengarangan yang kukuh, semangat untuk menghasilkan karya-karya seterusnya mudah dipatahkan dengan hal-hal banal kehidupan seperti pekerjaan, masalah ekonomi dan segala bentuk halangan dalam bentuk kekangan masa dan ruang.
Doa saya agar pengarang tidak mudah lentur dek cabaran mendatang dan terus-menerus menghasilkan karya yang menjentik pemikiran masyarakat.