Oleh: Mohidin Haji Malek
THOMAS PENSON DE QUENCY, pengkarya, penulis esei dan pengkritik sastera Inggeris dalam sebuah makalahnya yang diterbitkan pada tahun 1848 menulis tentang ‘sastera yang mengandungi ilmu pengetahuan’ (literature of knowledge) dan ‘sastera yang kuat’ (literature of power). Menurut beliau, fungsi sastera yang mengandungi ilmu pengetahuan adalah untuk mendidik, manakala fungsi sastera yang kuat adalah untuk menggerak atau menyedarkan sama ada khalayak pembaca, mahupun masyarakat umum. Kedua-dua bentuk sastera tersebut, menurutnya, bergerak selari dan diibaratkan umpama layar sebuah bahtera dan kemudinya. Karya yang dihasilkan oleh mana-mana penulis dan dalam apa-apa juga genre, sewajarnya dititipkan dengan elemen ilmu pengetahuan yang bermanfaat serta berguna bagi membentuk sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan di samping memiliki sifat kebertanggungjawaban terhadap iklim persekitarannya. Lantaran hal yang sedemikian itu, penghasilan karya bukan berupa amalan atau perbuatan ‘suka-suka’ atau sekadar memenuhi masa senggang tetapi berfungsi lebih daripada itu. Oleh itu, apabila seseorang pengkarya melahirkan karyanya, perlu difikirkan apakah mesej yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca. Hal ini menjadi satu kriteria penting yang tidak harus disisih mahupun dikesampingkan.
Bertitik tolak daripada apa-apa yang diperkatakan, pengkarya mempunyai tugas yang tidak kurang pentingnya dalam pentarbiahan masyarakat umum. Secara mudah, mengubah sama ada persepsi mahupun sikap yang negatif kepada yang positif sifatnya. Penyebaran ilmu pengetahuan melalui kegiatan berkarya memerlukan daya sensitiviti di samping penguasaan yang amat baik dalam bidang kebahasaan.
Pada kelazimannya, keupayaan serta kebijaksanaan seseorang pengkarya bermain dengan kata-kata atau diksi (dalam konteks penulisan sajak), mampu menggamit perasaan pembaca sehingga sama ada, mereka terbuai mahupun tersentuh oleh naratif yang disampaikan pengkaryanya. Akan terbuka gapura minda untuk membuat penaakulan serta penilaian yang mendalam, dan dalam keadaan-keadaan tertentu, membuat tindakan susulan atau respons yang positif bagi membetulkan keadaan seperti yang dilontarkan dalam sesebuah karya. Lantaran itu, tidak hairanlah mata pena diandaikan lebih tajam daripada mata pedang.
Sebelum ‘terjun’ ke bidang pengkaryaan, wajar difahami sedalam-dalamnya tujuan menghasilkan karya. Menulis bukan sekadar sebagai wadah peluahan emosi yang ‘tersentuh’ atau ‘tergugat’ oleh sesuatu peristiwa, mahupun penitipan kisah yang peribadi sifatnya semata-mata, akan tetapi harus menyelitkan unsur pengajaran bagi mengubah corak pemikiran khalayak pembaca ke suatu titik penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Menulis bukan untuk menagih simpati daripada pengalaman-pengalaman duka yang dialami, pun bukan untuk mempersendakan sesuatu perbuatan yang tidak wajar.
Tulislah apa-apa perkara berlaraskan pandangan, pemerhatian serta penaakulan tentang rencah kehidupan yang berlaku di sekeliling kita. Namun, usah lupa untuk menyelitkan nilai pengajaran mahupun teladan. Hal yang sedemikian itulah yang berupa antara nilai yang disebut-sebut sebagai unsur estetika dalam pengkaryaan. Estetika yang tercetus bukan sahaja daripada keupayaan serta kebijaksanaan pengkarya ‘menyulam’ kata-kata menjadi ‘ambal pengkisahan’, akan tetapi juga dari segi keberhemahan menitip ‘pesanan’ serta ‘teguran’ secara halus sehingga mampu meresap dalam nubari pembaca. Dalam erti kata lain, ‘menjasadkan roh karya’ atau dalam bahasa Inggerisnya, the embodiment of the whole text. Hal yang sedemikian pernah penulis perkatakan sebelum ini.
Dengan mengambil kira elemen kekuatan serta penitipan ilmu pengetahuan dalam sesebuah karya sastera, penulis ingin menumpukan fokus perbincangan kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu. Sajak-sajak berkenaan ialah “Jangan ditebang Tualang Itu” karya saudara Stainly Santiago, “Menjadi Burung” hasil tulisan saudari Farah Athirah, dan “Gunung Alpa”, ilham cipta Niniefadzillea Iswandi. Melihat akan tajuk-tajuk sajak yang dihasilkan, membuahkan keterujaan penulis untuk menyelami sajak-sajak tersebut serta melihat akan kekuatan, di samping merungkai ilmu pengetahuan yang tertitip dalam setiap sajak berkenaan.
Sajak “Jangan ditebang Tualang Itu” menyentuh tentang peringatan pemuliharaan alam semula jadi, khususnya dalam konteks aktiviti penebangan pokok-pokok di hutan yang dilihat mampu menjejaskan keseimbangan alam sekitar. Mesej yang cuba diontarkan oleh Stainly Santiago agak berat serta memerlukan penelitian yang mendalam serta rujukan yang meluas.
Hal yang menarik untuk diperkatakan adalah, kenapa pengkarya memilih pokok tapang atau tualang sebagai perlambangan atau imej dalam sajak ini? Di samping hal itu, pengkarya seakan-akan mengkhusus kepada sepohon pokok tapang apabila disebut ‘jangan ditebang tapang itu’. Dalam konteks pemilihan imejan, pokok tapang atau nama saintifiknya koompassia excelsa ialah pokok yang mampu mencecah ketinggian sehingga 100 meter berbanding pokok-pokok lain. Mungkin kerana faktor yang sedemikian itu, pengkarya memilih pokok berkenaan untuk ‘mewakili’ spesies pokok, flora dan fauna dalam konteks sajak ini. Pun wujud kemungkinan, terdapat sebatang pokok tapang di kawasan pengkarya yang pada pandangannya harus dijaga dan tidak dimusnahkan agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Mesej sajak ini baik di samping pengolahannya juga agak baik. Namun demikian, saudara Stainly tdak seharusnya berasa puas dengan karyanya ini, sebaliknya membuat penelitian serta penambahbaikan. Sama-sama kita imbau karya beliau seperti yang berikut;
Jangan Ditebang Tualang Itu
Jangan ditebang tualang itu
Pokoknya tinggi memayungi bumi
Xilemnya keras persis bebatuan
Dahannya teguh menahan ranting
Daunnya hijau melambai mentari.
Jangan ditebang tualang itu
Kanopinya rimbun tadahan hujan
Banirnya kukuh berdinding-dinding
Akarnya berlumut mencengkam bumi
Mengepal tanah menahan runtuh.
Jangan ditebang tualang itu
Teratak naming menyidai madu
Kamar enggang menyusun sarang
Pentas berkelip si kunang-kunang
Menghiasi malam yang tiada berbintang.
Jangan ditebang tualang itu
Wariskan buat cicit kita
Agar mereka sempat merasa
Indahnya flora semulajadi
Hutan hujan tropika kita
INGAT…!
Jangan ditebang tualang itu.
Sajak “Menjadi Burung” menitip pesan akan peri pentingnya kebebasan dalam kehidupan. Pemilihan imej burung sebagai perlambangan dalam sajak ini bersesuaian dengan tabii haiwan berkenaan yang hidupnya bebas. Pengkaryanya yang pada tanggapan penulis adalah dalam golongan usia remaja, semestinya inginkan kebebasan dan enggan dikongkong. Hal yang sedemikian ini lazim.
Sajak ini mudah dan dihasilkan secara bersahaja. Walaupun mesej yang ingin dilontarkan mampu digarap oleh khalayak pembaca, akan tetapi persoalan yang sedemikian itu bukanlah baharu sifatnya. Persoalan kebebasan ialah persoalan klise yang terlalu kerap dibangkitkan atau dituntut oleh golongan remaja khususnya. Apa-apa pun, pengolahannya agak baik, namun perlukan lagi proses pemurnian. Dinukilkan sajak berkenaan oleh Farah Athirah, seperti yang berikut;
Menjadi Burung
Jangan disimpan dalam sangkar,
Seekor burung yang bebas jiwanya,
Berkelana mencari harapan,
Bersungguh dalam menetap angan,
Dangkal burung akan mekar kerana patah sayapnya,
Rajuk dan layu yang bertunas di atma,
Jangan disangka itu hukuman,
Kerana suka dan bahagia juga adakalanya bukan nikmat,
Harus bijak menakul dunia,
Maka jangan disimpan dalam sangkar,
Seekor burung yang bebas jiwanya.
Sajak ketiga, iaitu “Gunung Alpa” karya Niniefadzillea Iswandi, seperti sajak “Jangan ditebang Tualang Itu” membawa satu persoalan yang agak berat. Imej gunung berupa terjemahan kepada kemegahan, sesuai dengan sifat kejadiannya. Menjadi suatu kemegahan serta kebanggaan bagi seseorang sekiranya berjaya mendaki sebuah gunung yang tinggi dan penuh dengan cabaran.
Dalam sajak ini, Niniefadzillea cuba merungkai suatu persoalan, iaitu sikap bangga diri, angkuh serta sombong yang sering bertaut rapat dengan kemegahan atau keagungan sesuatu entiti. Sindiran tajam yang pada pandangan penulis, ditujukan kepada masyarakat umum, khususnya dalam kalangan golongan elit dan tinggi kedudukannya. Dalam pada itu, dititipkan ingatan akan kebesaran Yang Maha Pencipta yang lebih berkuasa daripada segala-galanya.
Suatu perkara yang menarik untuk difikirkan bersama-sama adalah persoalan yang dilontarkan pengkarya pada akhir sajak ini, iaitu adakah dirinya akan lupa diri seandainya dikurniakan kemegahan serta keagungan yang serupa?
Mesej sajak ini baik, namun masih ada ruang pemurnian dan penambahbaikan dari segi pengolahan serta pembinaan frasa-frasa yang membentuk bait-bait yang lebih puitis.
Gunung Alpa
Aku ingin terbang tinggi
merentasi sebuah gunung yang mendabik diri
ingin kuintai dari kemuncaknya
apakah yang dibanggakan
sehingga gunung ini bermegah diri?
memandang dengan jelingan jelik
pada tanah yang melandai di bumi.
Gunung ini mungkin diulit kealpaan
lantaran ketaasubannya menyapa langit dan awan
sedangkan tanah yang terbaring itu
hanya mampu menatap bumbung bumi
dari kejauhan
gunung ini alpa
ia boleh hancur pada bila-bila masa
bahkan mungkin terjunam dalam ke dasar bumi
dek tangan rakus manusiawi yang nyata lebih kejam
mahupun dek bencana alami yang tiada belas
dengan keizinan-Nya.
Aku juga ingin terbang tinggi
berdiri di atas kemuncak gunung ini
menilai diri – adakah aku juga
akan mendabik dalam kealpaan
angkuh dengan kuasa melangit
andai aku segagah gunung alpa ini.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah sajak ini memiliki kekuatan yang tersendiri dari segi penitipan ilmu pengetahuan. Pun demikian, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian serta penambahbaikan dari segi pengolahan, pembinaan frasa atau ayat serta pemilihan diksi.
Menghasilkan sajak ibarat menyediakan sajian makanan yang seimbang. Kesimbangan, dalam konteks sajak mampu melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan, di samping memiliki sifat peribadi yang mulia.
Tahniah kepada Stainly Santiago, Farah Athirah dan Niniefadzillea Iswandi. Teruslah berkarya. Tingkatkan kemahiran dalam pengkaryaan dan kebahasaan. Jadikan kamus sebagai teman. Semoga maju jaya dalam dunia kepenulisan.
Salam bahasa dan sastera.