ROMBAKAN Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu, menyaksikan jumlah keseluruhan Menteri dan Timbalan Menteri meningkat kepada 60 orang, daripada 55 orang sebelum ini.
Daripada jumlah itu, Ahli Jemaah Menteri meningkat kepada 31 orang berbanding 28 sebelum ini, manakala jumlah Timbalan Menteri meningkat kepada 29 daripada 27 orang.
Bagaimanapun. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menyindir Anwar yang disifatkannya ‘sentiasa betul’ susulan rombakan Kabinet itu.
Ahli Parlimen Pasir Mas terbabit mendakwa ketika mengumumkan saiz Kabinet yang dikecilkan sebelum ini, Anwar berkata, tindakan itu bukti kerajaan berjimat tetapi apabila mengambil langkah membesarkan saiz Kabinet, ia memberi alasan tindakan itu sebagai bukti kerajaan prihatin.
“Waktu dia kecilkan Kabinet, ini bukti kerajaan berjimat, kerajaan lepas hanya tahu membazir. Waktu dibesarkan Kabinet, ini bukti kerajaan prihatin. Dia sentiasa betul,” katanya melalui Facebook, kelmarin.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan anggota Kabinet itu masih rendah, berbanding 70 anggota ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini. Anwar berkata, rombakan Kabinet bertujuan menyesuaikan tuntutan dan perubahan semasa.
Ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 (1 Mac 2020 – 16 Ogos 2021), Kabinetnya mempunyai seramai 70 anggota di bawah 32 (menteri) portfolio berbeza iaitu tertinggi berbanding Perdana Menteri sebelum itu di samping 38 timbalan menteri.
Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri ke-7 bagi kali kedua (10 Mei 2018 – 24 Februari 2020) melantik 26 menteri dan 28 timbalan menteri, berjumlah 55 anggota pentadbiran.
Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 (21 Ogos 2021-10 Oktober 2022) ialah seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.
Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak (3 April 2009 – 9 Mei 2018), mempunyai seramai 30 menteri serta 27 jawatan timbalan menteri daripada 24 kementerian iaitu Kabinet terakhirnya mulai 2013 hingga 2018.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ke-6 (31 Oktober 2003 – 3 April 2009) mempunyai 28 menteri dalam Kabinet pertamanya.
‘Does size matter’? (Apakah saiz penting) kata seorang wakil rakyat melalui What’sApp ketika diminta mengulas. Beliau mengakui rakyat tidak suka jika saiz Kabinet besar kerana gaji mereka dibayar melalui cukai rakyat. “Apa pun yang penting keberkesanan Kabinet dan keperluan mengikut peredaran masa,” katanya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula menepis kritikan berhubung pertambahan barisan jemaah menteri.
“Tiada keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak tetapi penekanan perlu diberikan kepada penggunaan sumber untuk kebaikan rakyat. Dengan apa jua keputusan, pasti ada pihak yang bersetuju, tidak bersetuju atau mengkritik. Itu sudah dijangka.
“Terdapat gesaan untuk menteri kewangan kedua, dan kini menteri kewangan kedua telah diwujudkan. Namun akan ada kritikan mengapa kabinet dibesarkan,” katanya kepada media.
Apapun, tahniah kepada semua menteri dan timbalan menteri. Jalankan tugas dengan sebaik mungkin. Itu satu amanah.
Kuasa veto sudah tidak relevan
AMERIKA Syarikat (AS) dianggap melanggar semua prinsip dan nilai kemanusiaan selepas menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis dan Palestin pada 9 Disember lalu.
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berkata AS perlu bertanggungjawab ke atas pertumpahan darah melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas Palestin di Semenanjung Gaza yang telah dikepung itu.
“Keputusan AS secara terbuka memihak kepada Israel akan membawa kepada serangan besar-besaran berterusan oleh Israel di Gaza dan setiap wilayah yang diduduki rakyat Palestin. AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kegagalan resolusi yang membawa kepada kesukaran untuk rundingan damai dan penyelesaian dua negara tidak lama lagi,” menurut gabungan itu dalam kenyataan baru-baru ini.
Sebanyak 38 NGO terbabit dalam gabungan itu antaranya Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Misi Keamanan Sejagat Malaysia (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Haluan Malaysia.
Ia menyatakan bahawa penggunaan kuasa veto oleh AS memberi Israel akses terus dalam melaksanakan penjajahan dan pembersihan etnik secara terbuka serta mengabaikan desakan masyarakat antarabangsa yang ingin melihat penamatan segera serangan ke atas Gaza.
Hakikatnya, kepincangan tadbir urus global dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus mengheret konflik dan krisis yang berlaku bukan sahaja di Palestin, malah Ukraine dan Myanmar kepada satu situasi yang tidak dapat diselesaikan.
Masalah paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan dan kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. Kuasa veto tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap majlis tersebut.
Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.
Apakah sudah sampai masanya masyarakat antarabangsa memerlukan satu pertubuhan antarabangsa baharu yang mampu menyelesaikan segala kemelut melanda dunia dengan baik dan adil? Serangan terbaru rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin, terutama di Gaza mengulangi kegagalan PBB melaksanakan peranan efektif menyelesaikan konflik.
Malangnya, sudah tujuh dekad rentetan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin seumpama lukisan lama dipamerkan kembali dengan bingkai sama. Majlis Keselamatan PBB menjadi organ utama bertanggungjawab menjaga keamanan dan perdamaian antarabangsa, tetapi gagal menjalankan fungsi sebenar.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak