SIBU: Penghantar makanan berputih mata selepas kerugian RM75,300 akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Facebook dengan menjanjikan bayaran pulangan yang lumayan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 50-an yang berminat mengikuti pelaburan diiklankan telah menekan pautan iklan pada 10 September lalu.
“Mangsa kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen bernama Susan dan telah memberikan penjelasan berkenaan pelaburan tersebut.
“Pada 24 September lalu, suspek telah memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam kumpulan pelaburan berkenaan pelaburan saham Capital. Suspek telah meminta mangsa untuk memuatnaik aplikasi dan dikehendaki membuat bayaran bagi memulakan pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak enam kali transaksi ke dalam empat akaun syarikat bagi tujuan pelaburan dari tempoh 25 Oktober hehingga 24 November lalu.
“Mangsa merasa curiga apabila cuba menghubungi suspek untuk mengeluarkan wang pelaburan miliknya, namun pelbagai alasan yang diberikan oleh suspek. Mangsa merasa tertipu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tawaran keuntungan atau pulangan yang tinggi dan menyemak status sesuatu pelaburan dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu agar tidak terpedaya,” jelasnya.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh Akun Giman