KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia, melonjak kepada 45.6 pada Mei daripada paras terendah 31.3 pada April, menunjukkan tanda penstabilan dan mungkin bergerak ke arah pertumbuhan pada suku ketiga 2020, menurut penyelidikan bank dan firma penyedia maklumat global.
AmBank Bhd berkata, walaupun berada di bawah paras 50 mata bagi bulan kelima berturut-turut, perubahan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) serta pengoperasian semula pengeluaran telah mengurangkan kelembapan dalam industri pembuatan.
“Penurunan keluaran dan jumlah pesanan adalah lebih rendah berbanding pada April. Berdasarkan kenaikan PMI keseluruhan, dan mengandaikan pandemik Covid-19 semakin lemah, ini akan menjadi petunjuk utama pertama bahawa ekonomi sedang mengalami penstabilan,” katanya menerusi nota penyelidikan semalam.
Ia berkata, bagaimanapun kesan akibat virus itu masih luas dan boleh terus mempengaruhi penutupan kilang dan pengurangan pengeluaran selanjutnya.
Khususnya, penurunan pada Mei dianggap jauh lebih lemah daripada awal suku kedua, menurut bank itu.
AmBank berkata, terdapat penyusutan pembuatan keluaran walaupun kadar penguncupan telah susut ketara sejak April.
Sementara itu, Affin Hwang Capital pula berkata, pesanan baharu kekal rendah disebabkan langkah PKPB berterusan di peringkat domestik dan juga perintah berkurung di negara luar.
“Maka, kelemahan permintaan eksport dicerminkan oleh keadaan ekonomi yang suram di negara yang menjadi rakan dagang utama.
“IHS Markit juga mengatakan gangguan dari penawaran terus menjejaskan sektor pembuatan kerana penghantaran masih mengambil tempoh yang panjang sama seperti pada April kerana kekurangan tenaga kerja di vendor dan sekatan pengangkutan,” katanya menerusi nota penyelidikan semalam.
Affin Hwang Capital berkata, pekerjaan secara amnya stabil pada Mei, dengan 98 peratus pengeluar menunjukkan tiada perubahan dalam pembayaran gaji.
Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang digunakan untuk menjangkakan titik perubahan aktiviti ekonomi bagi jangka pendek, susut ketara kepada -4.9 peratus pada Mac daripada -0.8 peratus pada Februari sekali gus menjadi penurunan bulanan terbesar sejak November 1991.
IP pada Mac menunjukkan pertumbuhan ekonomi mungkin mengalami kemerosotan ketara pada suku kedua 2020.
“Berdasarkan unjuran kami, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan mencatatkan penguncupan, mungkin di antara -7.0 peratus dengan -8.0 peatus tahun ke tahun pada 2020, berikutan kesan negatif Covid-19 dijangka lebih besar daripada PKP.
Bagi setahun penuh 2020, Affin Hwang Capital mengekalkan unjuran KDNK sebenar Malaysia pada -3.5 peratus (4.3 peratus pada 2019).
Menurut IHS Markit pula, sektor pembuatan ASEAN meneruskan aliran menurun pada Mei, disebabkan jangkitan pandemik Covid-19.
Keluaran dan pesanan baharu terus susut ketara, begitu juga permintaan asing untuk barang-barang ASEAN, walaupun penurunan kadar itu adalah lebih kecil berbanding angka pada April selepas kuarantin telah dilonggarkan dan lebih banyak kilang mula beroperasi kembali.
Bagaimanapun, antara negara ASEAN, Malaysia merekodkan kelembapan yang paling tidak teruk berbanding tujuh negara lain yang dipantau pada Mei.
Justeru, angka utama (45.6) menunjukkan kemerosotan dalam situasi operasi.
“Terutama, setiap dari tujuh negara yang dipantau masih mengalami kemerosotan pada bulan ketiga pada Mei, yang menunjukkan kesan besar ke atas sektor ini berikutan wabak tersebut.
“Walaupun data menunjukkan bahawa kelembapan berakhir April, pengeluar ASEAN masih jauh daripada pemulihan,” kata ahli ekonomi IHS Markit, Lewis Cooper. – Bernama