SEJONG: Korea Selatan pada Rabu mengusulkan satu lagi pelan belanjawan tambahan bernilai 35.3 trilion won (AS$29 bilion) bagi membantu industri utama mengatasi kesan ekonomi akibat wabak Covid-19, di samping melindungi pekerjaan, lapor agensi berita Yonhap.
Bajet terbesar itu, bergantung kepada kelulusan parlimen, andai diluluskan ia akan meningkatkan jumlah pakej rangsangan menjadi 270 trilion won, menurut Kementerian Ekonomi dan Kewangan.
Ia merupakan belanjawan ketiga menyusul selepas bajet tambahan kedua bernilai 12.2 trilion won yang diumum pada April untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada isi rumah. Bajet pertama berjumlah 11.7 trilion won diumum pada Mac.
Ini adalah kali pertama sejak 48 tahun, Korea Selatan memperuntukkan belanjawan tambahan sebanyak tiga kali dalam setahun, kata kementerian itu.
Jika diluluskan parlimen, kerajaan akan membelanjakan lebih 75 peratus daripada bajet tambahan itu dalam masa tiga bulan.
Antara lain akan digunakan bagi mengatasi kekurangan hasil cukai, memulihkan ekonomi, meningkatkan perbelanjaan negara menerusi kecerdasan buatan dan perkhidmatan telekomunikasi generasi kelima, tambah kementerian.
Di samping itu, bajet berkenaan akan disalurkan untuk mewujudkan sekitar 550,000 peluang pekerjaan, menyediakan pinjaman kecemasan kepada peniaga kecil serta menstruktur semula perbelanjaan kerajaan.- Bernama