KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menimbulkan polemik berterusan bukan sahaja di Sarawak, malah di Semenanjung.
UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima. Namun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan pemansuhan peperiksaan terbabit susulan pandemik Covid-19.
Pada Oktober 2023, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa untuk menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.
Minggu lalu, sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat meminta Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar pada peringkat sekolah rendah.
Malah, kerajaan Sarawak pada 1 November lalu turut bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR di semua sekolah kerajaan di negeri ini.
Berikutan itu, akhirnya kerajaan Sarawak tampil dengan idea baharu untuk melaksanakan cadangan pentaksiran standard bagi murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga yang menekankan mata pelajaran Program Dwibahasa (DLP) menjelang 2025.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, KPM menyokong cadangan itu dan bersetuju membantu pelaksanaan pentaksiran itu di semua sekolah awam di negeri ini.
“Menteri Pendidikan persekutuan (Fadhlina Sidek) juga bersetuju untuk membantu kita, jadi tentu sekali Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak akan akur dan malah ramai yang menyokongnya, walaupun di Semenanjung. Sudah tentu, sekolah (sekarang) mempunyai sistem pentaksiran berasaskan sekolah mereka sendiri… kita tidak boleh mengatakan ia tidak bagus, tetapi kita mahu melakukannya dengan lebih baik.
“Perkara utama ialah DLP iaitu mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Jadi ini adalah bidang yang akan kita jalankan pentaksiran dan kita libatkan pegawai dan pakar dalam hal berkaitan perkara ini,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.
Malah, ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar. Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata ketiadaan UPSR juga antara faktor kepada pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.
“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar. Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,” katanya menerusi satu catatan di Facebook baru-baru ini.
Di Bangi kelmarin, Fadhlina berkata cadangan Sarawak untuk merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR kepada murid tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri ini, tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara dan masih lagi seiring dengan hala tuju KPM.
“Sekarang, tujuan dan hala tuju kita (KPM) adalah untuk mengukuhkan pentaksiran. Jadi, kalau Sarawak masih lagi berada dalam landasan pentaksiran ini, saya fikir ia tidak jauh (bertentangan) dan kita sedia membantu Sarawak mengukuhkan usaha itu,” katanya pada majlis pelancaran Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Apapun, semua itu untuk kepentingan pelajar demi masa depan mereka.
Menunggu Autonomi Pendidikan
SETAKAT 30 September 2023, kekurangan guru di Sarawak adalah berjumlah 3,076 iaitu 819 untuk sekolah menengah, manakala 2,257 bagi sekolah rendah. Kekosongan 819 jawatan guru sekolah menengah dan 752 jawatan guru sekolah rendah masing-masing pula akan diisi menjelang Februari dan Jun 2024.
Perkara ini diberitahu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee pada sesi soal-jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
Dr Annuar berkata selain kemasukan guru baharu tahun depan, pihaknya juga mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan berhubung pengambilan siswazah bukan guru sebagai guru kontrak.
Hakikatnya, segala kekangan seperti kekurangan guru, masalah bangunan sekolah daif, kuarters guru dan apa-apa isu pendidikan di negeri ini, akan dapat ditangani dengan baik sekiranya autonomi pendidikan dikembalikan kepada Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Sebagai contoh, kerajaan Sarawak boleh melantik sendiri calon guru untuk mengisi kekosongan meskipun gaji tetap diberi oleh pihak KPM. Begitu juga masalah sekolah daif, Sarawak boleh membuat ‘advance’ guna duit sendiri sebelum dibuat tuntutan daripada Putrajaya.
Awal tahun ini, Putrajaya dilaporkan pada dasarnya bersetuju memberi kuasa autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee In bagaimanapun berkata kementeriannya masih belum menerima maklum balas rasmi dar KPM mengenai bagaimana autonomi pendidikan itu dapat direalisasikan. “Kami tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha. Kami akan bersedia untuk mengadakan pertemuan semula dengan mereka awal tahun depan, bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, yang menyelaraskan mesyuarat MA63,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang DUN kelmarin.
Bila ADUN Bersuara
KELANTANGAN beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika sidang DUN menyuarakan keperluan rakyat di kawasan masing-masing, amat terpuji meskipun kadang-kala dilihat bagaikan meluah perasaan tidak puas hati terhadap agensi tertentu.
Misalnya, Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga) meluahkan rasa kecewa kerana dua projek utama dicadangkan untuk dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Rakyat di kawasan DUN Lingga tetapi masih berdepan kekangan. Ia membabitkan rancangan tebatan banjir di Pekan Lingga dengan anggaran kos berjumlah RM90 juta dan projek Pembangunan Tebingan Sungai Lingga Fasa 2 di bawah pelaksanaan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Katanya, projek tebatan banjir di Pekan Lingga telah dipohon sejak 2021 di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Sri Aman, namun masih tidak menerima sebarang kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat.
“Projek Tebingan Sungai Lingga Fasa 2 pula turut memerlukan kelulusan di bawah peruntukan Projek Rakyat. Fasa 1 projek ini telah menerima peruntukan RM3.9 juta di bawah pemantauan LCDA.
Namun, pihak LCDA selaku agensi pelaksana telah memaklumkan bahawa ia memerlukan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menyiapkan projek tersebut secara keseluruhan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023.
Awla Dris (GPS-Simunjan) pula menyatakan penduduk Simunjan melahirkan kebimbangan terhadap beberapa projek pembangunan yang masih belum dimulakan di situ.
Katanya, kebanyakan projek di kawasannya telah mendapat kelulusan kerajaan Sarawak, namun pelaksanaannya tergendala tanpa sebab yang jelas sekali gus memberi kesan kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti tempatan.
Salah satunya ialah projek menahan hakisan di Tebingan Pekan Simunjan yang sehingga kini menurutnya belum ada khabar berita sehingga tapak yang sama selepas hakisan beberapa tahun lepas terpaksa digunakan sebagai lokasi untuk sambutan Regata Pesta Simunjan baru-baru ini.
Beberapa ADUN lain turut melontarkan beberapa masalah. Itulah tugas wakil rakyat untuk menyuarakan keperluan rakyat. Mereka bukan membangkang tetapi memperjuangkan nasib rakyat di kawasan masing-masing.
Diharapkan pihak berkuasa terutama agensi yang terbabit memberi perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.