Oleh: Dilah Tuah
SAHLAN MOHD. SAMAN (2005) dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Puisi menyatakan bahawa puisi Ialah luahan emosi daripada seorang penyair yang berteraskan sesuatu, seperti kajian yang dilihat atau dialaminya, keakrabannya dengan pemerihalan yang disampaikannya serta emosinya pada masa itu. Hubungan emosi dalam puisi tidak dapat dipisahkan, walaupun Plato (1961) dalam Republic menegaskan bahawa sifat tindak balas emosional yang dipicu oleh puisi adalah dari tahap ‘rendah’. Pandangan Plato ini telah disangkal oleh Belinda Jack (2018) dalam tulisannya yang berjudul Poetry and Emotion yang mengatakan bahawa emosi merupakan tindak balas terhadap sesuatu yang menggerakkan hati serta pendorong kepada tindakan. Hal ini kerana dalam penghasilan sesebuah karya sastera, idea memerlukan emosi untuk berkembang dan tiada emosi yang lebih kuat daripada cinta.
Dalam kajian mutakhir Philip N. Johnson-Laird dan Keith Oatley (2022) yang berjudul “How Poetry Evokes Emotions”turut memperakui bahawa puisi sememangnya berupaya membangkitkan emosi dasar seperti kebahagiaan, kesedihan, kemarahan, dan kegelisahan. Hubungan emosi dalam puisi turut disentuh oleh Robert Frost (1991) dalam The Road Not Taken: A Selection of Robert Frost’s Poems yang mengungkapkan bahawa puisi ialah suatu emosi yang telah menemui pemikirannya dan pemikiran itu telah menemui kata-kata. Manakala bagi Paul Engle (1908-1991) pula, puisi dibayangkan sebagai sesuatu jasad yang ditulangkan dengan idea, diberi saraf dan darah dengan emosi, dan semuanya dijaga bersama oleh kulit kata-kata yang halus dan kuat. Hal ini jelas membuktikan bahawa emosi merupakan sebahagian daripada binaan puisi yang tentunya tidak dapat diketepikan oleh penyair.
Hubungan puisi dan emosi sentiasa dilihat akrab, kerana puisi merupakan sebuah karya sastera yang menggabungkan keindahan kata-kata dan ekspresi artistik untuk menyampaikan perasaan, pemikiran, atau pengalaman penyair. Oleh sebab itu, bukan hanya sebagai sarana komunikasi, tetapi juga sarana untuk menggambarkan keindahan, menyentuh perasaan khalayak pembaca, atau merangkai kata-kata dengan cara yang unik dan kreatif. Melalui puisi, penyair dapat menyampaikan makna yang mendalam, memprovokasi pemikiran, atau membangkitkan emosi pembaca dengan cara yang berbeza-beza.
Justeru, jelas bahawa puisi sememangnya suatu bentuk penulisan yang kaya dengan emosi, dan ia juga bertujuan untuk membangkitkan respons emosional daripada khalayak pembaca. Oleh sebab itu, dalam penghasilan puisi, para penyair pasti akan berhati-hati dalam pemilihan kata, sama ada konotasi dan denotasi, kerana penyair menyedari bahawa kata-kata membawa beban emosional yang tersendiri. Dalam hal ini, setiap pilihan kata bukan hanya berperanan sebagai alat komunikasi, tetapi juga memainkan peranan penting dalam merentas perasaan dan menyampaikan makna yang mendalam. Kesemua ini menjadikan puisi sebagai sebuah karya seni yang kompleks dan bukannya sekadar rangkaian kata-kata, tetapi merupakan ungkapan emosi yang mendalam serta sarat dengan pengalaman estetik yang memukau.
Walaupun puisi banyak dipengaruhi oleh emosi penyair, namun peluapan emosi yang tidak terkawal akan menjejaskan mutu sesebuah puisi. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi yang baik seharusnya mendukung kesatuan diksi yang mantap serta kejernihan makna yang dapat memperkukuhkan impak artistik dan estetik. Selain itu, keseimbangan antara penghayatan emosi dan pilihan kata yang teliti turut memberikan dimensi keindahan yang lebih mendalam kepada khalayak pembaca. Sehingga, sebuah puisi yang berjaya bukan hanya mencurahkan emosi penyair, tetapi turut merentangkan sebuah kesatuan kata yang indah dan bermakna.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan memfokuskan kepada kesan emosi dalam puisi-puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Antara puisi-puisi tersebut ialah “Simfoni Hidup” karya Huzaifi M.A, “Disleksia Aksara” karya Mohd Fadzly Haji Miswan dan “Fonograf Eksotika” karya Angelo Taj. Bagi tujuan memberi nilai tambah kepada para penyair, ulasan ini turut menyentuh aspek-aspek lain yang terdapat dalam puisi. Semoga kupasan yang sederhana ini dapat membantu penyair muda dalam merintis jalan untuk menuju ke wilayah kepenyairannya yang tersendiri.
Puisi pertama berjudul “Disleksia Aksara” karya Mohd Fadzly Haji Miswan mengangkat tema disleksia, iaitu suatu keadaan atau gangguan yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk membaca, mengeja, dan menulis. Dalam puisi ini, penyair didapati cuba menyampaikan pengalaman kebingungan, kekacauan, dan perjuangan seseorang yang menghadapi masalah disleksia, baik dalam aspek fonologi mahupun proses interpretasi kata-kata dan tanda baca. Hal ini dapat diperhatikan pada pertanyaan penyair “apakah aku yang bodoh?” yang mencerminkan keraguan diri serta pertanyaan mengenai kemampuan intelektual individu yang mengalami masalah disleksia. Bingkisan penuh rangkap kedua puisi ini seperti di bawah:
apakah aku yang bodoh?
dipermainkan minda bercelaru
atau selingkuh pancainderaku
pada tanda baca yang keliru
Selain itu, keprihatinan penyair terhadap permasalahan disleksia jelas dipaparkan dalam puisi ini melalui frasa “minda bercelaru” dan “…selingkuh pancainderaku/pada tanda baca yang keliru”. Frasa-frasa ini menyoroti betapa kompleksnya perjuangan individu yang mengalami disleksia dalam menghadapi tugas-tugas kognitif. Kebingungan dan ketidakpastian menjadi elemen yang mencirikan pengalaman emosional mereka. Di sisi yang lain, terdapat penggunaan unsur metafora iaitu “selingkuh pancainderaku” yang menggambarkan hubungan yang tidak seimbang atau ketidaksempurnaan yang dihadapi oleh individu yang menghadapi masalah disleksia.
Manakala dari aspek emosi dalam puisi, didapati emosi memainkan peranan utama dalam menyampaikan pengalaman yang kompleks bagi seseorang individu yang menghadapi masalah disleksia. Emosi tersebut tercermin jelas melalui ekspresi keraguan diri, kebingungan, dan ketidakpastian yang diungkapkan oleh penyair. Melalui kata-kata dan frasa-frasa yang dipilih, penyair berhasil membawa khalayak pembaca ke dunia emosional yang kompleks. Dari aspek bentuk, didapati puisi ini sedikit polos kerana pilihan diksi yang digunakan terdiri daripada kata-kata yang mudah diterjah maknanya. Penyair harus berani mencipta ungkapan yang padat dan bermakna.
Secara keseluruhannya, puisi ini berjaya menciptakan gambaran yang kompleks mengenai pengalaman disleksia, khususnya melalui pemilihan diksi yang penuh daya ungkap, bentuk yang kabur, dan pengucapan yang menimbulkan rasa misteri. Pengulangan frasa “jua demikian ku tulis” dan “walau banyak celanya” dalam pengucapan puisi ini, turut memberikan penekanan pada ketidakpastian yang berulang kali dialami.
Puisi seterusnya berjudul “Simfoni Hidup” karya Huzaifi M.A, memaparkan perjalanan kehidupan yang penuh makna dan simbolisme. Dalam perenungannya, penyair memanfaatkan unsur metafora dan simbolisme untuk menggambarkan kepelbagaian dan kontras kehidupan. Metafora seperti “Abu senja melayang” dan “nostalgia lama bertaut seperti kiambang” menggambarkan keindahan dan kompleksiti hidup. Di samping itu, puisi ini turut merentangkan tema perubahan dan ujian dalam kehidupan, dengan harapan tersirat iaitu melalui ungkapan “Esok mungkin cerah.” Struktur puisi yang teratur ini, menciptakan irama seperti simfoni dan menggambarkan perjalanan kehidupan yang berkesinambungan.
Penggunaan kata-kata yang menggugah perasaan, seperti “ada keharuan mula melambai dada” dan “Simfoni hidup penuh ujian dan pancaroba” menciptakan resonansi emosional yang kuat. Oleh itu, puisi ini bukan hanya sekadar kumpulan kata, tetapi juga menyentuh aspek emosional dan falsafah kehidupan dengan kebijaksanaan yang mendalam. Keharmonian bentuk dan makna yang terkandung di dalam puisi ini, berupaya mengajak pembaca merenungi erti sebenar kehidupan yang penuh warna dan makna. Bingkisan rangkap ketiga puisi ini seperti berikut:
Esok mungkin cerah,
Segala-galanya pasti akan berubah,
Ruang fikiran mulai menerjah,
Untuk hari esok yang lebih gagah
Simfoni hidup penuh ujian dan pancaroba,
Ibarat aspal yang penuh kerikil,
Menuju lembah kebahagiaan,
Merangkak dalam lingkungan keperitan,
Menyuluh dalam kegelapan yang penuh kesusahan.
Kerana….
Latar hidup yang berlainan membentuk dalam acuan sendiri.
Selain itu, puisi ini menarik melalui pemilihan diksi yang baik serta kepadatan kata yang mampu memperkayakan makna. Penyair bijak menggabungkan kata-kata dengan makna mendalam, menciptakan gambaran yang melimpah dan memeriahkan pengalaman pembaca. Dengan kata-kata yang dipilih secara teliti, puisi ini berhasil menciptakan keseimbangan yang harmonis antara keindahan bahasa dan ketajaman makna. Walaupun puisi “Simfoni Hidup” menghadirkan keindahan melalui pemilihan diksi yang baik, namun terdapat beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti. Antaranya, beberapa unsur metafora dilihat kurang jelas dan dapat menimbulkan kebingungan bagi pembaca yang tidak akrab dengan simbolisme penyair.
Selain itu, eksplorasi tema perubahan dan ujian dalam kehidupan yang ditonjolkan oleh penyair dalam puisi ini masih kurang mendalam. Manakala struktur bebas yang digunakan untuk menyiratkan kebebasan ekspresi, berpotensi menjadikan alur puisi sedikit kurang teratur. Pengulangan yang berlebihan, seperti pada frasa “Simfoni hidup penuh ujian dan pancaroba” akan mengurangkan kesan keseluruhan puisi ini serta akan menghadirkan elemen monoton. Meskipun demikian, keindahan bahasa dan kepadatan makna tetap menjadi daya tarik utama puisi ini.
Secara keseluruhan, puisi ini baik, khususnya dari aspek pemilihan diksi yang tepat. Hal ini berupaya memberikan kesan estetika yang mendalam kepada khalayak pembaca. Walaupun begitu, terdapat beberapa kelemahan turut dikenal pasti seperti ketidakjelasan metafora dan struktur bebas yang boleh mempengaruhi kohesi keseluruhan karya.
Puisi terakhir berjudul “Fonograf Eksotika” karya Angelo Taj menghadirkan landskap makna yang mendalam kerana melibatkan pengalaman penderitaan di Palestin. Puisi ini bukan sahaja sebagai ekspresi seni kata, tetapi juga sebagai bentuk refleksi dan panggilan kepada keinsafan global. Membaca puisi ini, akan membawa khalayak pembaca ke lembah derita dan air mata serta dapat menimbulkan pelbagai perasaan dengan kata-kata yang mendalam. Frasa seperti “kematian adalah bau jiwa yang paling sentimental eksotikanya” ialah sebuah cerita fonograf yang membawa khalayak pembaca ke dalam suasana yang menyentuh hati, memunculkan perasaan sedih, kehilangan, dan tegang. Pemilihan kata-kata seperti “tangismu” dan “meraung” dalam puisi ini, membantu khalayak pembaca memahami perasaan sedih dalam konflik di Palestin.
Dengan membawa keluar emosi yang kuat, puisi ini mengajak pembaca untuk memahami dan merasakan kesusahan yang dialami oleh kota dan penduduknya dalam keadaan konflik yang mencabar. Hal ini dapat diperhatikan dengan jelas apabila penyair memulakan puisi ini dengan permintaan maaf kepada Palestin. Tindakan ini sudah tentunya mencipta kesan empati dan solidariti terhadap tragedi yang sedang berlaku. Ungkapan “kota tuamu sedang meraung” menyampaikan gambaran yang cukup kuat akan kepedihan yang dialami, sementara penyair tetap “terleka” dalam dunia yang tampaknya kehilangan nilai-nilai kemanusiaan.
Dari segi bentuk, struktur bebas puisi ini memberikan kebebasan kepada penyair untuk mengekspresikan emosi tanpa terikat pada pola rima yang kaku. Pilihan kata yang kreatif seperti “corong–corong fonograf” menciptakan citra audiovisual yang berupaya memberikan dimensi tambahan kepada puisi. Manakala dari aspek emosi, ia diperkaya melalui bahasa yang berkesan, seperti “kematian adalah bau jiwa yang paling sentimental eksotikanya”. Ungkapan ini mencetuskan pemikiran mendalam mengenai keeksotisan pengalaman kematian dan penderitaan yang sulit dimengerti oleh mereka yang berada di luar konflik. Bingkisan puisi ini seperti berikut:
maafkan kami Palestina,
kota tuamu sedang meraung
dan kami masih terleka
pada dunia yang tiada lagi harga
hujan–hujan bom dan darah
yang kami senyapkan balistik rintiknya
adalah tangismu
yang entah ke berapa kali
tenggelam dalam waktu
putaran–putaran suaranya
berkumandang di corong–corong fonograf
Dalam puisi ini, penggunaan fonograf sebagai metafora waktu memberikan kesan simbolik yang mendalam, iaitu merujuk kepada perasaan terperangkap dalam aliran masa yang terus berputar. Personifikasi pada “dunia yang mencengkamnya” menciptakan kesan dramatik yang menarik pembaca untuk merenung dan merasai kegentaran. Secara keseluruhan, “Fonograf Eksotika” bukan hanya sebuah puisi, tetapi sebuah karya seni yang mampu menggugah emosi dan pemikiran pembaca. Di sisi yang lain, puisi ini ialah suara penyair yang menentang ketidakadilan dan kekejaman di Palestin.
Rumusannya, ketiga-tiga puisi ini berjaya menimbulkan gelombang emosi dan pemikiran dalam kalangan pembaca melalui keindahan bahasa yang memikat serta penuh dengan daya ungkap yang mendalam. Walaupun terdapat beberapa kelemahan khususnya dari aspek bentuk dan metafora, namun setiap puisi mampu mencipta pengalaman estetika yang unik. Semoga ulasan ini dapat memberi nilai tambah kepada para penyair untuk menghasilkan puisi yang berimpak dan bermakna.
Teruskan berkarya!