SEBELUM ini saya pernah menulis dan memaparkan bagaimana Sarawak amat prihatin terhadap masalah yang melanda penduduk dunia. Perang dan bencana alam membawa kesusahan kepada penduduk yang mengalaminya.
Ramai mereka menghadapi kehilangan tempat tinggal, dan ada juga mengalami kecederaan sama ada ringan atau berat. Perang dan bencana alam ini juga membawa impak kehilangan nyawa bagi sesetengah mangsa yang terlibat.
Dari zaman Brooke sehingga zaman British, rakyat Sarawak cukup prihatin dan berasa terpanggil untuk membantu penduduk dunia yang dilanda masalah kemanusiaan ini. Selepas merdeka pula penduduk Sarawak tetap mempunyai semangat untuk membantu kesejahteraan dunia.
Situasi
Hal ini boleh dilihat daripada reaksi Sarawak terhadap isu penghapusan etnik di Bosnia-Herzegovina dalam Perang Bosnia (1992-1995). Kerajaan Malaysia ketika itu di bawah kepemimpinan Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohammad memandang serius isu Bosnia ini. Ini kerana perang tersebut telah meragut ramai nyawa penduduk Bosnia.
Dari segi angka kematian dianggarkan seramai kira-kira 200,000 orang terkorban dalam perang itu, manakala hampir 1.3 juta pula penduduk terpaksa melarikan diri. Seramai kira-kira 1 juta dalam kalangan mereka pula menjadi pelarian di beberapa negara.
Ramai kanak-kanak juga menjadi yatim piatu akibat perang tersebut. Masalah ini menyebabkan penduduk dunia amat sedih dan menghulurkan bantuan kepada penduduk Bosnia.
Bantuan
Di Malaysia Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjadi persatuan utama dalam mengerakkan usaha membantu penduduk Bosnia ini. Bantuan dari ABIM ini adalah pelbagai termasuk membawa orang Bosnia yang dalam kesusahan untuk tinggal sementara di Malaysia.
Dalam hal ini, di Sarawak, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) atau gabungan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak dan Persatuan Anak-anak Yatim Sarawak menjadi badan utama memberi kerjasama dengan ABIM untuk menempatkan penduduk Bosnia yang kehilangan tempat tinggal untuk mereka tinggal sementara di Sarawak.
Program penempatan sementara orang Bosnia ini dinamakan sebagai projek anak angkat dibawah Tabung Bosnia PEYATIM Sarawak. Usaha PEYATIM ini mendapat sokongan kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Patinggi (Pehin Seri Tun) Abdul Taib Mahmud.
Penempatan
Program yang digerakkan oleh PEYATIM ini mula membawa orang Bosnia ke Sarawak pada pertengahan Januari 1993. Seramai 13 orang rakyat Bosnia-Herzegovina merupakan kumpulan pertama telah diterbangkan ke Sarawak. Dari jumlah tersebut, lapan orang daripada mereka adalah anak yatim piatu.
Selebihnya adalah golongan wanita. Wanita Bosnia ini berumur 13 hingga 35 tahun. Kedatangan mereka ini ke Sarawak dibawa oleh wakil ABIM iaitu Hamdan Muhyiddin. Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut meriah oleh pelbagai kaum di Sarawak.
Kumpulan pertama yang datang ke Sarawak ini adalah kumpulan pertama yang ditempatkan di luar Kuala Lumpur. Mereka ini telah diterbangkan dari Zagred ke Frankfurt dan Dubai sebelum sampai ke Malaysia.
Dalam hal ini Hamdan mencerita bagaimana perjalanan mereka ke Zagred menempuhi pelbagai cabaran yang berbahaya. Mereka menggunakan bas melalui cuaca sejuk, dan timbul rasa bimbang serta rasa takut dalam kalangan mereka tentang kemungkinan diserang. Namun mereka akhirnya berjaya sampai ke Zagred.
Di Sarawak pada peringkat awal mereka ini ditempatkan sementara di Jalan Bako. Penempatan mereka di Jalan Bako ini adalah untuk memberi peluang kepada ahli kumpulan ini, menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Sarawak. Mereka yang datang ke Sarawak ini tidak ditempatkan kepada keluarga angkat. Mereka yang tinggal di Sarawak akan hidup dalam masyarakat mereka sendiri. Mereka yang berada di Sarawak ini diberi pendidikan Islam yang baik bagi meningkatkan pemahaman Islam mereka.
Keprihatinan
Selepas kedatangan kumpulan pertama ini, beberapa kumpulan orang Bosnia telah tiba di Sarawak. Kumpulan kedua Bosnia yang datang pula menambah bilangan mereka di Sarawak kepada 50 orang.
Kumpulan ketiga datang pada akhir Jun 1994. Kedatangan kumpulan ketiga ini menambah bilangan orang Bosnia yang tiba dan tinggal sementara di Sarawak kepada 100 orang.
Kumpulan ketiga ini merupakan orang Bosnia yang datang dari Lisbon. Kehadiran mereka ke Sarawak diuruskan oleh Kedutaan Bosnia di Malaysia dengan kerjasama ABIM. Kumpulan ketiga ini diterbangkan ke Malaysia melalui Madrid, Sepanyol.
Mereka ini ditempatkan bersama orang Bosnia yang lain di perkampungan Bosnia berhampiran Kompleks Kebajikan Laila Taib (KKLT) di Semariang, Petra Jaya. Pengerusi PERYATIM dan Badan Bertindak Bosnia (BBB) Sarawak, Abdul Rahman Daud mengatakan usaha membawa mereka ini ke Sarawak adalah tanda sokongan dan dokongan rakyat Sarawak terhadap orang Bosnia yang mengalami masalah di negara mereka.
Menariknya kata-kata Abdul Rahman Daud dalam hal ini ialah isu Bosnia bukan isu agama atau kaum yang membabitkan puak tertentu tetapi ia adalah isu kemanusiaan. Rakyat Sarawak menurut beliau amat prihatin tentang apa yang berlaku di Bosnia. Menurut beliau lagi perlu bagi Sarawak untuk menambah pengambilan ini kerana keadaan di Bosnia yang semakin buruk akibat perang dan pembersihan kaum.
Peluang kedua
Sementara itu penduduk Bosnia yang tinggal di Sarawak juga diberi latihan dan ada dalam kalangan mereka telah mendapat pekerjaan. Menurut Abdul Rahman Daud seramai 15 orang daripada mereka telah mendapat peluang pekerjaan.
Bagi mereka yang telah mendapat pekerjaan, mereka ini dipindahkan ke rumah sewa Skim Rancangan Perumahan Rakyat Sourabaya Hilir.
Anak-anak Bosnia ini juga mendapat peluang dalam beberapa kursus kemahiran. Antara kursus ini ialah kursus Intensif Komputer anjuran Institut Teknologi Mara (ITM) cawangan Sarawak. Ada juga anak-anak Bosnia ini diberi pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan sekitar kawasan kediaman mereka seperti Sekolah Rendah Kerajaan Astana dan Sekolah Menengah Kerajaan Tun Abang Haji Openg.
Paparan sejarah ini menunjukkan bahawa Sarawak memang prihatin membantu usaha meringankan masalah mangsa perang. Mereka sanggup membantu dan melindungi penduduk yang bermasalah ini. Jiwa kemanusiaan orang Sarawak yang tinggi mengukir sifat keharmonian hidup di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.