ANWAR Ibrahim telah membawa era baharu dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Era baharu memancarkan keterbukaan kedua-dua pihak di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri berbincang bagi mendapat hasil yang terbaik buat rakyat dan pembangunan negeri Sarawak.
Pelantikan Timbalan Perdana Menteri
Komitmen Sarawak sebagai komponen Kerajaan Perpaduan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya bagi memastikan pembangunan Sarawak lebih berimpak tinggi dan berganda. Aspek ini dilakukan melalui pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari negeri ini merupakan langkah bersejarah bagi menunjukkan komitmen tinggi Perdana Menteri dalam soal pengagihan dan perkongsian kuasa di antara Putrajaya dan Sarawak.
Penglibatan wakil dari Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah bukti keikhlasan dan tekad diberikan untuk memajukan Sarawak bersama-sama. Ia juga langkah yang dapat memberikan pemahaman yang lebih baik terhadap keperluan negeri ini.
Contohnya, Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak dapat memperjuangkan isu-isu khusus Sarawak dengan lebih efektif di peringkat Kabinet. Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak memastikan suara dan kepentingan rakyat negeri ini diambil kira dalam proses membuat keputusan di peringkat nasional. Juga segala pembaharuan dan pendekatan dari kaca mata Sarawak akan lebih difahami dan terus kepada pentadbiran Perdana Menteri, tidak seperti dahulu tanpa jawatan tersebut dari Sarawak.
Bermakna kini, Putrajaya berjaya memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat negeri Sarawak yang sekian lama dinanti-nantikan.
Manfaat Pembaharuan Pendekatan
Selepas setahun menjadi Perdana Menteri, pembaharuan pendekatan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan manfaat kepada rakyat Sarawak melalui pelbagai inisiatif pembangunan. Sebagai contoh, pelaksanaan Program Khas Bumiputera Sarawak mampu meningkatkan pendapatan masyarakat setempat dan membantu mengurangkan jurang ekonomi. Langkah ini memastikan bahawa pembangunan ekonomi tidak hanya terfokus di bahagian Semenanjung Malaysia, tetapi juga memberi perhatian kepada keperluan unik dan aspirasi Sarawak.
Strategi Pembangunan Kawasan Sempadan
Strategi pembangunan Anwar untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan kawasan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan, Indonesia, dapat dilihat melalui kelulusan dana berjumlah RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana di sempadan Sarawak dan Sabah.
Tindakan ini mencerminkan kebijaksanaan dalam membangunkan kawasan sempadan dengan memberikan dorongan pertumbuhan ekonomi kepada penduduk yang berkongsi sempadan dengan wilayah Kalimantan. Hal ini termasuk galakan pembangunan secara bersepadu mencakupi penggalakan pembangunan bersepadu.
Ini termasuk penyelarasan projek-projek pembangunan di kedua belah pihak sempadan untuk mencapai sinergi dan manfaat bersama. Contohnya, pembangunan infrastruktur yang saling melengkapi antara Sarawak, Sabah dan wilayah Kalimantan, mencipta kawasan ekonomi yang lebih kukuh dan mapan.
Ekonomi Pembangunan di Sarawak
Kesan terbaik pentadbiran Anwar terhadap ekonomi pembangunan di Sarawak adalah peningkatan pemberian khas kepada negeri ini. Peningkatan dari RM16 juta kepada RM300 juta setahun menunjukkan komitmen Anwar dalam memajukan ekonomi Sarawak melalui bantuan kewangan yang lebih besar.
Contoh lain termasuk peningkatan pelaburan dalam sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, infrastruktur dan industri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berdaya tahan.
Ketulusan Anwar ini diikuti dengan keputusan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan yang memberikan kepercayaan dan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak. Ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran terdahulu.
Kepercayaan ini jelas bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan yang mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan Sarawak.
Keterlibatan Komprehensif Dalam Program Khas
Salah satu manfaat yang dapat dilihat daripada pembaharuan pendekatan Anwar adalah keterlibatannya dalam Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah. Melalui program ini, terdapat kejelasan fokus untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Contohnya, pelaksanaan projek-projek ekonomi tempatan, pembangunan usahawan tempatan atau penyediaan kemudahan pendidikan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran pekerja tempatan. Hal ini membuktikan kepekaan dan kesungguhan Anwar dalam memastikan manfaat pembangunan mencapai lapisan masyarakat yang lebih luas.
Baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Timbalan Perdana Menteri I yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET, telah memperuntukkkan RM30juta khusus kepada Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) sebagai usaha membangunkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri Sarawak. Ini juga melambangkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap penyediaan tenaga kerja bidang berteknologi tinggi di Sarawak.
Penekanan Terhadap Pelaksanaan MA63
Penekanan Anwar terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menunjukkan kejelasan pandangan dalam memahami isu-isu sejarah dan hak Sarawak. Dengan menyatakan bahawa MA63 bukan lagi untuk dirunding, tetapi perlu dilaksanakan, Anwar menegaskan komitmen untuk menghormati hak dan kedudukan khusus Sarawak dalam persekutuan.
Contoh konkrit boleh termasuk perundingan dan pelaksanaan hak autonomi dan keistimewaan yang diberikan kepada Sarawak berdasarkan perjanjian sejarah tersebut. Implikasi daripada sikap dan pendirian ini, telah memberikan kebebasan Sarawak dalam pelbagai aspek termasuk cadangan merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam di semua sekolah negeri Sarawak bagi memastikan terdapat penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar.
Terdapat beberapa aspek yang sebelum ini dianggap kurang sesuai kini cuba diperbetulkan. Misalnya universiti berasaskan carigali minyak sangat relevan jika ditubuhkan di negeri Sarawak. Akan tetapi universiti sedemikian ditubuhkan di negeri lain bukan bersumberkan carigali minyak.
Sebab itu, Premier Sarawak menawarkan tanah yang sesuai sekiranya Petronas berminat membina sebuah kampus Universiti Teknologi Petronas. Pengerusi Petronas baru-baru ini memberikan maklum balas dengan menyatakan akan mengkaji dan menilai faktor tertentu serta implikasi sebelum penubuhan kampus UTP dipertimbangkan diletak di Sarawak.
Kepercayaan Tinggi
Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjukkan keyakinan penuh kepada Perdana Menteri dalam menjalankan agenda pembangunan ekonomi negara. Keyakinan ini terhasil daripada keterbukaan Anwar dalam menangani permasalahan rakyat Sabah dan Sarawak.
GPS di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan pentingnya kerajaan yang kukuh dan stabil untuk pulihkan ekonomi negara selepas kesan pandemik Covid-19 dan mengharapkan Anwar dapat mencapai dasar baharu yang membawa perubahan signifikan dalam landskap ekonomi, politik, dan sosial negara.
Kepercayaan ini mencerminkan harapan agar Malaysia terus maju dan dihormati di peringkat antarabangsa. Berdasarkan misi Anwar ke luar negara termasuk di negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Begitu juga kunjungan di negara kuasa ekonomi seperti Arab, China dan Amerika Syarikat setakat ini ternyata menunjukkan pencapaian dengan membawa balik nilai pelaburan langsung asing (FDI) mencecah puluhan bilion dolar Amerika setiap satu negara dikunjungi.
Ternyata setahun pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri memberikan harapan buat Sarawak untuk membina kemakmuran yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).