ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sarawak kekal dengan sekatan perjalanan dan operasi perniagaan dari 7.00 malam hingga 7.00 pagi serta tidak mengikut sekatan masa baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, PKP fasa 2 yang diumumkan pada Isnin adalah sekatan dari 8.00 malam ke 8.00 pagi untuk semua pergerakan dan premis perniagaan.
“Kerajaan Sarawak akan kekal dengan sekatan pergerakan 12 jam iaitu 7.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari.
“Rakyat negeri ini juga sudah biasa dengan tempoh masa tersebut selain di Sarawak matahari terbenam awal dan lebih awal gelap berbanding Semenanjung Malaysia.
“Keputusan ini memandangkan hakikat jika ia diubah, ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat serta gangguan terhadap operasi perniagaan terutamanya sektor logistik dan pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan Covid-19 di sini, semalam.
Tegasnya, apa sahaja sekatan masa baharu, matlamat asal tetap sama iaitu mahu memastikan orang ramai kekal di rumah.
“Ini amat penting untuk membolehkan Sarawak memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus merebak kerana waktu ini juga kita masih melihat banyak kereta di jalan raya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Sim berkata JPBN Sarawak memutuskan untuk meneliti membina lebih banyak pusat kuarantin di Kuching.
“Antara yang dicadangkan adalah Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Amiruddin Baki dan Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Di samping itu, kami sedang melihat cadangan untuk menggunakan Akademi Kastam Diraja Malaysia.
“Dan kita juga meminta pihak di Sibu dan Sarikei untuk menubuhkan lebih banyak pusat kuarantin,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan itu sebagai persediaan untuk menghadapi lebih banyak kes pada masa akan datang kerana semakin ramai rakyat yang hadir melakukan saringan.