SIBU: Pertubuhan Gagasan NGO Dayak Sarawak menyokong pendirian Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menolak idea untuk menerima pelarian Palestin ke Sarawak.
Antara yang menyokong adalah Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang, Timbalan Presiden DTTAS Ricky Sani, Penasihat Undang-Undang
DTTAS Paul Raja, Presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring, Penasihat Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem dan Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew.
Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) Robert Umping dan Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili, Skrang dan Lubok Antu (PELASAR) Gemong Batu dalam kenyataan bersama, bersimpati dengan mangsa perang antara Isreal dan Hamas serta menyokong penuh usaha untuk membantu mangsa perang tersebut dari segi kemanusiaan.
“Namun, Sarawak adalah sebuah wilayah yang terkenal dengan keharmonian, kepelbagaian dan toleransi dalam masyarakat kemajmukan berbilang kaum.
“Ini adalah keunikan budaya masyarakat di Sarawak yang terkenal di seluruh dunia hingga menjadi daya tarikan pelancong dan masyarakat antarabangsa. Keunikan ini harus dipelihara dan diperkukuhkan untuk menjaminkan masa depan Sarawak yang maju, aman dan harmoni.
“Oleh itu, kita tidak mampu untuk membawa orang luar yang mungkin budaya dan cara kehidupan mereka yang tidak sepadan dengan budaya dan corak kehidupan kita di Sarawak.
“Tanpa rasa prejudis dengan mana-mana masyarakat atau bangsa, kami berpendapat bahawa masyarakat luar negara tidak sesuai dengan suasana masyarakat Sarawak lebih-lebih kita belum pasti dapat menangani masyarakat yang cenderung kepada ekstremis, keganasan dan kebencian,” jelas mereka dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu berkata, mereka menghormati hak pemimpin Malaya untuk menerima sesiapa sahaja.
“Kita ingin mengingatkan pemimpin Malaya juga perlu menghormati pendirian pemimpin Sarawak untuk tidak menerima mana-mana pelarian. Kerajaan Malaysia Madani harus mempertahankan hak setiap wilayah dalam Malaysia.
“Oleh demikian, harus diingat, hak Wilayah Sarawak untuk mengawal kemasukan orang luar ke Sarawak adalah dijamin oleh MA63, Perlembagaan Malaysia dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kita juga harap kerajaan Sarawak terus pertahankan autonomi kita ke atas imigresen seperti yang telah dijaminkan oleh tiga undang-undang ini. “Perlu atau tidak sebarang perubahan polisi imigresen, biar Sabah dan Sarawak tentukan,” ujarnya.
Sebagai negeri yang masih memerlukan banyak pembangunan untuk setaraf dengan kemajuan sama dengan Malaya, kata mereka, Sarawak perlu memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonominya, mengutamakan keperluan dan kebajikan penduduknya sendiri.
“Kita di Sarawak, masih banyak keutamaan yang harus diberi perhatian seperti membaikpulih sekolah daif, memperluaskan jaringan internet, jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi kemudahan infrastruktur yang perlu diberi perhatian.
“Kita bersama-sama berdiri dengan solidariti yang tidak berbelah bahagi dengan mangsa yang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak, wanita dan lelaki yang terperangkap dalam pertempuran konflik antarabangsa yang kompleks, seperti krisis Israel-Hamas.
“Pengalaman negara kita dengan pelarian cukup memberikan pengajaran dari berbagai aspek keselamatan, ekonomi, perniagaan, peluang pekerjaan, masalah sosial dan sebagainya.
“Oleh itu, untuk menampung lebih ramai pelarian akan memberi tekanan kepada sumber kerajaaan Malaysia, dan kita harus mengutamakan kepentingan rakyat tempatan terlebih dahulu,” ujar mereka.
Oleh Akun Giman