Oleh: Benjamin Asin
“AKU mahu watak kau ini segera berakhir. Aku mahu kau segera turun dari situ. Tempat kau bukan di situ. Kalau tidak, kau lihatlah nanti, akan aku suruh orang-orang ini bangun menentangmu. Dan waktu itu kau akan menyesal nanti!” sergah Putera Kecil dengan nada garang.
Maharagajah terdiam secara tiba-tiba. Wajahnya bertukar serius dan dia terus memandang tepat ke arah Putera Kecil.
Putera Kecil bangun dan mencapai sebatang tombaknya yang sedia di sisinya. Melihat itu, Maharagajah memberi isyarat kepada orang kanannya, Tetikus Utama. Tetikus Utama meniupkan nafiri sekali. Leher Tetikus I dan Tetikus II dilepaskan dari rantai monyet dan diberikan dengan dua pedang kecil.
Bermulalah perlawanan.
Dua orang Tetikus menentang Putera Kecil. Mereka berlawan dengan senjata masing-masing. Tiba-tiba sebuah bubu besi beroda dijatuhkan dari atas menjerat Putera Kecil.
Putera Kecil meronta-ronta mahu melepaskan dirinya. Tetapi, apakan daya, dia segera ditangkap dan diseret oleh kedua-dua Tetikus ke kaki Maharagajah. Tetikus Utama memukul gendang bertalu-talu dan diikuti dengan bunyi gema gong menandakan mereka sudah menang.
Tetikus utama pun bersuara lantang ke arah Putera Kecil.
“Kami telah pertaruhkan nyawa kami demi keamanan dan darjat Maharagajah. Beginilah layanan paling istimewa kami sebagai penghargaan menyambut kedatangan kamu. Bubu besi adalah satu penghormatan yang paling bernilai untukmu.”
Maharagajah dan kedua-dua Tetikus menyambut kata-kata Tetikus Utama dengan senyuman sinis dan ketawa memanjang.
Setelah itu, Tetikus I dan Tetikus II bergerak rehat menuju ke tepi jalan rumput. Tetikus I berbisik kecil di telinga kanan Tetikus II.
“Aku sudah penat. Aku sudah penat memikul tandu setelah sekian lamanya dia menduduki sebuah tandu. Lamanya tidak terhitung oleh beban bahuku, kebas jari-jari tangan dan letihnya sepasang kaki. Sudahlah lama duduk di situ dan menguasai pula bunyi nafiri. Maknanya, Maharagajah memiliki keistimewaan akan nikmat dan hikmat di alam hutan ini.”
“Kita ini hanya menurut perintah sahaja. Bukan hamba suruhannya, bukan juga hamba abdinya. Seberat manapun dia, kita hanya menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Taat setia yang besar ertinya sehingga Maharagajah meninggalkan nama di alam hutan ini,” balas Tetikus II dengan sepenuh perasaannya.
Putera Kecil tersenyum kecil mendengarnya dari dalam bubu besi beroda.
”Bodoh. Kamu tidak tahu kamu telah diperalatkan. Sebenarnya, kamu berkata demikian kerana sudah diberikan upah yang lumayan dan ditambah dengan bantuan sara hidup.”
Setelah mendengar perbualan ringkas mereka, Maharagajah terus memberi isyarat kepada Tetikus Utama supaya mengikat kembali rantai monyet pada leher Tetikus I dan Tetikus II. Tetikus I dan Tetikus II hanya menggangguk dengan wajah kurang senang.
“Angkut tandu sekarang. Sepanjang perjalanan kita untuk menawan Istana Putera Kecil, aku akan ceritakan tentang nikmat sebuah tandu dan hikmat nafiri pada alam hutan ini. Tetikus Utama, kamu sorong bubu besi beroda Putera Kecil.”
“Wahai Putera Kecil, aku yakin gelaran puteramu hanyalah untuk golongan biasa. Kalau tidak, tentunya kau tidak mahukan tandu ini. Datangmu tidak diminta. Bukankah tandu ini hanya untuk golongan bijaksana dan berdarjat seperti aku,” kata Maharagajah dengan gahnya.
“Keadilan hanyalah di bibir sahaja dan disambut dengan awan langit atmosfera tinggi dan rendah,” kata Tetikus I.
“Kesejahteraan ertinya menggaru gatalnya parasit yang melekat di atas rumput subur walaupun dijinakkan dengan air hujan,” kata Tetikus II.
“Kejujuran ertinya mengambil tanpa mengharapkan balasan yang setimpal dan kemudian memberikan kepada sarjana yang lahap menanti,” kata Tetikus I lagi.
“Kedamaian ertinya menurut perintah sarjana tanpa berbunyi walaupun telah ditikam dengan tombak, ditembak dengan senapang angin atau mati akibat diracuni,” tambah Tetikus II.
Tetikus Utama menyampuk perbualan kedua-dua tikus itu. “Usahlah berpolitikus lagi. Sudah jelas lagi bersuluh. Keadilan, kesejahteraan, kejujuran dan kedamaian adalah nadi kekuatan pemerintahan tandu ini.”
“Walau nasihat sejuta kata, namun kuasa melahap sarjana telah menggelapkan hati pelita binasa. Nafsu telah menutup mata kamu. Sedialah kamu di putaran roda dunia kelak,” ujar Putera Kecil.
“Bunyi nafiri ini merupakan satu kanun kesetiaan yang harus diikuti oleh semua orang. Tiada bunyi lain yang dapat menandinginya. Apabila berbunyi, maka itulah batas kuasaku kepada mahluk di alam hutan ini,” ujar Maharagajah.
“Sampai satu masa nanti, bunyi nafiri ini akan berhenti dan tidak lagi membelah kesunyian alam ini,” kata Putera Kecil berdoa menadah tangannya.
Maharagajah bertepuk tangan. Tetikus Utama membunyikan nafiri semakin kuat. Terpaku Putera Kecil mendengarnya. Lantas, Tetikus Utama membuka kurungan bubu besi beroda. Tetikus Utama menutup mata dan mengikat tangan Putera Kecil.
“Bukan aku telah katakan tadi, aku tidak mahu mendengar bunyi bising yang mengganggu kehidupan aman dan tenteram kami di sini. Banyak yang aku dengar, kerana mulut badan binasa. Namun pandangan mata, hayunan kedua belah tanganmu dan pergerakan kakimu tidak dapat menafikan apa yang dikatakan oleh mulutmu itu. Yang aku mahukan adalah kedamaian dan kesejateraan,” suara lantang Tetikus Utama.
Putera Kecil marah dengan tindakan Tetikus Utama. Lalunya menjerit lantang.
”Hah, mulutku bukan untuk dibisukan tetapi untuk suara demokrasi. Mataku bukan untuk ditutup tetapi untuk memandang wawasan. Dan, tangan ini bukan untuk diikatkan ke belakang tetapi untuk melaksanakan rancangan hala tuju terbaik untuk hutan ini.”
Maharagajah ketawa sinis.
“Hei, Putera Kecil. Agaknya kau tidak pernah mengetahui perkembangan dunia yang semakin maju? Engkau tidak tahu fikiran dan perasaan manusia itu adalah kekuasaan tandu ini? Tandu ini lebih bijaksana dariku. Tandu yang memiliki bilik kecil beratap, bertirai dan hanya dipikul dua Tetikus yang berada di depan dan belakang sahaja. Begitu juga dengan bunyi nafiri ini, menguasai sesiapa yang menduduki takhta di tandu ini.”
“Cis, itu hanya alasanmu semata-mata, Maharagajah. Semua yang berlaku di hutan ini berpunca daripada keegoaan kau. Sejak bilakah kau memberikan hidup pada sebuah tandu dan sebuah nafiri yang kaku? Aku sudah tahu segalanya. Selama kau di atas tandu, hanya beberapa manusia yang berjaya membawa belon ke atas langit, sebahagiannya jatuh apabila belon meletup. Manusia yang sekepala denganmu. Aku dan manusia itu hanya dihiburkan dengan lakonanmu di atas tandu itu. Ternyata cara kau membawa aku ke satu dunia peralihan dengan janji palsumu untuk menghidupkan kerajaan baru.” Bentak Putera Kecil.
“Apa sebenarnya yang kau inginkan?” Tanya Maharagajah.
“Apabila aku bersuara, tidak beerti aku akan menurut perintahmu. Dan aku tidak pernah meminta untuk duduk di atas tandu dan membunyikan nafiri. Aku hanya mahu berbicara sebagai seorang manusia, kerana aku tahu manusia merupakan haiwan yang memiliki akal yang sempurna dengan fikiran dan perasaan. Dan aku tahu manusia memiliki sifat KEMANUSIAAN yang tidak dapat dipisahkan!” Kata Putera Kecil.
Setibanya di istana Putera Kecil, Maharagajah memberikan arahan agar semua rakyat jelata di bawah naungannya untuk berlutut menghormatinya. Kelihatan Puteri Besar sedang berdiri dan merenung tajam ke arah Maharagajah. Di tangannya sedang menjinjing sebuah peti hitam kecil.
“Aku masih ingat selepas terbit fajar siddiq yang amat sayu. Tercoret rasa rindu yang sentiasa bertakhta di hati pada setiap jeda waktu. Hatiku sepurnama sudah lama tidak bersua denganmu. Peganglah janjimu ibarat resmi air. Dicincang lumat sedikit pun tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus senjata tika berguru, pencak serius atma biarlah kudus. Usahlah Putera Kecil berhunus senjata dengan Tetikus kerana tandu Maharagajah dan mencipta rangkai sengketa alam. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap kemakmuran hutan. Namun, wahai kesuma jiwaku, aku gusar untuk bertemu denganmu. Kerana hatiku telah panas membara melihat muslihatmu menentang Maharagajah. Kebijaksanaanmu sebagai seorang srikandi tidak mampu menawan tampuk kuasa di atas tandu ini. Aku sanggup meninggalkanmu, Putera Kecil.” Ujar Puteri Besar puitis.
“Puteri Besar, kekasihmu orang bijak pandai. Aku suka keintelektualannya. Biarlah dia di sini bersama kami. Biarlah dia berada di dalam bubu besi beroda ini. Kami sangat memerlukannya kerana banyak faedah dan gunanya kepada kami.” Ujar Maharagajah.
“Tapi aku kasihankan kekasihku. Bebaskanlah dia. Dia juga manusia. Mengapakah dia harus menerima seksaan begini?” Rayu Puteri Besar mengasihani kekasihnya walaupun niat di hati tidak berpihak kepada Putera Kecil.
“Tak mungkin semudah itu. Kekasihmu ini hanya seorang pelakon cinta. Walaupun tanggungjawabnya tidak pernah menggarit garis luka dan kasturi syurga menjadi aroma amalan kamu, apakah kau ini hanyalah seorang puteri yang mahukan cinta agung atau kuasa mutlak aku?” Kata Maharagajah sambil memandang Puteri Besar seketika dan kemudian memandang ke tempat lain.
“Katakanlah kebenaran kata-katamu, Puteri Besar. Aku telah tahu isi hatimu yang berbunga itu. Sudah sekian lama kita bersama. Aku telah berkorban apa sahaja demi kamu, harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan mulia. Kau telah memberikan kobar api semangat di dadaku, supaya aku bangkit dan meruntuhkan pemerintahan Maharagajah. Katakanlah kepada tandu itu, betapa besarnya cinta kasihmu kepadaku,“ kata Putera Kecil dengan semangat membara.
Maharagajah pun bersuara dengan kuat sekali di hadapan sehingga mengejutkan Puteri Besar.
“Cukup! Aku tidak mahukan perkara ini tertunda. Aku mahukan pertolongan kekasihmu di alam ini.”
Melihat kemarahan tuannya, Tetikus Utama pun mengarahkan Tetikus I dan Tetikus II untuk melembutkan hati Putera Kecil.
“Tolong lembutkan hatinya. Tolong damaikan hatinya. Tolong ringankan bebannya.” Arah Tetikus Utama sambil membawa tombak.
Tanpa membuang masa, Tetikus Utama pun membutakan mata Putera Kecil di hadapan Puteri Besar dan penduduk Istana Putera Kecil. Sungguh kejam tindakan yang tak disangka yang dilakukan oleh orang suruhan Maharagajah.
Maharagajah ketawa.
“Tengoklah sendiri Puteri Besar. Tak siapa yang akan menafikan takdir yang bakal terjadi, kalau kata-kata yang keluar itu dari tempat yang tinggi seperti tandu, dan diiringi dengan bunyi nafiri yang membelah istana ini. Lihatlah sendiri. Kekasihmu akan damai di dengan keadaannya sekarang.”
Tetikus I pun meluahkan isi hatinya akibat kejadian itu.
“Akhirnya, dia tidak lagi melawan. Dia tidak lagi menentang dan mungkin dia tidak lagi bersuara lagi.”
“Biarlah Putera Kecil memperolehi kemahuannya kerana melawan takhtaku. Begitu juga dengan lain, sesiapa yang cuba merosakkan keamanan dan mengingkari arahan aku, anda juga akan mendapat anugerah yang sama sepertinya.” Ujar Maharagajah.
“Sebenarnya, aku tidak tahu adakah pilihan aku menurut perintahmu adalah satu tindakan yang tepat atau tidak! Tetapi, aku ingin berterima kasih kepadamu. Sepanjang hayat aku tidak pernah ada yang memungkiri janjinya. Namun, aku ingin memohon dengan air mata. Kembalikanlah kekasihku kepada rakyat jelata ini!” Ujar Puteri Besar. Air mata berlinangan di pipinya mengenangkan keputusan jahilnya sebelum ini. Bagaikan buah cempedak menjadi nangka.
“Kau semua telah melihat dengan mata sendiri. CINTA PENGORBANAN tiada lagi dalam ungkapan hari ini. Kau telah melihat musnahnya cinta sepasang kekasih demi sebuah tandu dan nafiri. Lihatlah betapa agungnya materialistik dan musnahnya keindahan KASIH SAYANG!” Kata Maharagajah dengan nada garau dan tersenyum sinis.
“Pesanku kepada semua, sampai masanya nanti anda akan berada di atas tandu ini. Di atas ini, tiada lagi disebut cinta kasih sayang, cinta sayang dan cinta kasih sesama manusia. Di atas ini, hanya bijaksana, cinta harta benda dan cinta kuasa menjadi keutamaan. Tandu ini menjadi paling beerti bagi manusia kerana ketinggian takhtanya dan kuasa anarkiku.” Tambah Maharagajah lagi.
Tetikus Utama mula meniup nafiri. Rakyat jelata masih duduk dan tunduk.
“Sepanjang hidupku, aku tidak pernah merasa duduk di atas tandu itu. Bagaimana enaknya duduk pada sebuah tandu yang dipikul oleh dua orang hamba. Aku tak tahu apa nikmatnya. Yang aku tahu, aku hanya duduk di atas kerusi dan duduk bersila di lantai.” Kata Putera Kecil.
Maharagajah tersenyum megah. Dia masih bercakap melalui tandu yang dipikul oleh dua tetikus. Kelihatan Tetikus I dan Tetikus II letih, namun terpaksa dituruti demi tuannya.
“Katakan Puteri Besar, aku telah tahu hatimu. Di manakah janji-janjimu sebelum aku duduk di atas tandu ini? Sudah sekian lama kita rancangkan. Kau yang selama ini membangkitkan perjuangan meruntuhkan istana Putera Kecil. Katakanlah di hadapan Putera Kecil ini, kau telah mengkhianatinya. Biar Tetikus dan rakyat jelata ini menjadi saksinya.” Kata Maharagajah berharap Puteri Besar setia padanya.
Puteri Besar perlahan menuju ke arah Putera Kecil. Tangannya meraba ke arah Putera Kecil. Wajah itu direnungnya kosong. Kemudian peti hitam kecil diletakkan berhampiran Putera Kecil.
“Puteri Besar, akulah kekasihmu. Kembalilah kepada aku. Aku tahu walaupun aku buta, tetapi aku masih mengenali gerak dan gayamu.” Kata Putera Kecil lagi. Niatnya di hati memang menginginkan Puteri Besar menolongnya di saat dirinya memerlukan bantuan sekarang.
“Putera Kecil, aku minta maaf. Aku telah bertanya kepada hatiku sendiri. Aku tidak menginginkan kekasihku adalah si buta. Tak pernah dalam diari hidupku mengimpikan hidup tanpa mata. Walaupun dirimu bijaksana, namun tanpa mata, kau tak akan ke manapun. Kau pun memerlukan bantuan sepenuhnya daripada sesiapapun, janji bukan aku. Ambillah beg hitam ini sebagai gantiku,” terang Puteri Besar dengan hati yang berat.
Putera Kecil pun terus membuka peti hitam kecil itu. Terasa seperti cebisan kayu-kayu berselerak di dalamnya.
“Begitulah cintaku kepadamu sekarang, Putera Kecil. Umpama arang batu di dalam beg hitam itu.“ Kata Puteri Besar. Terus naik ke atas tandu bersama Maharagajah dan diiringi oleh Tetikus Utama.
Putera Kecil ditinggalkan keseorangan di dalam bubu besi beroda.
“Aku mahu kamu hentikan lakonanmu sekarang. Watakmu tidak sejahat Maharagajah.” Ujar Putera Kecil menggapai tangannya merayu Puteri Besar kembali padanya.
Tetikus Utama, Tetikus I dan Tetikus II ketawa melihat Putera Kecil masih berada di dalam bubu besi beroda. Semua harta dalam istana Putera Kecil dirampas oleh Tetikus dan dibawa bersama dalam tandu itu.
“Puteri Besar! Aku tahu aku tak sekeji Maharagajah. Apabila tiba masanya nanti, kau akan kembali kepadaku. Kamu tak akan sampai ke mana kerana tandu itu masih milik aku. Terima kasih.” Begitulah kata-kata akhir dari Putera Kecil. Setelah itu, rakyat jelata bergegas membantu mengeluarkan Putera Kecil dari bubu besi beroda.
Jadi, persoalannya sekarang, adakah anda yang membaca ini adalah Putera Kecil atau Maharagajah?