SIBU: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Marutin Pagan yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Boney Inggi, 29, turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Boney didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun lima bulan pada 5 Januari 2018, kira-kira 12.00 tengah malam di kuarters pekerja sebuah kilang kayu di Tanjung Kunyit.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Mengikut fakta kes, pada Jun 2018, pengadu yang juga ibu mangsa mensyaki anak perempuanya mengandung.
Pada 22 Julai 2018, mangsa telah pergi ke Klinik Kesihatan Bintangor untuk membuat pemeriksaan sebelum disahkan mengandung.
Mangsa memberitahu pengadu yang dia telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh di rumah pekerja sebuah kilang kayu di Tanjung Kunyit tempat mereka tinggal.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan pada 26 Julai 2018, kira-kira 12.45 tengah hari untuk membantu siasatan.
Siasatan mendapati tertuduh adalah teman lelaki mangsa dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WeChat.
Tertuduh turut memberitahu yang dia masih bujang dan membuatkan mangsa serius dengan perhubungan mereka.
Mangsa memberitahu ada melakukan hubungan seks dengan tertuduh pada Mac 2018 di rumah mereka.
Tertuduh juga pernah membawa mangsa ke rumahnya di Jalan Bako selepas seminggu berkenalan serta melakukan hubungan seks.
Pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa telah mengandung antara 29 hingga 30 minggu.
Mangsa kemudian melahirkan anak pada 11 Oktober 2018 dan ujian DNA mengesahkan tertuduh adalah ayah kepada bayi tersebut.
Oleh Akun Giman