NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, itulah gambaran nasib yang menimpa seorang penambang, Wahad Lamat, 61, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Wabak pandemik Covid-19 telah memberi tamparan hebat kepadanya berikutan kurangnya jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot tambang di Tebingan Sungai Kuching.
“Sebelum serangan Covid-19, saya mampu meraih RM200 sehari namun sekarang hanya RM30 sehari,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Kampung Boyan, semalam.
Tambahnya, wang yang diperolehi pada waktu ini hanya cukup menampung minyak enjin dan tidak meraih sebarang keuntungan.
“Setiap hari, saya bangun seawal lima pagi untuk mengambil penumpang dan pulang ke rumah kira-kira jam 11.00 malam,” ujarnya.
Ditanya cabaran besar yang dihadapi ketika PKP, Wahad memberitahu pernah hampir ditangkap oleh pihak polis kerana tidak mengikut arahan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Pernah saya hampir ditangkap kerana membawa penumpang padahal negara kita masih dalam fasa permulaan PKP.
“Saya beritahu polis, penumpang yang menghubungi saya dan mereka meminta pertolongan supaya menghantar mereka ke seberang sungai (waterfront) oleh kerana ketiadaan bot tambang lain.
“Niat saya mahu membantu orang yang berada dalam kesusahan terutamanya pekerja pembersihan yang terpaksa turun bekerja ketika itu,” jelasnya.
Selain menambang, Wahad juga menjala ikan dan udang di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Boyan.
“Setiap malam, saya akan menjala ikan bersama rakan untuk menampung perbelanjaan ketika PKP ini,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 kepada pengusaha bot tambang.
“Alhamdulillah…bantuan RM500 yang diagihkan sedikit sebanyak membantu kami ketika ini.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sanggup menyalurkan bantuan ketika ‘Pak Tambang’ berhadapan dengan saat getir,” ujarnya.
Kelmarin, seramai 199 pemilik dan pengendali penambang menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM500 yang diagihkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin bertempat di Pangkalan Beijing Tebingan Sungai Kuching.