KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan hari ini, tiada seorang pun wartawan atau pihak media ditahan oleh pihak polis dan tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang dipaksa tutup oleh pihak berkuasa.
“Sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi, kerajaan secara dasarnya juga telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta yang berkaitan.
Cadangan penubuhan MMM mengambil kira peranan majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat. Sehingga kini sebanyak lapan mesyuarat telah diadakan dengan jawatankuasa sementara sejak Januari 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial.
Fahmi berkata, MCMC menjalankan tanggungjawab dan fungsi berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dengan salah satu tanggungjawab perundangan utamanya memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang.
“MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah. Tindakan MCMC ini adalah selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta 588 dan bukanlah untuk menyekat kebebasan media.
Sebaliknya ia dilakukan bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat, ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti raja berperlembagaan dan institusi demokrasi dengan penghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan agar semua pengamal media agar terus mematuhi etika kewartawanan dan merujuk Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung kandungan, selaras dengan akta berkenaan.
Fahmi berkata dengan mematuhi Kod Kandungan itu, pengamal media dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara.
Sementara itu, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Penerangan mengenai rayuan yang dikemukakan Harakah susulan penarikan kad perakuan media wartawan syarikat itu.
“Saya difahamkan pihak Harakah akan hantar surat rayuan dan kita alu-alukan. Apa yang ditegaskan di sini adalah etika kewartawanan dan Perdana Menteri juga sebut beliau sedia memaafkan, tidak jadi masalah,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai surat rayuan daripada Harakah yang telah dikemukakan dua hari lepas.
Jabatan Penerangan sebelum ini dilaporkan menarik semula kad perakuan media wartawan Harakah selepas dipercayai menyiarkan artikel memaparkan foto Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel. – Bernama