KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melaksanakan pelbagai langkah dalam usaha meningkatkan peratus siswazah memperoleh gaji premium, termasuk menyediakan kurikulum berpacukan industri serta merancakkan jalinan kolaborasi industri berimpak tinggi.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata, perkara ini juga adalah selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.
“Bagi memastikan ia dapat dicapai, pelbagai usaha telah dilaksanakan antaranya termasuklah menjalinkan kerjasama merentas kementerian dan agensi serta pemantapan platform yang berupaya memadankan keperluan industri dan bidang graduan,” katanya berucap pada Sidang 2 Majlis Konvokesyen Ke-15 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Beliau berkata, akses ke Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diperluas dengan memperkenalkan program baharu iaitu Asasi TVET sebagai laluan ke universiti teknikal di Malaysia dan PTSS, antara lima politeknik yang turut menawarkan program sama pada ketika ini telah menerima sebanyak 86 pelajar yang mengikuti program itu.
“Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) juga telah memperluas akses kepada golongan komuniti rentan dengan penawaran Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti Program Tahfiz TVET,” katanya.
Mohd Zahari berkata, kadar kebolehpasaran lulusan di seluruh Politeknik Malaysia pada 2022 telah mencatatkan 95.32 peratus, manakala Kolej Komuniti pula 96.99 peratus.
“Hasilnya, POLYCC berjaya melepasi kadar kebolehpasaran graduan 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut. Ini menunjukkan pencapaian bagi permintaan pasaran kerja terhadap graduan adalah tinggi dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata, POLYCC yang kini berdiri dengan kekuatan 36 Politeknik dan 105 Kolej Komuniti dengan meliputi 10,000 pensyarah dan 100,000 pelajar di seluruh negara juga merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara ini iaitu sebanyak 40 peratus dalam pelbagai sektor.
“Usaha ini adalah selari dengan komitmen melaksanakan Teras Strategik utama JPPKK iaitu melahirkan graduan TVET berkualiti bagi sebuah negara dalam acuan Malaysia MADANI, yang menepati keperluan industri di peringkat nasional dan global,” katanya. – Bernama