KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS kerana pasaran terus memantau sama ada Rizab Persekutuan (Fed) akan mengubah keputusan susulan laporan pasaran pekerjaan terkini minggu lepas, kata seorang penganalisis.
Pada 9.08 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6640/6690 berbanding dolar AS daripada kadar penutup semalam 4.6675/6725.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran nampaknya menilai semula keadaan ekonomi selepas pengumuman data gaji bukan ladang (NFP) minggu lepas.
“Pelabur menilai pendirian pegawai Rizab Persekutuan Neel Kashkari yang cenderung kepada menaikkan kadar faedah dengan menyatakan negara telah membuktikan daya tahannya walaupun terdapat peningkatan mendadak dalam kadar faedah. Dan menurutnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kadar inflasi yang lebih rendah,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah gandingan Indeks Dolar AS (DXY) terus disokong dengan baik pada 105.542 mata walaupun hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut sembilan mata asas untuk ditutup pada 4.58 peratus.
Justeru, Mohd Afzanizam mengunjurkan kadar pertukaran dolar AS-RM akan kekal stabil di sekitar paras semasa.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi tidak berubah berbanding euro pada 4.9863/9916.
Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.0986/1021 daripada 3.1026/1061 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7307/7368 daripada 5.7415/7476, semalam.
Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit bergerak bercampur-campur.
Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4426/4465 daripada 3.4444/4483 pada Selasa dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 298.2/298.7 daripada 298.4/298.9 sebelumnya.
Namun begitu, nilai ringgit susut berbanding baht Thai kepada 13.1391/1595 daripada 13.1154/1346 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.31/8.33. – Bernama