KUALA NERUS: Krisis perubahan iklim, kekurangan sumber dan kemerosotan ekosistem antara isu global yang berpanjangan pada hari ini hingga menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Menyedari fenomena itu, Petronas mengorak langkah dengan menjadi syarikat minyak dan gas pertama di Asia Tenggara yang menyatakan komitmen untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (NZCE) pada 2050.
Hasrat murni itu turut didukung Insititut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP), satu daripada anak syarikat Petronas yang berperanan menghasilkan tenaga kerja teknikal mahir dalam industri minyak dan gas.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP Idris Ibrahim berkata bagi merealisasikan agenda tersebut, institut itu memberi fokus kepada dua aspek penting iaitu penyediaan fasiliti berkonsepkan lestari serta pembangunan modal insan yang selari dengan misi dan visi Petronas, sebagai kumpulan tenaga global dinamik.
Sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida di udara, INSTEP juga melaksanakan pemasangan solar fotovoltaik di persekitaran kampus itu yang dijalankan secara kolaborasi dengan sebuah syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih milik Petronas, Gentari.
Idris berkata, pemasangan sistem solar berkapasiti 1.4MWp di bumbung bangunan akademik, pejabat pentadbiran dan laluan pejalan kaki ini berjaya mengurangkan 30 peratus penggunaan elektrik daripada sumber bahan api setahun dan ia jelas dibuktikan melalui penjimatan bil elektrik bulanan.
Menurutnya pemasangan lima kilowatt (kW) sistem solar fotovoltaik berkapasiti di fasiliti latihan INSTEP telah dilaksanakan bagi tujuan pembelajaran termasuk penyelidikan, analisis data dan aktiviti latihan pelatih.
“Dengan penjimatan 30 peratus sumber elektrik ini, kita juga berjaya mengurangkan pelepasan sebanyak 1285.47 tan karbon dioksida setara (tCO2e) di udara setahun. Dengan perkembangan hari ini, kita menyasarkan untuk mencapai sasaran 40 peratus pula pada 2030,” katanya ketika ditemui Bernama di INSTEP, di sini.
Selain itu, Idris berkata, INSTEP juga menjadi anak syarikat Petronas pertama yang melaksanakan program kitar semula makanan melalui penggunaan teknologi kompos untuk dijadikan baja organik.
Jelas beliau setiap tahun dianggarkan 15,000 kilogram sisa makanan berjaya diproses kepada baja organik yang kemudiannya digunakan untuk proses pembajaan tanaman di sekitar institut berkenaan.
“Proses pengkomposan turut menyumbang kepada pengurangan kesan gas rumah hijau di atmosfera. Jumlah ini menyamai keupayaan penyerapan karbon dioksida oleh 6,000 batang pokok setahun,” katanya.
Beliau berkata INSTEP turut mengambil langkah progresif dengan tidak menggalakkan penggunaan botol plastik dan digantikan dengan bekas minuman boleh kitar semula di dalam kampus bermula Mac lepas.
Menurut Idris, sebagai alternatif, pihaknya menyediakan mesin penapis air di sekitar kampus bagi kegunaan pelajar dan kakitangan institut itu.
“Kita juga ada dua motosikal yang digerakkan oleh bateri solar dan ia digunakan oleh anggota keselamatan INSTEP untuk tujuan pemantauan dalam kampus.
“Semua usaha ini selain mencapai objektif kumpulan, kita juga sedang berusaha ke arah mewujudkan Kampus Hijau pada suatu masa nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Idris berkata penyediaan fasiliti sahaja tidak cukup kerana ia perlu diselarikan dengan pembangunan sumber manusia atau tenaga kerja yang mampu membawa aspirasi lestari dalam setiap rutin kerja atau kehidupan seharian mereka.
Menurut Idris di INSTEP, setiap modul pembelajaran dan latihan yang digubal akan dimasukkan elemen lestari bagi membudayakan nilai tersebut dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai industri sebaik tamat latihan.
“Di INSTEP, kami memberi penekanan awal kepada 400 pelajar yang sedia ada tentang konsep kelestarian melalui modul latihan atau pengalaman pembelajaran sejak mereka mula melangkah masuk ke kelas.
“Penekanan terhadap penetapan minda amat penting bagi memastikan mereka membawa budaya lestari ke tempat kerja seterusnya menyokong agenda kelestarian Petronas,” katanya.
Bagi memastikan penerapan nilai yang lebih kukuh dalam kalangan pelajar dan lebih 200 kakitangannya, Idris berkata, INSTEP turut melaksanakan beberapa projek bersama komuniti sebagai sebahagian program berimpak sosial.
Program Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari yang melibatkan hampir 200 pelajar Tahun Empat dan Lima daripada lapan sekolah rendah di sekitar Kuala Nerus dan Setiu antara inisiatif yang berjaya memberi impak kepada kedua-dua pihak.
“Program ini bertujuan membangkitkan minat mereka terhadap aspek kelestarian melalui aktiviti pembelajaran menyeronokkan. Pelajar terbabit dibawa ke kampus INSTEP untuk didedahkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik di luar bilik darjah melalui pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti penanaman pokok, yang memerlukan mereka mengkaji proses tumbesaran pokok tersebut dan mereka akan dibawa semula ke sini untuk memantau pertumbuhan pokok yang mereka tanam,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata INSTEP juga mengambil inisiatif unik dengan mengadakan kempen kitar semula pakaian, ‘Recycle Your Clothes’ yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan syarikat kitar semula pakaian yang dilantik.
Hasilnya, sebanyak 40 tan matrik pakaian terpakai sumbangan orang ramai termasuk kakitangan Petronas berjaya dikumpul.
Idris berkata semua keuntungan daripada jualan tersebut pula diserah kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi membantu pesakit yang memerlukan.
“Barangan yang masih elok seperti beg, langsir, tali pinggang dan selimut akan dijual semula sebagai barangan terpakai, manakala yang sudah rosak diproses untuk kegunaan lain.
“Inisiatif kecil ini menyokong perkembangan ekonomi kitaran dan dapat memberi impak positif kepada masalah limpahan sampah di kawasan daratan dan secara tidak langsung mengurangkan isu pemanasan global,” katanya. – Bernama