KUALA LUMPUR: Teknologi pendigitalan industri perladangan, terutamanya kelapa sawit dapat membantu pengusaha ladang meningkatkan kecekapan dan produktiviti masing-masing menerusi inisiatif penyelesaian digital terhadap sebarang masalah dan kekangan yang dihadapi mereka.
Pengarah Kanan II Sektor Pembangunan Industri, Vertikal Teknologi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Muhammad Lofty Abd Karim berkata, inisiatif itu juga membantu pengusaha ladang kelapa sawit mengurangkan kos operasi dan keperluan tenaga kerja buruh.
“Contohnya, pengurangan kos boleh diperoleh dengan hanya menggunakan jumlah baja yang diperlukan untuk pokok pertanian yang berkenaan, perancangan penyelenggaraan dan penuaian buah serta mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja.
“Selain itu, penyelesaian digital juga boleh membantu pengusaha ladang kelapa sawit meningkatkan amalan kelestarian mereka, meningkatkan prestasi alam sekitar, meningkatkan prestasi sosial mereka dan meningkatkan amalan tadbir urus yang cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara: Bicara MCMC terbitan Bernama TV dengan topik “Adaptasi Digital: Memacu Produktiviti dan Kelestarian Pertanian”, semalam.
Bagaimanapun, Muhammad Lofty berkata, cabaran sebenar untuk mendigitalkan keseluruhan rantaian nilai industri itu ialah kesalinghubungan di bawah pelepah kelapa sawit kerana sifat tanaman itu sendiri menyerap radiasi atau isyarat telekomunikasi.
“Ini menyukarkan untuk menyambung kepada peranti-peranti yang berada di bawah pokok kelapa sawit, sekali gus menyukarkan untuk mendigitalkan kelapa sawit atau ladang. Di samping itu, kedudukan ladang kelapa sawit juga jauh dari kawasan yang berpenduduk ramai.
“Oleh itu, MCMC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang bersama-sama untuk menangani isu ini secara khusus,” katanya sambil menambah antara cabaran lain dihadapi industri kelapa sawit ketika ini ialah kekurangan pekerja buruh, perubahan iklim dan persaingan yang meningkat.
Beliau berkata industri kelapa sawit ialah satu daripada tiga trek di bawah Program Pertanian Pintar (SAP) oleh MCMC, selain akuakultur serta penanaman sayur dan buah, untuk mendorong adaptasi digital dalam sektor pertanian terpilih.
SAP, katanya disasarkan untuk membantu dalam isu yang menghalang penerimagunaan teknologi dan memadankan pelbagai teknologi pertanian baharu untuk meningkatkan daya pengeluaran dan hasil.
Sementara itu, menerusi topik “Landskap Digital Penternakan Negara” dalam program sama, Prof Dr Anjas Asmara Samsudin daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyarankan pemain industri penternakan untuk beralih kepada teknologi pendigitalan bagi mengelakkan kerugian berskala besar kelak.
Beliau berkata, digitalisasi untuk industri itu melibatkan tiga teras utama iaitu biometric sensor, penggunaan data raya dan teknologi blockchain dalam membantu meningkatkan proses penternakan.
Contohnya, beliau berkata, biometric sensor akan memberi maklumat mengenai kesihatan dan tingkah laku ternakan di dalam kandang sama ada dari segi kesihatan atau suhu ternakan.
“Sekiranya suhu meningkat menunjukkan ada yang tidak kena, sama ada ternakan itu mula menunjukkan simptom berpenyakit atau mungkin berlaku kerosakan logistik seperti penyaman udara.
“Biometric sensor ini akan membekalkan data kepada sistem cloud dan sistem itu melalui pula penggunaan data raya yang akhirnya akan mengguna pakai statistik algoritma untuk memberi satu input kepada penternak.
“Ini bagi memastikan penternak dapat membuat ramalan sekiranya ternakan berkenaan menunjukkan sebarang tingkah laku, potensi bahaya yang mereka boleh jangka akan jadi. Dari situ, sudah beri langkah awal kepada penternak untuk bersedia,” katanya. – Bernama