DALAM perbahasan sidang Belanjawan Negara 2024 salah seorang Ahli Parlimen dari Sarawak mengutarakan tentang perlunya kandungan sejarah Sarawak dan Sabah diperkasakan dalam buku teks sekolah. Katanya, kandungan sejarah bagi Sarawak dan Sabah hendaklah satu pertiga atau separuh daripada kandungan buku teks sejarah di sekolah.
Ini kerana kata Ahli Parlimen itu bahawa orientasi buku teks sejarah sekarang tertumpu banyak kepada Tanah Melayu. Apa yang menariknya dalam hal ini beliau mengaitkan dengan perlunya ada autonomi pendidikan untuk Sarawak dalam hal ini.
Perkara tentang buku teks sekolah ini memang pernah saya utarakan sebelum ini. Diakui juga bahawa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) memang mempunyai usaha memperkasakan kandungan sejarah kedua-dua negeri ini dalam buku teks sekolah. Buku teks sekolah menengah tingkatan 2 misalnya telah ada usaha memperuntukkan satu bab dalam buku tersebut khas untuk Sarawak dan Sabah.
Buku sejarah tingkatan yang lain pula telah ada usaha untuk memasukkan sejarah Sarawak dan Sabah dalam tema tertentu seperti kedatangan kuasa Barat, perjuangan menentang penjajah dan juga pembentukan Malaysia. Tingkata 6 juga tidak ketinggalan dalam memperkasakan sejarah Sarawak termasuk Sabah dalam kertas 3.
Pengisian
Memang cadangan untuk memperkasakan kandungan sejarah Sarawak dan Sabah ini dialu-alukan tetapi kajian terbaharu mengenai Sarawak agak terhad. Hanya beberapa kajian sejarah terbaharu sahaja dibuat oleh sejarawan Sarawak seperti Datu Dr Sanib Said dan Dr Habids Buhigiba Mohamad Bustamam.
Kebanyakan buku mengenai sejarah Sarawak yang lama lebih kepada western centric yang tidak sesuai digunakan sebagai bahan utama penulisan sejarah. Ini kerana tanggapan mereka tentang sejarah dan masyarakat setempat berdasarkan kepada ‘beban orang putih’ (the white man’s burden) yang menganggap masyarakat tempatan tidak mempunyai tamadun.
Ada juga buku-buku terbaharu tetapi kekuatan disiplin sejarahnya lemah. Pelbagai pendapat tentang sesuatu perkara mengenai sejarah diutara tetapi kesahihan bahan tersebut tidak dapat dipastikan. Mungkin pengalaman boleh menjadi sandaran dalam penulisan itu, namun sifat sejarah lisan ini ada kelemahannya yang perlu disokong dengan fakta bertulis yang disahkan kebenarannya.
Ini kerana sejarah adalah satu disiplin yang mempunyai kaedah penyelidikannya sendiri yang dibina oleh Bapa Sejarah Moden iaitu Leopold Von Ranke. Ia bukan sahaja mengenai kisah masa lalu semata-mata tetapi bagaimana masa lalu itu ditulis dengan kebenaran fakta, kebolehpercayaan sumber dan ketepatan pentafsiran.
Kebanyakan sejarah ditulis, disebar dan diutarakan pada masa ini membawa kepada keraguan ahli sejarah tentang kesahihan sumber yang digunakan. Sejarah tidak boleh ditulis pada lintasan masa saja dan spekulatif semata-mata. Hal-hal ini sering kali muncul dalam media massa maya pada hari ini.
Oleh itu timbul pelbagai pendapat mengatakan ini sebenarnya berlaku dalam sejarah tetapi apakah pembuktiannya dapat disahkan dengan tepat.
Keperluan Bahan
Oleh itu penulisan sejarah Sarawak itu harus dikuatkan dengan penulisan yang mempunyai disiplin sejarah agar kandungan sejarah Sarawak dalam buku teks pada tahap yang mantap dan tidak mempunyai keraguan lagi. Dalam hal ini kita di Sarawak beruntung dengan peranan Pustaka Negeri Sarawak dan Arkib Negara cawangan Sarawak yang menjadi gedung menyimpan rekod-rekod penting untuk sejarah Sarawak. Syabas diucapkan dengan peranan kedua-dua badan ini.
Bagi memperkasakan lagi pengumpulan bahan-bahan ini perlu juga dilihat bahan bahasa asing lain seperti Portugis dan Belanda serta Jepun. Kuasa-kuasa asing ini pernah mempunyai hubungan dengan Sarawak.
Portugis pernah melawat kawasan yang dikenali sebagai Cerava yang dikaitkan dengan Sarawak. Belanda pula memain peranan penting dalam mengumpul maklumat tentang Borneo termasuk Sarawak. Leiden menyimpan banyak bahan-bahan Belanda tentang jajahannya di Indonesia termasuk Borneo.
Jepun juga tidak kurang pentingnya kerana pernah mempunyai komuniti tinggal di Sarawak dan menduduki Sarawak pada Perang Dunia Kedua. Tidak lupa juga pengumpulan manuskrip-manuskrip Melayu di Borneo juga penting dalam memahami sejarah Sarawak.
Begitu juga bahan-bahan dari Arsip Nasional Indonesia yang menyimpan rekod-rekod Borneo serta Belanda. Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Singapura juga tidak ketinggalan dalam menyumbang rekod-rekod tentang Sarawak yang harus diterokai.
Satu lagi usaha perlu diambil perhatian adalah merekod sejarah lisan Sarawak. Hal ini perlu dibuat untuk memastikan bahawa bahan digunakan untuk penyelidikan itu pelbagai dan tidak ada kecondongan.
Penyelidikan
Hanya satu perkara harus dilakukan oleh Sarawak adalah menubuh Jabatan Sejarah di universiti tempatan terutama di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Adalah perlu bagi Sarawak seiringan dengan negara maju seperti di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Perancis yang telah lama mempunyai Jabatan Sejarah di universiti tempatan mereka. Malah China mempunyai satu jabatan sejarah yang terkenal di Universiti Peking.
Penubuhan Jabatan Sejarah ini penting dalam memperkasakan sejarah tempatan. Seperti dinyatakan awal tadi sarjana sejarah perlu dilahirkan kerana mereka mengenal penyelidikan sejarah yang sebenarnya. Mereka ini akan menjadi pengerak kepada usaha memperkasakan sejarah Sarawak dan ini memberi autonomi cukup kuat bagi Sarawak untuk menulis sejarahnya sendiri.
Diharap juga kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dapat memperakukan resolusi Persidangan Sejarah Sarawak yang berlangsung pada September lepas. Resolusi ini bukan sahaja mencadangkan penubuhan Jabatan Sejarah di Unimas tetapi cadangan penubuhan Pusat Sejarah di Sarawak. Kedua-dua institusi ini mampu merealisasikan kemantapan kandungan sejarah Sarawak.
Memperkasakan
Selain itu NGO berkaitan dengan sejarah seperti Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) juga mempunyai peranan dalam memperkasakan sejarah Sarawak. Apa yang perlu dilakukan oleh PSM ini ialah memberi ruang kepada penyelidikan yang berkesan tentang sejarah Sarawak.
Kerjasama antara PSM dengan sejarawan di universiti juga antara usaha perlu digalakkan. Hal ini boleh dilihat dengan peranan PSM cawangan Sabah yang banyak melibatkan pensyarah-pensyarah sejarah di Sabah dalam aktiviti mereka. Usaha seumpama ini dapat memperkasakan lagi sejarah sesebuah negara.
Secara dasarnya sejarah Sarawak perlu diperkasakan agar ia mampu memberi wadah baharu dalam pemikiran kita tentang jati negeri Sarawak. Harap usaha bersungguh kita ini dapat merealisasikan sejarah Sarawak menjadikan sebahagian daripada sejarah Malaysia dan memperkukuhkan kandungan sejarah Sarawak dalam buku negara.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.