Oleh: Lokman Hakim
“Pembacaan tidak mungkin merupakan perhentian. Kita mesti melanjutkannya menjadi proses yang berlanjutan. Dengan cari begini barulah pembacaan berguna bagi kita. Kalau tidak, kita hanya membaca benda mati.” – Umar Junus, Catatan Si Malin Kundang, DBP, 1989.
SAYA sentiasa menanggapi pembacaan selaku proses berlanjutan. Justeru, pemilihan buku-buku yang saya baca biasanya diiringi dengan pertanyaan: “Apakah manfaat yang saya boleh perolehi daripada pembacaan ini?” Memandangkan saya sering menulis fiksyen dalam novel dan cerpen, saya melihat kepentingan pembacaan karya-karya fiksyen untuk dianalisis gaya kepengarangannya yang akan menjurus pada persoalan berikutnya: “Bagaimana dia menulis sebegini?”
Begitu juga dengan buku-buku bukan fiksyen. Saya gemar menggulati kumpulan-kumpulan esei yang kreatif garapannya meskipun ia sarat fakta. Saya melanjutkan pembacaan itu dengan memahamkan bagaimana menyusun fakta dalam kerangka penceritaan yang agak peribadi sifatnya tanpa tersisip bias perspektif individu dalam sesebuah karya bukan fiksyen. Hal ini membuatkan saya jarang amat lupa akan apa-apa yang saya baca dan setiap lembaran yang sudah dibaca ibarat suatu akses ke dalam arkib memori yang sepertinya tiada had saiznya.
Namun, ada beberapa pembacaan yang memaksa saya untuk berhenti di situ lalu melupakannya. Ia tidak meninggalkan sebarang persoalan untuk saya terokai kemudian hari. Hal ini bersangkut paut pada isu ketidakkreatifan dan ketandusan unsur imaginatif sesuatu karya. Cerpen “Titip Doa Untukmu” ini memungkinkan pembacaan itu suatu perhentian. Saya tidak menemukan apa-apa keperluan untuk melanjutkan proses pembacaan ini keluar daripada teksnya sedia ada. Ia dimuktamadkan dengan ketipisan permukaan penceritaan yang saya tepuk lalu tinggalkan sekali harung.
Saya tidak pasti berapakah usia penulis yang menulis cerpen “Titip Doa Untukmu” ini. Atau barangkali ia cerpen lama yang dikeluarkan daripada inventori cerpen-cerpen penulis yang kini menginjak dewasa. Saya menganggap takah Wadah Bahasa dan Sastera sepatutnya tidak begitu rendah hingga menerima cerpen yang selayaknya dibaca sekadar untuk melepasi penilaian kertas ujian Bahasa Melayu tingkatan lima.
Sejujurnya, cerpen ini sebenarnya sebuah cerpen kritikan sosial yang baik secara definisinya. Penceritaannya lancar tanpa sebarang ropol ayat lewah. Ayat-ayatnya ekonomi dan membawa tujuan penceritaan mengikut alur yang pantas. Sebegitu pantas, hingga saya tidak perlu meneliti beberapa ayat dalam beberapa perenggan untuk mengetahui plotnya. Pengakhirannya klise dan naratifnya tidak mencabar pembacaan sama sekali lantas tidak meninggalkan sesuatu yang segar dalam ingatan.
Saya akui, penulis mahir menyusun naratif yang begitu lancar. Bahasanya baik – menampakkan penulis juga rajin membaca karya-karya yang bagus penjagaan bahasanya. Melihat gaya bahasa sebegini, tidak mustahil penulis berkemampuan membina gaya kepengarangannya yang tersendiri seandainya dipupuk bakatnya itu ke jalan sewajarnya. Dan saya percaya, jika diberi peluang, penulis mampu menghasilkan sebuah novel thriller yang padat aksi dan ekonomi naratifnya.
Namun, penulis harus belajar untuk mendalami sesuatu isu secara kritis supaya suatu pandangan ataupun pembaharuan perspektif boleh disajikan kepada pembaca. Saya juga percaya kematangan pemikiran melalui bacaan-bacaan berkualiti akan membantu penulis untuk menghasilkan sebuah cerpen yang lebih segar pembawaan dan juga temanya.
Kita soroti apakah yang cuba dihidangkan penulis melalui cerpen “Titip Doa Untukmu” ini. Naratifnya berlegar sekitar seorang pelajar tingkatan lima bernama Raziq yang punya masalah akhlak dan adab sehingga tidak disenangi kelompok guru dan rakan-rakan di sekolah. Jiran-jiran juga tidak menyenangi watak utama Raziq ini kerana hobinya yang suka berlumba motosikal saban malam di kawasan kejiranan bersama-sama rakan-rakannya. Bukan sekadar itu, Raziq ini juga biadap terhadap ibu bapanya.
Segala-galanya berkisar tentang Raziq dan penceritaan latar penceritaan yang membentuk perwatakan kasar remaja yang kurang budi bahasa ini. Penulis menyedari terdapat keperluan untuk mengungkapkan logik fiksyen yang membentuk peribadi kurang enak Raziq. Kurang perhatian diberikan ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya menjadi premis penulis untuk mengungkapkan sikap watak utama yang sebegitu rupa.
Dan cerpennya ditampalkan sebuah konflik iaitu rompakan ke atas rumah Raziq oleh rakan-rakannya yang berlumba motosikal bersama-samanya selalu itu. Konflik ini dimasukkan demi menjadi batu loncatan untuk menginsafkan Raziq supaya menjadi anak yang disenangi semua orang.
Cerpennya disudahkan dengan Raziq menerima keputusan SPM yang kurang cemerlang meskipun sudah berubah sikap. Ia pengakhiran yang manis apabila Raziq yang tidak cemerlang SPM itu berjaya belajar ke peringkat seterusnya lalu bekerja dengan syarikat minyak dan gas selaku pengendali perancah. Demi menyokong judul cerpen ini, ia diselitkan dengan kata-kata nasihat ibu bapa yang berbangga dengan perubahan anak mereka itu yang berbunyi seperti doa lantas menzahirkan relevan judul cerpen “Titip Doa Untukmu.”
Ia dimulai dengan permasalahan, diselesaikan dengan konflik selaku medium transisi sikap yang akhirnya dinoktahkan dengan pengakhiran yang damai. Secara rukunnya, ia cerpen yang cukup sifat serba-serbi selaku sebuah cerpen. Namun ia tidak memadai untuk menjadikannya cerpen yang diingati. Tiada isu yang membabitkan pemikiran untuk dibahaskan di dalam cerpen ini. Tiada juga terapan aksi demi menyedapkan cerpen yang saya kira boleh diungkapkan tika perompak yang memecah masuk rumah kediaman Raziq diberkas. Barangkali, kita boleh disajikan babak pengkhianatan rakan Raziq yang tergamak merompak rumah kawan baiknya sendiri. Malangnya, ia tidak didedahkan dengan lebih rinci di dalam cerpen ini.
Kerumitan psikologi watak khususnya Raziq juga tidak dicerakinkan dengan mendalam. Kita boleh difahamkan bahawa watak itu memberontak akibat kurang kasih sayang ibu bapanya. Tetapi kekurangan kasih sayang keluarga ini menuntut suatu untaian babak demi babak yang boleh meyakinkan pembaca bahawa terdapat sesuatu yang hilang pada keluarga Raziq itu tetapi ia ada pada rakan-rakannya yang suka berlumba motosikal saban malam tersebut. Aspek yang hilang inilah yang boleh ditelusuri maknanya seandainya penulis punya falsafah khusus dalam menggambarkan keluarga yang sempurna sahsiahnya.
Kekontangan imej, alegori dan falsafah membuatkan cerpen ini berapungan di permukaan penceritaan yang hanya dibaca sekali lalu tanpa mendasar ke jiwa dan pemikiran pembaca. Benarkah sebuah cerpen yang bagus harus punya makna lebih daripada selapis? Tidak semestinya.
Namun, sebuah cerpen yang selapis makna juga harus punya elemen yang mengakrabkan pembaca dengan pengalaman yang disuguhkan melalui pembacaan tersebut. Oleh sebab itu, cerpen yang sarat elemen kehidupan tanpa ropol babak dramatik mahupun kilasan plot tetap menyentuh nubari pembaca lalu diingati.
Justeru, penulis harus memilih sama ada untuk menulis cerpen yang menjentik intelektual atau emosi pembaca. Ia menuntut kemahiran dan juga pengalaman kepengarangan yang panjang sebelum mampu menukilkan cerpen yang sarat intelektualiti dan sekali gus menyentuh nubari pembaca dengan naratif yang menghibakan.
Dalam erti kata lain, cerpen “Titipkan Doa Untukmu” ini sebenarnya berpotensi untuk digarap dengan lebih baik melainkan rentetan ledakan emosi watak-wataknya, khususnya ketika mendepani tragedi. Dialognya yang agak kaku dan terlalu kontang emosi langsung mematikan potensi cerpen ini untuk menjentik emosi pembaca.
Sebagai contoh, dalam dialog Puan Nelydia terhadap anaknya,
“Ibu bekerja untuk mencari rezeki untuk keluarga kita. Ibu berkhidmat di hospital kerana ibu ingin menyelamatkan sebanyak nyawa dan menyembuhkan pesakit tidak kira agama dan bangsa. Selain keluarga sendiri, kita kena saling hormat-menghormati bangsa lain. Raziq kena sedar di Malaysia ni bukan bangsa Melayu saja yang ada. Kita hidup berbilang kaum dalam keharmonian dan kemakmuran” lembut sahaja suara Puan Nelydia menegur anaknya.
Padanan “bekerja mencari rezeki” + “kita kena saling hormat-menghormati bangsa lain” kedengarannya tidak begitu alami. Untuk menghasilkan dialog yang lebih berkesan, penulis harus menggunakan daya imaginasi yang tinggi diiringi pengetahuan khusus dalam membentuk psikologi watak yang saya kira boleh dipelajari melalui filem-filem bernuansa “slice of life” yang sederhana plotnya tetapi bahasa tubuh dan dialog yang sangat menyentuh hati.
Hal ini hanya boleh diperbaiki melalui suatu pengalaman pembacaan yang panjang diselangi keinginan untuk mengarang suatu karya sastera yang baik yang tidak surut-surut.
Oleh demikian, saya ingin memberi beberapa saranan kepada penulis yang saya kira sudah mahir menulis sebuah cerpen yang baik.
Pertama, ukur takah kualiti karya sendiri. Mutakhir ini, tidak sukar untuk mengukur takah kualiti karya sendiri di persada kesusasteraan tempatan. Kita ada platform Cereka yang sentiasa sarat dengan cerpen-cerpen baharu oleh penulis-penulis muda. Akhbar SelangorKini, Berita Harian, Utusan Sarawak dan beberapa majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Dewan Sastera dan Dewan Bahasa adalah percuma (setakat ini) untuk dibaca dalam talian. Saya yakin, penulis akan memahami apakah takah yang dimaksudkan setelah membaca puluhan cerpen yang beraneka ragam dan pembawaannya di situ.
Kedua, ia harus diiringi dengan pembacaan buku-buku bukan fiksyen, merangkumi buku-buku ilmiah yang merentasi pelbagai bidang ilmu demi memberi nilai tambah dalam kepengarangan penulis. Secara tidak langsung, ia memberi inti pati pemikiran dan falsafah kepada watak-watak yang diciptakan penulis di kemudian hari secara alami dan bukan dipaksa-paksa.
Di samping itu, pembacaan buku-buku fiksyen pula akan harus disarati analisis keberkesanan sesuatu garapan fiksyen diselangi penelitian ke atas susunan babak-babak dalam filem yang lebih mudah menyentuh nubari melalui pancaindera, khususnya melalui visual dan pendengaran.
Ketiga, memetik Shahnon Ahmad dalam eseinya yang berjudul “Proses Kreatif: Kesegalaannya Berpusatkan Insan”:
“Pengarang yang benar-benar mengenali insan sebagai bahannya dalam proses kreatif akan mengakrabkan latar ini dengan kehidupan insan, malah akan mengeksploitkan latar demi menerokai kerahsiaan insan kerana kerahsiaan insan yang diolah secara seni itulah sebenarnya matlamat karya sastera yang besar.”
Kerahsiaan insan ini hanya boleh dibongkar sekiranya penulis memberi penekanan ke atas pencarian jati dirinya selaku manusia yang bagaimana. Membaca sebegitu banyak buku harus dibumbui niat untuk mencari kerahsiaan insan itu yang bersemadi dalam diri masing-masing. Dalam erti kata lain, penulis harus berusaha mengenali dirinya sendiri dan proses inilah kelak yang akan menjadi teras kekuatan kepengarangan.
Namun, Shahnon Ahmad juga menyarankan peri pentingnya penulis mengutamakan niat berkarya itu, iaitu disandarkan demi beroleh keredhaan Allah SWT, demi memastikan karya yang ditulis tidak menyimpang ke arah penyelewengan akidah yang akan menjurus pada kepapaan moral seseorang pengarang.
Keempat, penulis harus memikirkan sasaran dan tujuan sesebuah karya fiksyen itu dihasilkan. Dia harus mempunyai penanda aras tersendiri yang akan memacu tahap kualiti pengkaryaan. Untuk menjadikan sesebuah fiksyen itu penting, ia harus juga mencerminkan semangat zaman tika ia ditulis. Namun, keutamaan semestinya terletak pada niat penulis itu sendiri – ia akan membentuk jenisan karya yang dihasilkan sejajar dengan niat itu dengan lebih berfokus.
Berdasarkan empat saranan ini, saya percaya ia akan membantu penulis dalam penciptaan karya yang lebih baik sekali gus memaksa pembacanya untuk melanjutkan pembacaan keluar daripada teks sedia ada lantas meninggalkan suatu pengalaman pembacaan yang manis.
Dapat disimpulkan bahawa “Titip Doa Untukmu” adalah langkah awalan penulis yang harus dipuji atas kekemasan naratif dan juga percubaan untuk menghasilkan cerpen nasihat yang meskipun dangkal, tetapi punya prototaip gaya kepengarangan yang tersendiri.
Semoga menjadi pengarang besar hendaknya di kemudian hari.