KUALA LUMPUR: International College of Management and Sports (ICMS) dan platform penghantaran atas permintaan Lalamove menjalin kerjasama untuk menyediakan peluang kepada pelajar mendaftar sebagai rakan penghantar bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan sambil melanjutkan pelajaran.
ICMS Education Group dan Lalamove dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama itu bertujuan memperkasakan pelajar dan rakan penghantar memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi, memupuk pertumbuhan bersama dan sokongan komuniti.
Pengarah Urusan ICMS Datuk Nathan Mahalingam berkata, kerjasama yang dimeterai pada 17 Oktober itu merupakan situasi menang-menang kepada pelajar kolej berkenaan yang kini boleh mencuba peluang meraih pendapatan fleksibel sambil meneruskan pengajian mereka.
Di bawah inisiatif “Ber-Lala Bersama ICMS” itu, pelajar ICMS yang mengikuti pengajian Diploma Pentadbiran Perniagaan akan layak mendapat motosikal Modernas Kriss percuma.
Menurut kenyataan itu, untuk melayakkan diri, pelajar mesti mendaftar sebagai rakan penghantar di platform Lalamove dan tawaran akan diberikan kepada rakan penghantara sedia ada serta pelajar ICMS baharu yang berjaya mendaftar sebagai rakan penghantar Lalamove.
“Selain itu, rakan penghantar Lalamove boleh mendapat manfaat daripada kursus jangka pendek percuma yang disediakan oleh ICMS.
“Kursus ini, yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman ICMS, meliputi pelbagai pengetahuan dan kemahiran, termasuk perkhidmatan pelanggan, pemasaran digital, asas IT dan banyak lagi,” kata Nathan.
Para peserta akan menerima sijil selepas menamatkan kursus, meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka. Setiap kursus memenuhi keperluan rakan penghantar Lalamove berumur antara 18 dan 40 tahun dengan kelayakan pendidikan PMR/PT3 atau SPM dan ke bawah.
Sementara itu, wakil dari ICMS dan Lalamove menzahirkan keterujaan mereka dengan kerjasama tersebut dan menekankan komitmen bersama untuk mencipta nilai kepada pelajar dan rakan penghantar, yang mana ia merupakan yang pertama di Malaysia.
Pengarah Urusan Lalamove Malaysia Jane Teh berkata perkongsian itu akan memperkasakan individu dan membantu platform penghantaran tersebut untuk berhubung dengan kumpulan individu dengan pelbagai berbakat dan membantu mereka dari segi kewangan dalam usaha meneruskan pengajian di peringkat tinggi. – Bernama