KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperluaskan Skim Keilatan kepada pekerja asing di negara ini bagi memastikan manfaat skim tersebut turut melindungi golongan itu.
Menterinya V. Sivakumar berkata bagaimanapun, perkara itu sedang diperincikan sebelum dikuat kuasa dalam masa terdekat.
“Kementerian sedang memuktamadkan rancangan untuk memperluas Skim Keilatan yang diperuntukkan menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) supaya turut meliputi pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.
“Ini bagi meningkatkan tahap jaringan perlindungan sosial dan memberi keadilan kepada pekerja yang berkhidmat di pelbagai sektor dan industri termasuk buruh asing di negara ini selari dengan Konvensyen 19 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.
Skim Keilatan memberi perlindungan kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata ketika ini pekerja asing hanya dilindungi Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Untuk pekerja tempatan, mereka dilindungi dengan Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan dengan kadar caruman dibuat majikan sebanyak 1.75 peratus manakala pekerja membayar 0.5 peratus.
“Bagi pekerja asing pula, majikan membayar sebanyak 1.25 peratus dan tiada bayaran dikenakan kepada pekerja… tetapi dengan perluasan Skim Keilatan ini kelak, kadar caruman akan diselaraskan dengan kadar caruman majikan dan pekerja tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Sivakumar turut menggesa agar majikan pekerja domestik asing mencarum skim Perkeso bagi membolehkan pekerja mereka dilindungi dengan Skim Bencana Kerja.
“Berdasarkan rekod, hanya 39.67 peratus daripada 95,000 pekerja domestik asing yang berada di negara ini dilindungi dengan skim Perkeso sedangkan semua pekerja domestik termasuk buruh asing telah diwajibkan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sejak 1 Jun 2022.
“Perangkaan ini menunjukkan bahawa ada segelintir majikan di negara ini masih tidak akur terhadap arahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata setakat 1 Oktober lalu, seramai 1.78 juta pekerja asing aktif dilindungi menerusi Skim Bencana Kerja Pekerja Asing Perkeso.
“Sehingga kini, sebanyak 37,328 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan kepada Perkeso dengan jumlah bayaran manfaat keselamatan sosial yang sudah dilunaskan kepada Orang Berinsurans dan waris menjangkau RM76.57 juta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata KSM ketika ini masih menjalankan rundingan dengan Indonesia berhubung kos pengambilan pembantu rumah yang mencecah sehingga RM15,000 seorang.
“Perkara ini belum dimuktamadkan… yang pasti kita di landasan sama iaitu untuk mengurangkan kos tersebut, perjumpaan pegawai Malaysia dengan pegawai Indonesia masih berterusan,” katanya. – Bernama