KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan prestasi cemerlang pada Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-15 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila tiga ahli akademiknya diiktiraf menerusi dua anugerah, semalam.
Mereka ialah Dr Mariani Abdul Hamid yang menerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk; Prof Madya Dr Adibah Abdul Latif yang menerima Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan serta Dr Norliza Mohd Isa yang merangkul Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sains Gunaan.
Memenangi anugerah menerusi produk DERMAGS Intensive Brightening Serum iaitu produk kosmetik berasaskan manggis, Mariani ketika ditemui berkata usaha selama hampir tujuh tahun menjalankan kajian ternyata membuahkan hasil apabila diiktiraf sebagai inovator terbaik.
“Pada 2014 kami pasarkan DERMAGS. Sekarang produk ini telah lapan tahun berada dalam pasaran…memang banyak naik dan turun yang kami lalui tapi Alhamdulillah, melalui pemasaran produk ini kami dah lahirkan 10 orang jutawan. Mereka adalah pengedar, ejen, stokis dan sebagainya.
“Kita juga memberi pulangan kepada UTM sendiri dalam bentuk royalti, pelesenan teknologi, endowmen, kontrak penyelidikan dan sebagainya melebihi RM700,000 kepada universiti. Saya rasa itu pencapaian yang sangat membanggakan bagi pihak kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di sini.
Selain itu, Adibah yang terlibat secara langsung dengan pelbagai pelan serta polisi pengajaran dan pendidikan di peringkat universiti dan nasional berkata pengiktirafan diterima adalah motivasi dan penghargaan untuk meneruskan sumbangan dalam bidang diceburi.
“Apa yang saya dapat hari ini ialah usaha daripada ramai terutamanya keluarga dan UTM sendiri. Saya berada di UTM sebagai pengajar pada 2003, jadi dah 20 tahun. Sudah tentu untuk berada pada tahap ini, mencapai anugerah ini sebenarnya tak pernah terlintas dalam fikiran saya.
“Saya yakin mana-mana pendidik… tak pernah memikirkan balasan jadi dengan penganugerahan ini ia bukanlah sebagai balasan tetapi sebagai motivasi, penghargaan supaya pendidik merasakan bahawa diri mereka adalah sangat signifikan dalam komuniti atau masyarakat kita,” katanya.
Bertugas di Sekolah Pendidikan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, Adibah menumpukan kepada bidang pentaksiran pendidikan yang memerlukan beliau menguasai aspek kurikulum, penyampaian pengajaran dan proses penambahbaikan dan telah melaksanakan pelbagai inovasi dalam konteks pengajaran demi meningkatkan pemerolehan ilmu dan kemenjadian pelajar ke tahap lebih baik.
Norliza yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Dan Ukur UTM pula berharap anugerah itu akan menjadi dorongan untuk kekal berusaha memberikan yang terbaik demi kebaikan para pelajarnya.
Usaha beliau didasari oleh nilai AQWAM (Attitude (sikap), emotional Quotient (emosi Quotient), teamWork (kerja berpasukan), Adaptability (kebolehsuaian) and comMunication skills (kemahiran berkomunikasi)) menjadi kunci kejayaannya dalam mengimplimentasi inovasi pembelajaran abad ke-21 dalam konteks pengajaran yang dilaksana di UTM.
Ketiga-tiga penerima anugerah itu membawa pulang hadiah RM50,000 berserta piala dan sijil.
Ahli akademik UTM yang pernah memenangi anugerah daripada AAN sebelum ini ialah Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail pada AAN ketujuh, Prof Mohd Hafiz Dzarfan (AAN ke-14), Prof Dr Mohamad Roji Sarmidi (AAN ke-11), Prof Madya Fatimah Puteh (AAN kesembilan) dan Prof Madya Hayati Abdullah (AAN kelima).
UTM melalui UTM CDEX sentiasa memberi galakan kepada ahli akademik universiti itu agar terus ke hadapan dalam meningkatkan kesohoran akademia khususnya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan. – Bernama