BARU-baru ini, sekumpulan 12 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini menggesa pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikaji semula, telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak termasuk parti komponen Kerajaan Perpaduan sendiri. Justeru, mereka mendakwa pendirian mereka telah disalah tafsir.
Dari satu segi, memang mereka menyuarakan kecaman terhadap kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi terhadap Israel, selain memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.
Namun, isu ini tidak seharusnya dilihat sebagai menentang Palestin mahupun menyokong Israel. Malah 12 kumpulan PKR itu juga telah menyatakan penentangan mereka terhadap kezaliman Israel di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) malah di pentas antarabangsa telah lama berlangsung.
Pada masa sama, mereka menyatakan kebimbangan mengenai apa-apa yang mereka sifatkan sebagai unsur ekstremisme dalam Minggu Solidariti Palestin. Perkara ini berlaku selepas tular isu video pelajar dan guru di sebuah sekolah mengacukan pistol mainan yang tular dalam sosial media, baru-baru ini.
Sepatutnya, ia diisikan seperti aktiviti melukis, menggunakan imaginasi dan kreativiti pihak sekolah tanpa perlu menonjolkan aspek unsur keganasan sekali gus boleh menyedarkan golongan untuk menolak kezaliman dan keganasan tanpa mengira etnik dan agama.
Reaksi dan kritikan
Pandangan tersebut bukanlah pandangan satu pihak sahaja. Malah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah juga berkongsi pendirian yang sama. Beliau menyatakan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak seharusnya melibatkan kanak-kanak dan pelajar dalam konflik Israel-Palestin yang sedang berlaku.
Lebih-lebih lagi berkenaan video pelajar dan guru sekolah membawa senjata mainan yang tular dalam talian, walaupun ia bersifat terpencil namun membimbangkan banyak pihak.
“Saya tidak menyokong arahan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan minggu solidariti ini melibatkan kanak-kanak. Mereka tidak sepatutnya melibatkan kanak-kanak dan pelajar yang masih bersekolah sama ada di sekolah tadika, rendah mahupun menengah. Kecuali mereka sudah dewasa dan sudah memasuki universiti, mereka bebas menyatakan pendirian kerana kita mahu belia kita di institusi pengajian tinggi mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat mereka. Tambahan pula, saya pernah melihat video kanak-kanak memegang pistol mainan. Anda tidak mengajar anak-anak anda dengan cara ini. KPM harus menangani perkara ini dan elakkan melibatkan kanak-kanak kecil,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Karim juga menyokong kenyataan Bishop of Anglican Church di Sarawak dan Brunei, Rt Rev Datuk Danald Jute; dan Presiden Persidangan Biskop Katolik Malaysia (CBCM), Uskup Agung Simon Poh, yang tidak bersetuju dengan penglibatan kanak-kanak dalam menyatakan solidariti walaupun beliau tidak setuju satu aspek kecil Danald Jute yang disifatkan oleh Karim sebagai tidak sepatutnya melibatkan diri dalam politik kerana beliau imam besar yang perlu menilai sumber maklumat sebenar dalam isu Hamas. Hal ini berkenaan isu kemungkinan hospital dibom oleh Hamas sendiri.
Isu sejagat
Hakikatnya, terdapat 12 hospital dan 32 pusat penjagaan kesihatan terjejas teruk. Al-Ahli Arabi Baptis Hospital dikendalikan oleh sebuah gereja Anglikan, telah dibom mengakibatkan kematian lebih 500 rakyat Palestin daripada pelbagai agama termasuk juga yang beragama Kristian dan Yahudi.
Ini membuktikan masalah Palestin bukan isu mengenai masyarakat Islam sahaja, sebaliknya ia isu sejagat perlu diselesaikan. Lebih 7,000 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan orang awam, telah terkorban angkara keganasan rejim Zionis tanpa belas kasihan. Apapun yang berlaku, solidariti Malaysia termasuk Sarawak adalah untuk memberikan mereka semangat bagi meneruskan kehidupan dan menentang keganasan zionisme.
Solidariti terbelah dua
Di Malaysia, beberapa solidariti perjuangan Palestin ada kalanya bersifat pertandingan populariti parti politik dan terdapat ahli politik menumpang perhimpunan solidariti untuk kelebihan politik, kepentingan peribadi politik manakala semangat bipartisan masih sukar difahami pada protes ini.
Dalam tujuh perhimpunan yang diadakan sejak awal Oktober, terdapat perpecahan politik walaupun perhimpunan tersebut atas nama solidariti atau perpaduan. Apabila mengadakan perhimpunan solidariti, ia bukan sahaja untuk menyatakan sokongan tulen bagi tujuan global, tetapi juga untuk mendapatkan kelebihan politik kerana mereka boleh menunjukkan pendirian mereka dalam isu antarabangsa, yang mungkin bergema dengan penyokong mereka dan membantu mereka meraih kemenangan lagi atau mengukuhkan imej politik mereka.
Bagaimanapun, adalah penting untuk membezakan antara sokongan tulen untuk tujuan dan oportunis politik dalam situasi ini.
Dalam peristiwa politik, terdapat parti politik dari segi sejarah telah memanfaatkan peristiwa global yang penting, krisis atau kontroversi untuk mewujudkan objektif politik mereka. Ahli politik sering merangka isu sebegini untuk menyelaraskan dengan ideologi mereka sendiri, mendapatkan sokongan atau mengalihkan perhatian orang ramai daripada perkara lain.
Amalan ini adalah aspek biasa dalam politik, dan implikasi etikanya boleh berbeza-beza bergantung kepada keikhlasan dan motivasi aktor politik terbabit. Tetapi acara seperti itu bukan sahaja mengenai ahli politik yang bercakap mengenai perkara kemanusiaan, mereka sepatutnya dapat menghasilkan penyelesaian konkrit untuk menyampaikan bantuan sebenar.
Berwajah ganda
Hakikatnya, tindakan hanya mengutuk dan meninggikan suara adalah tidak mencukupi. Setiap ahli politik mencari kelebihan politik tetapi ada kekurangan idea untuk melaksanakan penyelesaian.
Contohnya, mengutamakan idea-idea utama mengenai jalan-jalan penyelesaian isu Palestin perlu ditangani secara serius oleh semua pihak. Pada masa sama, pola penganjuran acara solidariti berasingan oleh setiap parti politik atau gabungan menunjukkan kekurangan perpaduan walaupun matlamat bersama untuk menyokong Palestin.
Berdasarkan perhimpunan diadakan, didapati tiada perpaduan dalam kalangan parti politik walaupun perhimpunan ini adalah mengenai solidariti Palestin. Mereka semua dapat berkumpul pada satu perhimpunan, tetapi ini tidak berlaku.
Ia seolah-olah tidak mahu dilihat bertindak di bawah arahan satu sama lain, jadi mereka memilih untuk mengadakan acara berasingan. Ini bukan budaya yang sihat, terutamanya apabila mereka harus bersatu berdasarkan kemanusiaan, melampaui pemahaman politik, agama dan etnik yang sempit.
Akhirnya, ia dibayangi oleh naratif agama dan bukannya isu kemanusiaan sejagat yang sebenarnya perlu diberikan perhatian oleh semua dan ini boleh mengelirukan orang ramai. Hinggakan pada satu tahap ia berubah menjadi tontonan politik, perhimpunan mana yang mendapat penyertaan teramai, retorik mana lebih cerminkan semangat parti dan ini lari daripada tujuan sebenarnya dan semangat asal solidariti itu sendiri.
Seolah-olah cuba mendapat populariti daripada isu kezaliman global yang dibungkus dan disalut dengan aspek agama ikut acuan parti tertentu. Bayangan naratif agama dipercayai dapat melonjakkan sokongan parti mereka.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).