KUALA LUMPUR: Perodua merekodkan kenaikan jualan sebanyak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2022 berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.
Menurutnya peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan dikeluarkan iaitu kenaikan 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lepas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, suku ketiga 2023 menjadi titik mula untuk Perodua meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan.
Bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, pengeluar kereta kompak itu telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September 2023 atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus daripada 206,837 unit dalam tempoh sama tahun lepas.
“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zainal Abidin berkata dengan kesemua penambahbaikan ini, jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.
“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan. Kami yakin bermula Januari 2024 dan seterusnya, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lepas.
Daripada 233,227 unit yang telah didaftarkan, model Perodua terbanyak yang dijual sehingga September 2023 adalah Perodua Bezza, diikuti oleh Perodua Axia dan Perodua Myvi.
“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambah baik kapasiti pengeluaran dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan. Kami juga masih berada di landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” katanya. – Bernama