PETRA JAYA: Pembangunan teknologi dan pendekatan moden menggalakkan generasi muda menceburi kerjaya dalam pengeluaran makanan dan pertanian.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan rantaian bekalan makanan negeri ini.
Ini berikutan mereka celik teknologi dan boleh memanfaatkan teknologi terkini untuk mendapat manfaat daripada pertanian pintar.
“Sarawak menjadi penyumbang utama kepada banyak sumber asli, termasuk gas asli dan minyak mentah.
“Ia sedang dalam perjalanan untuk menjadi pemain yang lebih penting dalam pembangunan ekonomi baharu ASEAN.
“Kerajaan Sarawak komited untuk mengubah Sarawak menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.
“Dengan tanahnya yang luas, kapasiti kepakaran, dan tenaga elektrik mampu milik, saya percaya hasrat ini boleh dicapai dengan kejayaan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Aminuddin Hassim pada Persidangan Makanan ASEAN Ke-17 (AFC2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, AFC2023 juga merupakan paltform penting untuk peserta melibatkan diri melalui wacana dan perbincangan mengenai topik-topik kepentingan bersama dalam alam masa depan makanan di ASEAN.
Jelasnya, Negara Anggota ASEAN (AMS) bekerjasama rapat untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan integrasi serantau, menyokong usaha membina komuniti ASEAN.
“Pertanian kekal sebagai penyumbang ekonomi penting kepada kebanyakan ekonomi ASEAN.
“Kerjasama dalam makanan, pertanian, dan perhutanan dalam ASEAN telah tertumpu kepada meningkatkan pengeluaran makanan dan pertanian, meningkatkan mata pencarian petani, menggalakkan pelaburan berasaskan pertanian, dan mewujudkan pasaran yang kondusif dan perdagangan yang adil.
“Menyedari peranan utama Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan integrasi dalam ASEAN, Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (COSTI) telah menerajui usaha dalam kerjasama serantau dan bantuan bersama dalam penyelidikan dan pembangunan sejak 1978.
“Sepanjang tiga tahun yang lalu, kita telah menyaksikan tahap ketidaktentuan yang tinggi dalam ekonomi global. Kami telah menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial dan alam sekitar yang ketara, dan pandemik Covid-19.
“Oleh itu, AFC2023 hadir pada saat yang tepat, menyediakan platform dengan tema “Masa Depan Makanan di ASEAN: Apa Seterusnya?” untuk mengetengahkan kemajuan dan penemuan baharu dalam sains dan teknologi makanan,” jelasnya.
Sehubungan itu, dengan Persidangan AFC2023 dengan tema “Masa Depan Makanan di ASEAN: Apa Seterusnya?” ini, dapat mengetengahkan kemajuan dan penemuan baharu dalam sains dan teknologi makanan.
Persidangan itu dianjurkan bersama oleh anjuran Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kesatuan Sains dan Teknologi Makanan Antarabangsa (IUFoST), dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Persidangan ini menghimpunkan pelbagai entiti, seperti agensi pertanian, penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar dan pemain industri dari dalam dan luar Malaysia.
Beliau juga berharap perbincangan ini akan memberikan input yang berharga dan boleh dilaksanakan kepada pemain utama dan penggubal dasar dalam menangani ancaman kepada gangguan rantaian bekalan serantau dan global.
Hadir sama, Presiden Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) dan Presiden Persekutuan Institut Sains & Teknologi Makanan di ASEAN (FIFSTA), Dr Koh Yew Ming, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Kanan Biro Konvensyen dan Pameran Hal Ehwal Korporat Malaysia Zain Azrai Rashid, Ketua Pegawai Eksekutif, Acara Perniagaan Sarawak Amelia Roziman dan Pengerusi, Jawatankuasa Penganjur AFC2023 Sharidah Yusoff.
Oleh Nickelyson Lakun