BARAM: Pembangunan berterusan yang memberi fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak merupakan salah satu nadi penting demi memajukan negara.
Turut menikmati gelombang pembangunan dalam kepesatan arus digital pada masa ini ialah komuniti kaum Penan yang kini lebih ‘celik mata’ dalam menyedari kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, sekali gus mencorakkan kehidupan masa depan anak-anak mereka.
Menyedari ini, syarikat tenaga dan penyelesaian global Petronas, telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bagi membina lima Taman Didikan Anak-Anak (Tadika) di kawasan salah satu etnik minoriti di Sarawak itu.
Baru-baru ini, Utusan Sarawak berpeluang melawat Tadika Long Jenalong dan Tadika Long Kerangan dan melihat perkembangan positif pembinaan tadika tersebut kepada kaum Penan yang diibaratkan diberi harapan baharu dalam menikmati pendidikan.
Dalam satu temubual, guru di Tadika Long Jenalong Atika Fazila Wallpan berkata, pembinaan tadika yang berdekatan dengan rumah panjang mengurangkan bebanan ibu bapa terutamanya dari segi kos keperluan persekolahan. Ia juga memberi peluang lebih besar kepada anak-anak untuk mendapatkan pengetahuan asas.
“Semua ibu bapa di kawasan ini bekerja sebagai petani dan pendapatan mereka tidak menentu. Sebelum tertubuhnya tadika ini, mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan RM10 sehari (ulang-alik) demi menghantar anak-anak ke tadika di Long Bedian.
“Oleh itu, anak-anak tidak dapat hadir secara konsisten sehingga menjejaskan pembelajaran mereka..
“Saya sangat bersyukur kerana dengan pembinaan tadika ini, dapat membuka mata ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak yang juga menyuntik semangat kepada anak-anak agar belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.
Menurut Atika yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Open University Malaysia OUM), pendidikan awal kanak-kanak memainkan penting dalam membentuk kemahiran kognitif iaitu proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu.
Atika yang menyifatkan inisiatif Petronas dan KPWK itu sebagai salah satu ‘berkat’, berkongsi kesukaran apabila memasuki Tahun Satu tanpa menerima pendidikan awal di tadika mahupun taman asuhan kanak-kanak (Taska).
“Saya dan rakan-rakan sekampung yang tidak pernah masuk tadika sangat sukar untuk memahami pembelajaran asas terutama mengeja, mengira dan sebagainya.
“Apabila masuk tahun satu dan juga asrama pada masa sama, kami bagaikan ‘terkejut’ apabila perlu menerima silibus yang diajar oleh guru.
“Oleh kerana lambat untuk faham apa yang diajar, saya perlu berusaha dengan lebih gigih berbanding murid yang lain. Justeru, anak-anak di Long Jenalong sekarang perlu bersyukur kerana ada pihak yang prihatin terhadap pendidikan awal mereka,” luahnya.
Seorang guru di Tadika Long Kerangan, Suraya Suleman yang kini mengajar tujuh kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga enam tahun turut berkata, pembinaan tadika itu memudahkan komuniti tersebut memantau perkembangan anak-anak terutamanya pendidikan dan pendedahn dari segi kemahiran berkomunikasi..
“Kami sedia maklum bahawa komunikasi merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan. Dengan ada tadika ini, guru mendapat peluang untuk membantu anak-anak bagi mengasah kemahiran berkomunikasi mereka yang sememangnya penting apabila mereka bekerja di luar kawasan setelah dewasa kelak.
“Sebelum wujudnya tadika ini, ibu bapa menghantar anak-anak di prasekolah Long Latie yang beroperasi di dalam rumah panjang. Bagaimanapun, ibu bapa menghadapi kesukaran dari segi kos dan juga keadaan jalan yang tidak sempurna untuk menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari.
“Misalnya, jika hujan, jalan akan menjadi sangat licin dan tidak selamat untuk digunakan. Justeru, pembinaan tadika ini menyediakan peluang yang lebih baik kepada anak-anak untuk merasai nikmat pembelajaran dalam kelas,” katanya yang mula bekerja sebagai guru di tadika itu sejak 2016.
Projek pembinaan lima prasekolah yang bernilai RM2.75 juta itu dilaksanakan di bawah kolaborasi antara Petronas dan kerajaan Sarawak menerusi KPWK bermula 2016 sehingga 2020.
Lima sekolah yang kini dikendalikan oleh Sedidik Sdn Bhd (sebuah agensi di bawah KPWK) adalah Tadika Long Jenalong, Tadika Long Kerangan, Tadika Long Leng, Tadika Ba’Selulong dan Tadika Long Kawa.
Projek ini bertujuan menggalakkan kanak-kanak Penan untuk hadir ke sekolah dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pembelajaran. Ia juga menyorot usaha berterusan Petronas dalam menekankan kepentingan penyediaan pendidikan serta kesejahteraan dan pembangunan komuniti di Sarawak, termasuk kaum Penan.
Oleh Rynna Sha’erra