BELANDA merupakan salah satu kuasa imperialis Barat yang mempunyai keinginan untuk meluaskan jajahannya ke Kepulauan Melayu termasuk Pulau Borneo. Kehadiran Belanda ke Pulau Borneo lebih awal daripada kedatangan James Brooke ke Sarawak.
Dari segi sejarahnya, pada tahun 1601 seorang pengembara Belanda bernama Olivier van Noort telah melawat Brunei. Seterusnya diikuti dengan pengiriman armada tentera Belanda untuk melakukan eksplorasi di Pulau Borneo. Kawasan awal disinggahi oleh mereka adalah di selatan pulau tersebut.
Kemudiannya, Samuel Bloemaert ditugaskan membuat perjanjian dagang dengan beberapa kerajaan di Borneo seperti Landak, Sukadana, Brunei dan Sambas. Sambas menjadi kerajaan pertama di Borneo yang menandatangani perjanjian dengan Belanda pada 1609.
Selepas itu, kesultanan Banjarmasin pula menandatangani perjanjian dagang dengan Belanda pada 1636. Pada 1817 pula, Banjarmasin menandatangani perjanjian dengan Belanda untuk menyerahkan wilayah kekuasaannya di Pasir, Kutei dan Berau kepada Belanda.
Kerajaan Sintang pula menandatangani perjanjian perdagangan dengan Belanda pada 1822. Seterusnya diikuti dengan perjanjian lain yang membawa campurtangan Belanda ke atas kerajaan Sintang.
Belanda dan Brunei
Gambaran mengenai aktiviti Belanda di Borneo ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai hasrat besar menguasai Borneo. Namun demikian, hasrat ini tidak disokong kuat oleh kerajaan Belanda di Betawi dan The Hague. Hal ini dikaitkan dengan minat Belanda lebih kepada Pulau Jawa dan Sumatera.
Malah Gabenor Jeneral van den Bosch di Betawi pernah menyatakan pada 1833 bahawa tidak perlu diadakan sebarang aktiviti yang mengakibatkan perbelanjaan tidak perlu di Borneo. Hal ini juga bertitik tolak daripada kesan Perang Jawa pada 1825 apabila Belanda terpaksa menghadapi masalah kewangan dan sumber manusia.
Pesuruhjaya Jeneral du Bus mengakui bahawa tindakan Belanda harus berhati-hati bagi mengelakkan permusuhan dan pengambilan wilayah yang mungkin merugikan kerajaan Belanda.
Bagaimanapun, dasar untuk memiliki Borneo dicabar oleh pihak British. Ini kerana kunjungan utusan Belanda ke Brunei tidak memberi ruang yang kukuh untuk Belanda mengawal Brunei. Oleh itu, barangan luar terutama dari British senang dibawa ke Brunei dari Singapura. Kesan ketaranya adalah berlaku penyeludupan barangan ini ke Sambas yang merugikan kerajaan Belanda.
Atas sebab itu pada 1813, Residen Belanda di Pantai Barat, iaitu D. J. van den Dungen Gronovius mencadangkan agar satu perjanjian perikatan dan persahabatan harus diadakan dengan Brunei. Tujuan perjanjian ini diadakan adalah untuk menghalang percubaan pihak asing atau individu tertentu untuk menguasai penempatan di utara Borneo.
Seterusnya, beliau mencadangkan agar Sultan Brunei dipujuk untuk menyerahkan empat wilayah di selatan Brunei dan bersempadan dengan Sambas kepada Belanda.
Wilayah yang disebutkan ini ialah Lundu, Sematan, Sadong dan Sarawak.
Pengambilan wilayah-wilayah Brunei ini adalah untuk mengekang penyeludupan yang berlaku supaya lebih teratur dan cekap. Namun demikian, kerajaan Belanda di Jawa tidak menunjukkan minat mendalam akan hal ini. Dalam hal ini, pihak Belanda tidak bersungguh-sungguh hasratnya walaupun wakil Belanda diiringi dengan dua kapal perang ke Brunei. Ini kerana tugas ini diserahkan kepada seorang Pengiran Sambas.
Utusan ini juga dianggap tidak sesuai dihantar ke Brunei dan akhirnya utusan ini gagal mendapat apa-apa persetujuan dari kerajaan Brunei.
Perdagangan Bebas
Pada Julai 1838, pembantu Residen di Sambas, R. Bloem yang menerima laporan kedatangan kapal British ke Sarawak. Bloem memberi amaran kepada kerajaan Belanda di Betawi bahawa hubungan dagangan antara British dan Sarawak akan menyebabkan penyeludupan barangan British sukar dikawal kerana Sarawak boleh menghubungi Sambas dengan mudah.
Oleh itu, Bloem mencadangkan semula agar satu perjanjian dibuat dengan Brunei. Balasan dari Jawa sekali lagi mengecewakan apabila mereka menyatakan bahawa usaha ini akan bercanggah dengan Perjanjian 1824.
Alasan diberi oleh kerajaan Belanda di Jawa adalah tidak harus menghalang perdagangan bebas di Kepulauan Melayu. Atas sebab itu, tidak perlu diadakan perjanjian dengan Brunei.
Namun demikian, Bloem tidak berputus asa dan mencari bukti-bukti jelas untuk menunjukkan bahawa penyeludupan ini satu perkara yang serius berlaku di sempadan Sarawak dan Sambas. Bukti yang beliau tunjukkan termasuklah penyeludupan garam dari Sarawak. Hal ini mengancam monopoli garam kerajaan Belanda.
Banyak juga senjata api dan ubat bedil diseludup oleh orang Cina dan Melayu ke Sambas. Walaupun alasan ini cuba dikemukakan oleh Bloem tetapi jawapan dari Betawi bahawa tidak memberi sokongan kepada cadangan Bloem.
Menerusi surat bertarikh 8 Februari 1839, menasihatkan Bloem bahawa perdagangan British di Sarawak harus dibiarkan mengambil jalannya sendiri.
Ejen British
Walaupun dasar Belanda yang tidak begitu bersungguh-sungguh untuk menguasai Sarawak tetapi mereka amat berhati-hati dengan kedatangan James Brooke ke Sarawak. James Brooke yang sampai ke Sarawak enam bulan selepas penghantaran surat dari Betawi itu, membawa babak baharu hubungan Belanda dengan Sarawak serta wilayah kekuasaannya di Borneo.
Pihak Belanda tidak melihat James Brooke ini sebagai seorang yang hanya pengembara secara persendirian untuk melakukan kerja-kerja saintifik tetapi ejen imperialis British yang bersifat rasmi dan bermotif politik. Ini kerana James Brooke mempunyai kepercayaan sama dengan Stamford Raffles untuk mengembang pengaruh British di Kepulauan Melayu.
Ini kerana Belanda mengesyaki James Brooke mempunyai impian besar untuk meluaskan pengaruh British. Semasa lawatan James Brooke ke Sulawesi misalnya terdapat usaha James Brooke membekalkan senapang dan ubat bedil kepada pemimpin Bugis melawan Belanda. James Brooke juga pernah berhubung dengan Raja Bone untuk melawan Belanda tetapi gagal.
Dasar British
Bagi melindungi kedudukan beliau di Sarawak, James Brooke mendapat sokongan daripada bekas Residen British di Singapura, iaitu John Crawfurd. Atas alasan arang batu, penghapusan lanun dan tempat persinggahan, maka Jabatan Angkatan Laut British memberi sokongan kepada Brooke.
Sokongan ini menguatkan kedudukan beliau di Sarawak. Sebaliknya British menyatakan kepada Belanda bahawa mereka tidak menyokong James Brooke di Borneo. Kenyataan pihak British ini melegakan Belanda tentang hasrat British di Borneo. Namun, kecurigaan pegawai Belanda di Borneo masih berterusan terhadap James Brooke di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.